Kampus & Pendidikan 14 May, 2025

Diari Mama Masscom| Bukan calang-calang! Masscomm UiTM hebat! Graduan tak berkualiti? Siapa kata?

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this


Bila sebut Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) UiTM, atau lebih glamor dengan panggilan Masscomm, terus terbayang deretan nama-nama besar dunia penyiaran dan media tanah air. 

Dari skrin TV ke ruangan akhbar, ramai antara mereka yang dulunya duduk dalam kelas, pegang nota, gelak ketawa, buat program kemasyarakatan, pernah kena marah dengan pensyarah, sekarang  mereka sudah jadi peneraju media negara, juga badan badan korporat dan jabatan kerajaan. 

Di balik kisah-kisah kejayaan itu, ada satu nama yang pelajar Masscom tak pernah lupa: "Mama Masscom" . Nama yang sentiasa menjadi semangat kepada saya untuk berkhidmat di Fakulti itu. Nama gelaran yang diberi oleh pelajar kepada saya atas rasa kasih sayang mereka kepada saya.

Saya berkhidmat di Fakulti  Komunikasi dan Pengajian Media UiTM ini selama 22 tahun, sekarang sudah lima tahun menjadi YB atau Yang Bersara. Kenangan bersama Masscom sentiasa kekal di hati saya.  

Kehadiran saya di sana  bukan sekadar mengajar menyampaikan ilmu berkongsi maklumat dan pengetahuan tetapi yang penting nya saya membawa misi kemanusiaan,  melahirkan manusia beradap bersopan dan berakhlak mulia. 

Dari seorang pensyarah yang tugas hakikinya mengajar, saya  juga menjadi tempat rujuk, pendengar, motivator dan kadang-kadang jadi macam ibu kedua kepada anak-anak masscom. 

Tak hairanlah bila ada yang masih menghubungi saya sampai hari ini, walaupun dah lama bergraduasi dan ada antara mereka sudah terkenal dan berjawatan tinggi. 

Mereka panggil saya “mama” bukan sebab gelaran kosong, tapi sebab mereka rasa saya benar-benar ambil berat dan kata mereka saya mempunyai sentuhan dan naluri keibuan yang kuat.


Penulis (kiri) bersama pensyarah-pensyarah daripada Jabatan Komunikasi Liberal FKPM. 


Dekan sekarang, Dr Abd Rashid Abd Rahman, seorang yang saya hormati, membawa fakulti ini ke fasa yang lebih progresif. Tapi saya percaya, asas kejayaan fakulti ini terletak pada semangat kekeluargaan antara semua kakitangan FKPM yang dibina sejak dulu. Kami bukan sekadar pensyarah, kami mentor, dan kadang-kadang jadi ‘cheerleader’ kepada impian pelajar. 

Berikut adalah beberapa pencapaian terkini Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) UiTM di bawah pimpinan Dekan Prof. Madya Dr. Abd. Rasid Abd. Rahman, yang mula memegang jawatan pada 1 Jun 2023 . Antaranya ialah Peningkatan Program Pascasiswazah, serta Pengukuhan Jaringan Industri dan Akademik. 

FKPM aktif menjalin kerjasama strategik dengan industri dan institusi akademik lain, termasuk, Program Mobiliti Pelajar Inbound & Outbound.

Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan pendedahan antarabangsa dan memperluas jaringan profesional mereka. 

Selain itu turut diberikan, anugerah dan penghargaan bagi mengiktiraf pensyarah dan pelajar atas sumbangan mereka dalam bidang komunikasi dan media. 

Ini adalah antara motivasi kepada pembangunan insan dan menjadikan pensyarah serta pelajar sentiasa berusaha yang terbaik untuk fakulti. 

Dengan kepimpinan Prof. Madya Dr. Abd. Rasid Abd. Rahman, insya-Allah FKPM akan terus komited dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi. 



Berbalik kepada kisah saya di FKPM , Saya masih ingat zaman Utusan, Berita Harian dan NST jadi lubuk wartawan muda masscomm. Dan bila stesen TV berkembang macam cendawan selepas hujan -- TV3, NTV7, RTM, Astro, Bernama, AlHijrah, semua pasti ada wakil dari Masscomm UiTM. 

Bangga sangat saya melihat ramainya anak-anak masscomm dalam bidang media ini. Namun di sebalik semua ini , saya turut rasa bangga kerana saya pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan mereka. 

Fakulti ini bukan biasa-biasa. Ia kilang insan kreatif, berani, dan lantang bersuara, tapi tetap  amalkan sikap hormat dan beradab. 



Dari dewan kuliah ke studio penyiaran, bilik berita, dan ke syarikat konglomerat, kami para pensyarah mendidik dan mengasah bakat pelajar bukan untuk cari glamor, tapi untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara. 

Jika ada yang kata graduan Masscom antara yang tidak berkualiti, saya, Mama Masscom, masih berdiri sebagai saksi -- bahawa Fakulti Masscomm UiTM ni telah melahirkan ramai orang orang hebat di negara kita. 

Jelaslah kasih sayang dan keikhlasan dalam mendidik itu tak pernah lapuk ditelan zaman. Sebagai pensyarah kita juga berperanan sebagai duta melahirkan insan-insan yang bukan sahaja berilmu tetapi mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi dan kreatif. - KitaReporters


14
13
0
12
0
You will be interested