Kampus & Pendidikan 12 Aug, 2024

30 motosikal Harley Davidson rai persaraan! Terima kasih Cikgu Ahmad Ezzat! 34 tahun menabur bakti!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Konvoi motosikal berkuasa tinggi disaksikan oleh seluruh warga SMK Damansara Jaya.


Masih bugar dalam ingatan Ahmad Ezzat, 60, bagaimana saat pertama kali menggalas tugas sebagai seorang pendidik. Dia ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pitas, Sabah yang terletak di kawasan pedalaman. Sekolah ini masih banyak kekurangan dari segi kemudahan.

Menurutnya, keadaan para pelajar di sana sangat susah. Kehadiran pelajar ke sekolah tidak sama dengan sekolah-sekolah yang ada di bandar. Mereka kebanyakan adalah anak-anak petani. Hati Ahmad Ezzat sangat tersentuh dengan keadaan para pelajarnya ketika itu. Justeru, dia mengambil inisiatif bagi mengurangkan beban para pelajar.


Ahmad Ezzat. 


“Kehadiran ke sekolah memang amat teruk kerana mereka hadir ke sekolah secara bermusim. Jika musim menuai, mereka tidak hadir ke sekolah kerana membantu keluarga bertani. 

"Selepas habis musim menuai, mereka hadir ke sekolah dengan keadaan tapak tangan kasar, pecah-pecah kerana kesan kerja-kerja kasar pertanian tadi.

"Hal ini membuatkan saya terpanggil untuk meminta pihak sekolah menyediakan asrama untuk pelajar. Alhamdulillah, apa yang pihak sekolah usahakan amat membantu supaya pelajar lebih fokus belajar. 

"Malah saya terharu apabila ada ibu bapa sangat berterima kasih apabila makan minum anaknya terjaga dengan baik di asrama,” ujar Ahmad Ezzat yang turut berjaya mendapatkan peruntukan tiga biji komputer untuk kegunaan sekolah dan surau bagi memudahkan urusan solat termasuk solat Jumaat.


Ahmad Ezzat dipeluk oleh salah seorang pelajar pada sesi bersalaman.


Pengalaman mengajar di sekolah pedalaman dan bandar membuatkan Ahmad Ezzat faham dengan isu-isu berbangkit setiap sekolah. 

Baginya, kita tidak boleh menilai kebolehan pelajar dalam pendidikan secara sama rata. Kemampuan pelajar menjawab soalan adalah mengikut kepada perjalanan kehidupan mereka sehari-hari.

“Sekadar contoh. Jika soalan karangan meminta pelajar menghuraikan mengenai keselamatan lalu lintas, pelajar di Sabah tidak akan mampu menjawab soalan dengan baik. 

"Mereka bukan sahaja tiada jalan raya, malah mungkin seumur hidup tidak pernah melihat jejantas dan lampu isyarat. Justeru, apa penilaian yang pihak pendidik perlu buat?” katanya. 

Selain itu, Ahmad Ezzat menyarankan supaya guru-guru muda yang baru memulakan khidmat dalam bidang perguruan supaya lebih integriti dalam menjalankan tugas. Guru juga perlu ikhlas mendidik anak bangsa. 



Selama lebih tiga dekad menabur bakti kepada anak bangsa, kini tiba masa mengundur diri. 

Tiada yang diharapkan selain ingin melihat anak didik membesar menjadi manusia berguna untuk agama dan negara. Biar lelah di mula langkah, asalkan bahagia di akhir garisan. Dia hanyalah wadah untuk anak didik menimba ilmu.

Sepanjang perkhidmatannya selama 34 tahun, Ahamd Ezzat telah bertugas di enam buah sekolah. Khidmatnya berakhir di SMK Damansara Jaya iaitu sebuah sekolah serba lengkap dengan kemudahan dan terletak di kawasan bandar pada tahun 2024.


Antara pelajar sekolah yang teruja melihat barisan motosikal berkuasa tinggi ketika majlis persaraan pengetua.


Setiap permulaan pasti ada akhirnya. Begitu juga setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Ya benar, umur hanyalah angka. Tapi dengan angka, ada penanda yang boleh dihitung. 

