Kampus & Pendidikan 25 Aug, 2022

Carilah makanan halal, bersih, selamat, sihat! USIM, Nestle anjur program Halal@School with Nestle!

@strategic communication centre (stracomm) usim
Pusat Komunikasi Strategik ( StraComm) merupakan pusat informasi rasmi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Sebarang pertanyaan boleh emelkan kepada prousim@gmail.com

Share this


UNIVERSITI Sains Islam Malaysia (USIM) dan Nestle Product Sdn. Bhd. (Nestle) menjalin kerjasama dalam memberi pengetahuan dan kesedaran berkaitan keperluan kepada pemakanan halal serta kepentingan amalan gaya hidup yang sihat kepada pelajar sekolah

Kerjasama pintar dan strategik ini dimeterai dalam Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjanjian (MoA) antara USIM dan Nestle di Bangi pada 22 Ogos 2022 bagi pelaksanaan Program Halal@School with Nestle.

Program Halal@School with Nestle adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dianjurkan oleh Institut Fatwa dan Halal (IFFAH) USIM dengan kerjasama Nestle Malaysia yang menyasarkan penglibatan pelajar sekolah rendah.  

Para pelajar akan dilibatkan dalam sesi pembelajaran menerusi perkongsian ilmu dan kesedaran berkenaan halal dalam kalangan masyarakat dari setiap lapisan umur.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan makanan halal


Bertemakan “Nutrisi Halal, Pendidikan Cemerlang”, Halal@School with Nestle memberi penekanan kepada pemahaman berkaitan kepentingan pengambilan makanan yang halal dalam kalangan semua individu Muslim dan juga bukan Muslim serta pada masa yang sama cakna kepada produk makanan halal, bersih, selamat dan sihat.

Kerjasama USIM dan Nestle menganjurkan program ini telah bermula melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 2018. 

Menurut Naib Canselor USIM, Profesor Ts. Dr. Sharifuddin Md Shaarani, kerjasama USIM dan Nestle merupakan salah satu langkah proaktif industri dalam menyokong program penyebaran ilmu kepenggunaan halal yang dilaksanakan oleh pihak universiti kepada masyarakat.

“IFFAH USIM merupakan sebuah pusat tanggungjawab universiti yang menfokuskan keilmuan fatwa dan halal untuk mendidik masyarakat dalam memacu kecemerlangan dan sinergi kelestarian fatwa dan halal di seluruh dunia. 

"Dengan termeterainya perjanjian MoA antara Institut Fatwa dan Halal (IFFAH) USIM dengan Nestle Malaysia pada hari ini (22 Ogos 2022), diharap aktiviti-aktiviti berbentuk  CSR dapat dilaksanakan dengan lebih rancak pada masa akan datang.

“Secara tidak langsung, kerjasama USIM bersama industri besar seperti Nestle Malaysia ini akan memperkukuhkan keterlihatan (visibility) USIM di Malaysia dan memperkasakan agenda “USIM Cemerlang, USIM Disayang” ujar Profesor Ts. Dr. Sharifuddin.

Pada majlis menandatangani MoA tersebut, USIM diwakili Naib Canselor dan Profesor Dr. Irwan Mohd Subri, Pengarah IFFAH manakala Nestle diwakili Dato’ Adnan Pawanteh, Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Kumpulan Nestle Malaysia dan Othman Md Yusoff, Ketua Hal Ehwal Halal Nestle Malaysia. 

Bermula dari tahun 2018 sehingga kini, sebanyak 13 siri Halal@School with Nestle telah dilaksanakan dengan penglibatan lebih 2,500 orang pelajar dari 54 buah sekolah di sekitar Negeri Sembilan dan Selangor. - KitaReporers/USIM


11
21
0
8
0
You will be interested