
Antara amalan membaca al-Quran di Masjid Nurul Iman Kampung Tengah, Puchong, Selangor. - Kredit foro: FB Masjid Nurul Iman.
Oleh: USTAZAH NURUL HUSNA MAT ISA
Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ)
Menjelang penghujung Ramadan umat Islam digalakkan untuk lebih mendekatkan diri kepada al-Quran bukan sekadar dengan membacanya tetapi juga dengan merenungi maknanya dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
Saya ingin menekankan bahawa tadabbur al-Quran adalah satu proses memahami dan menghayati wahyu Allah SWT supaya ia menjadi pedoman dalam kehidupan.
Ramadan adalah bulan al-Quran maka pada penghujungnya ini kita harus mengambil kesempatan untuk lebih memahami maksud setiap ayat yang kita baca dan dengan tadabbur ini kita bukan sahaja mendapat ilmu tetapi juga bimbingan untuk memperbaiki diri.

Saya menjelaskan bahawa tadabbur al-Quran boleh dilakukan dengan beberapa langkah mudah, antaranya:
Membaca tafsir
untuk memahami maksud ayat yang dibaca.
Merenungkan mesej ayat dan mengaitkannya dengan kehidupan peribadi serta keadaan masyarakat.
Menulis refleksi atau pengajaran yang diperoleh daripada ayat yang dipelajari.
Mengamalkan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian seperti memperbaiki akhlak dan meningkatkan ibadah.

Tadabbur bukan sekadar teori tetapi perlu membawa kepada perubahan diri dan sebagai contohnya apabila membaca ayat berkaitan kesabaran dan ketakwaan, seseorang harus bermuhasabah sejauh mana dirinya telah mengamalkan nilai-nilai tersebut.
Saya turut menggalakkan umat Islam memanfaatkan malam-malam terakhir Ramadan dengan mengkhususkan masa untuk tadabbur dan berdoa terutama dalam mencari keberkatan Lailatulqadar.
Tadabbur pada bulan Ramadan boleh menjadi titik perubahan dalam kehidupan seseorang dan jika kita benar-benar merenungi ayat-ayat Allah ia boleh membimbing kita menjadi insan yang lebih baik bukan hanya dalam Ramadan tetapi sepanjang hayat.
Oleh itu nasihat saya agar amalan tadabbur diteruskan sepanjang tahun bukan hanya pada bulan Ramadan.

Kita
juga boleh mulakan dengan membaca satu atau dua ayat sehari dan diikuti dengan
memahami maknanya sambil berusaha mengamalkannya sedikit demi sedikit dan yang
yang paling penting ialah konsistensi kerana amalan yang berterusan lebih
bernilai di sisi Allah.
Sebagai langkah praktikal saya mencadangkan agar umat Islam menyertai halaqah tadabbur atau berkongsi refleksi tentang ayat al-Quran bersama keluarga dan sahabat.
Dengan berbaki beberapa hari sebelum Syawal menjelang saya berharap agar umat Islam memanfaatkan waktu ini untuk mendekatkan diri kepada al-Quran bukan sekadar membacanya tetapi benar-benar merenungi dan menghayati wahyu Ilahi untuk kehidupan yang lebih bermakna.
Ustazah Nurul Husna Mat Isa ialah Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ). Artikel ini adalah pandangan penulis.
