Teks dan gambar oleh: ABDUL RAZAK ABDUL WAHAB
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Shahimi Mohtar mengharapkan pesara-pesara universiti ini terus berbakti kepada warga kampus.
Katanya, universiti sentiasa mengharapkan semua pesara yang bernaung di bawah persatuan ini untuk terus menyalurkan budi dan bakti kepada kampus ini dengan melaksanakan tanggungjawab sosial kepada rakan-rakan pesara yang berkeperluan dalam aspek bantuan seperti kebajikan, kesihatan serta juga sokongan dalam bentuk psikologi bagi mengharungi hidup sebagai warga emas.
“Ucapan takziah juga diucapkan kepada semua keluarga pesara termasuk Pengerusi Persatuan Pesara-pesara UUM (PP2U), Allahyarham Prof. Dr. Zakaria Abas yang meninggal dunia pada 9 Februari 2023 lalu,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunannya pada 15 Mac 2023 di Dewan Pusat Islam UUM.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti kampus UUM
Pesara-pesara yang hadir bergambar bersama Prof Dr Shahimi Mohtar.
Shahimi menambah pihak universiti akan meneruskan kemudahan penggunaan emel pesara, mempermudah proses kemasukan sebagai pesara baharu di dalam persatuan dan berusaha untuk mendapatkan dana sokongan bagi aktiviti persatuan.
Moga persatuan ini akan terus menjalankan aktiviti kemasyarakatan mereka termasuk melawat sahabat-sahabat yang terlantar sakit dan memberikan sedikit sumbangan sebagai tanda ingatan dari keluarga UUM selain daripada melibatkan diri dalam perkongsian bersama kakitangan yang bakal bersara nanti.
PP2U yang ditubuhkan ini juga telah merangka beberapa pelan rancangan persatuan antaranya membantu ahli dan keluarga pesara, program ziarah, gotong-royong dan menghulurkan sumbangan bagi mangsa bencana.
Selain daripada itu beberapa aktiviti lain termasuk rekreasi, pendakian, larian veteran, berbasikal, perkhidmatan dan pengurusan acara merangkumi khairat kematian, latihan, ziarah, aktiviti korban, umrah dan haji juga akan dilaksanakan. - KitaReporters/UUM