Kampus & Pendidikan 17 Aug, 2024

Semua 7 kafe di Kolej Profesional Mara Ayer Molek diarah tutup! 51 penuntut alami keracunan makanan!

@amran mulup
Bekas wartawan Utusan Malaysia yang kini bermastautin di Melaka. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this



Keracunan makanan kerana makan nasi campur, nasi ayam dan pelbagai jenis makanan Barat termasuk carbonara serta spageti?

Akibatnya, kesemua tujuh kafe yang terdapat di Kolej Profesional Mara (KPM) Ayer Molek, Tiang Dua, Melaka telah diarahkan ditutup serta-merta selama dua minggu bermula pukul 6.30 petang pada Jumaat, 16 Ogos 2024.

Dalam kejadian itu, seramai 51 penuntut di KPM Ayer Molek telaj dilaporkan mengalami keracunan makanan, sejak Khamis, 15 Ogos 2024 lalu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman, berkata,kejadian dipercayai berlaku selepas pelajar berkenaan menikmati sajian di tujuh buah kafe di institusi itu.

Bagaimanapun katanya, hanya seorang daripada semua mangsa telah dimasukkan ke sebuah hospital swasta oleh bapanya.

Menurutnya, manakala 50 penuntut lain telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas mendapatkan rawatan di Hospital Jasin dan Klinik Kesihatan Ayer Molek.


Rahmad Mariman


"Pelajar terbabit mengalami gejala keracunan makanan sejak Khamis dan situasi itu berterusan sehingga Jumaat menyebabkan penguat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hadir bagi membuat pemeriksaan serta siasatan lanjut.

"Mereka mengadu mengalami sakit perut, muntah, cirit-birit serta demam dan pihak felow telah membawa pelajar ke Hospital Jasin.

"Bilangan pelajar terlibat adalah seramai 51 orang iaitu 36 perempuan dan 15 lelaki dan mereka telah dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Jasin dan Klinik Kesihatan Ayer Molek,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu, 17 Ogos 2024.

Difahamkan antara menu yang dijual di kafe terlibat adalah nasi campur, nasi ayam dan pelbagai jenis makanan barat termasuk carbonara serta spageti.

Rahmad berkata, kesemua kafe yang terdapat di kolej itu diarahkan ditutup serta-merta selama dua minggu bermula pukul 6.30 petang pada Jumaat.

"Setakat ini tiada punca spesifik yang dapat dikenal pasti dan semua pelajar terlibat mengatakan mereka makan pelbagai menu daripada kesemua kafe yang beroperasi," ujarnya lagi.

Katanya, KKM terpaksa mengambil keputusan untuk menutup operasi kesemua kafe bagi tujuan pembersihan atau sanitasi bagi memutuskan rantaian keracunan.

Beliau berkata, pihak kolej juga akan membawa vendor luar untuk keperluan makan dan minum pelajar yang berada di asrama yang dianggarkan seramai 390 orang yang sedang menjalani program Advance Creative Entrepreneurship (ACE) Challenge yang berlangsung sehingga Ahad, 18 Ogos 2024. - KitaReporters


16
11
0
15
0
You will be interested