Kampus & Pendidikan 15 May, 2024

Program Kelapa Sawit Mampan Bersama Komuniti! UPSI, MPOGCF dan FELDA perkukuh kesedaran masyarakat!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


UMUM mengetahui bahawa Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) adalah agensi yang bertanggungjawab melaksanakan pembangunan tanah untuk pembasmian kemiskinan melalui penanaman kelapa sawit.

Pada hari ini industri sawit bukan sahaja merupakan antara penyumbang utama ekonomi negara, malahan ia telah mengubah landskap Malaysia secara sosial dan juga alam sekitar.

Bagi memastikan industri sawit kekal mampan dan tidak memberi kesan terhadap alam sekitar, pemain industri sawit termasuk peneroka FELDA perlu mematuhi pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Atas keprihatinan dan tanggungjawab untuk mendidik masyarakat, UPSI dengan kerjasama Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) dan Jabatan Kelestarian FELDA telah menganjurkan Program Kelapa Sawit Mampan Bersama Komuniti FELDA Wilayah Trolak bertempat di FELDA Trolak Selatan pada 24 April 2024.


Sebahagian daripada peserta pertandingan memasak bersama juri acara itu pada Program Kelapa Sawit Mampan Bersama Komuniti FELDA Wilayah Trolak, di FELDA Trolak Selatan pada 24 April 2024.


Program yang dilaksanakan melalui aktiviti Service Learning Malaysia - University for Society (SULAM) oleh mahasiswa kursus Sains Alam Sekitar yang ditawarkan oleh Jabatan Biologi, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), UPSI itu bertujuan memupuk kesedaran dan amalan mampan dalam kalangan warga FELDA yang membabitkan pelbagai peringkat umur bermula daripada kanak-kanak tadika, pelajar sekolah rendah dan menengah sehinggalah suri rumah dan peneroka sendiri.

Menurut Timbalan Dekan Akademik, FSM, UPSI, Prof Madya Dr Som Cit Sinang, pendekatan pembelajaran menerusi SULAM dapat memberi peluang kepada mahasiswa untuk menyumbang pengetahuan dan kemahiran dalam menyelesaikan isu yang dihadapi komuniti FELDA.   

Timbalan Pengarah Jabatan Kelestarian FELDA, Muhammad Haidir Moin pula dalam ucapan perasmiannya, berkata FELDA merupakan bukti sebuah kejuruteraan sosial yang berjaya di Malaysia. Ia bermula untuk membantu masyarakat luar bandar dan miskin meningkatkan taraf hidup mereka melalui pembangunan tanah dan pertanian. 


Aktiviti Suri Lestari FELDA iaitu kitar semula minyak masak terpakai.


FELDA telah menyediakan pelbagai kemudahan seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur untuk meningkatkan kualiti hidup warganya. Selain itu, FELDA telah memberi tumpuan kepada amalan pertanian mampan dan pemuliharaan alam sekitar seiring dengan keperluan industri sawit masa kini.

Sementara itu Pengurus Pemuliharaan MPOGCF, Ahmad Shahdan Kasim, berkata program kesedaran itu amat penting untuk setiap warga FELDA memahami bagaimana amalan mampan dapat dilaksanakan supaya apa yang dinikmati generasi pada hari ini turut dapat dinikmati generasi akan datang.

Pensyarah Kursus Sains Alam Sekitar, Prof Madya Dr Syakirah Samsudin, pula berkata kesedaran mengenai keperluan untuk hidup secara harmoni dengan hidupan liar bersama penanaman kelapa sawit adalah aspek penting dalam pembangunan mampan. 

“Dengan menjalankan aktiviti yang mesra alam sekitar, kita dapat menggalakkan kehadiran dan kepelbagaian hidupan liar, disamping tetap melaksanakan amalan pertanian baik,” ujarnya.


Pelajar sekolah menengah memberi tumpuan dalam program yang membabitkan mereka.


Program itu padat dengan pelbagai pengisian seperti aktiviti belajar sambil bermain yang memberi penekanan kepada kepentingan pemuliharaan kepelbagaian flora dan fauna bagi murid tadika, sekolah rendah dan menengah.

Aktiviti Suri Lestari FELDA yang dijalankan bersama suri rumah berjaya mengumpul sebanyak 930 kilogram sisa pepejal dan 552 kilogram minyak masak terpakai.

Program itu turut diisi dengan aktiviti forum “Pemerkasaan Minyak Sawit Mampan: Amalan dan Tindakan” yang membariskan ahli panel daripada MPOGCF, Fazrin Munirah Atan; FGV Holdings Berhad, Syarifah Nur Afni  yed Abdullah; dan Jabatan Kelestarian FELDA, Mohamad Zulhilmi Azmi. 

Pada penghujung program itu turut diserikan dengan acara penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan memasak daripada sawit ke santapan dan pertandingan kesenian kraf tangan sawit sumbangan FGV Holdings Berhad. - KitaReporters


Murid-murid sekolah rendah turut terbabit dalam program berkenaan.

11
12
0
14
0
You will be interested