Umur Ahmad Ezzat kini sudah memasuki 60 tahun. Peringkat umur yang sudah memasuki era persaraan. Ini bermakna, tanggungjawabnya sebagai pendidik sudah selesai.

Waktu persaraan inilah kebanyakan orang membuat atau menyambung kembali hobi yang tertangguh. Bukanlah bermaksud selama ini tidak boleh melakukannya, tetapi ia agak terbatas.

Namun setelah bersara, masa senggang terbentang luas. Bagi Ahmad Ezzat, inilah masanya! Daripada duduk sahaja tanpa membuat apa-apa, lebih baik lakukan aktiviti.



“Saya suka melancong. Apabila bersara, saya tidak boleh terus berehat sahaja. Pesara tetap perlu aktif demi menyeimbangkan kehidupan. Jadi saya rasa ingin melancong melihat tempat yang belum pernah saya pergi dan banyakkan membaca,” ujarnya yang mengajar subjek Matematik.

Pada 8 Ogos 2024 lalu, majlis meraikan persaraan Ahmad Ezzat disambut penuh meriah dan gempita.

Apa tidaknya, bunyi seakan-akan guruh yang datang daripada deruman 30 buah motosikal berkuasa tinggi jenama Harley Davidson. Malah lebih istimewa apabila Ahmad Ezzat dibawa membonceng motosikal tersebut mengelilingi sekitar kawasan Damansara secara konvoi.


Ahmad Ezzat (tengah) bersama 30 geng motosikal.


“Saya amat teruja apabila melalui pengalaman membonceng motosikal secara konvoi. Memang berbeza sungguh pengalamannya apabila menikmati suasana persekitaran dengan membonceng motosikal berbanding melihatnya dari dalam kereta seperti yang biasa dilakukan,” ceritanya.

Majlis ini dirancang oleh Datuk Zaidi Hashim merangkap sahabat kepada Ahmad Ezzat sendiri dengan kerjasama seluruh guru SMK Damansara Jaya. 

Menurut Zaidi, sahabatnya itu memang meminati motosikal berkuasa besar. Apabila telah bersara, inilah masanya untuk menyertai kelab motosikal tersebut dan menikmati aktiviti melancong dengan menunggang motosikal.


Ahmad Ezzat membonceng motosikal untuk dibawa mengeliling kawasan sekitar Damansara Jaya.


“Saya anjurkan majlis persaraan sahabat saya sebagai pengetua sekolah bukan sekadar suka-suka. Namun kami ingin memberi inspirasi kepada pelajar sekolah ini untuk berjaya dalam hidup dan boleh mempunyai hobi yang luar biasa,” ujar Zaidi.

Dalam majlis tersebut, Ahmad Ezzat diraikan dengan persembahan daripada pelajar, guru dan geng motosikal seperti nyanyian, tarian dan deklamasi sajak. 

Paling menyentuh perasaan adalah apabila sebuah video yang dibuat khas untuk Ahmad Ezzat yang menceritakan momen dari tahun 1990-an hingga saat persaraan beliau.


Zaidi Hashim (dua dari kiri) bersama Ahmad Ezzat (dua dari kanan) dan dua guru yang sama-sama merancang majlis persaraan.


Ucapan daripada guru dan pelajar termasuk kakitangan sekolah iaitu kerani dan pengawal keselamatan amat memberi kesan kepada emosi sepanjang majlis persaraan ini. 

Rata-rata seluruh warga SMK Damansara Jaya amat menyayangi Ahmad Ezzat sesuai dengan tema majlis iaitu Sedetik Bersama, Di Jiwa Selamanya.


Persembahan koir yang sangat menarik.


“Saya amat berterima kasih kepada seluruh tenaga kerja di SMK Damansara Jaya. Saya masuk ke sini pada tahun 2020 iaitu ketika seluruh dunia dilanda wabak COVID-19. 

"Saya terharu dengan dedikasi semua guru dan pelajar yang tetap mementingkan ilmu walaupun kita perlu mengajar dari rumah secara dalam talian. Kehadiran pelajar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencapai 98 peratus dan ini satu pencapaian yang luar biasa,” akhiri Ahmad Ezzat yang berkhidmat selama empat tahun di sekolah ini. - KitaReporters


19
14
0
6
1
You will be interested