Oleh ATIQAH ISMAIL dan ROZAK HADI
Pelaksanaan Program Seronoknya Mengaji telah berjaya masuk ke tahun ketiga penganjurannya.
Majlis Penutupan Program Seronoknya Mengaji 3.0 telah berlangsung di Dewan Utama Sekolah Agama Pasir Gudang (SAPG) 2, Taman Air Biru, Pasir Gudang pada 30 Januari 2026.

Barisan tenaga pendidik yang sedang memberi apresiasi kepada peserta
Usaha yang dilaksanakan sejak awal tahun 2023 ini diharapkan menjadi satu insiatif yang mampu melahirkan kanak-kanak yang celik al-Quran dan menguasai ilmu tajwid dalam rangka menguasai pembacaan al-Quran yang sempurna dan betul.
Menurut Ketua Guru, Ustaz Salman Nur Faris Mohd Rahim, penerapan kaedah talaqqi al-Quran menjadi pelengkap kepada penguasaan bacaan al-Quran yang penuh tajwid perlu dipelajari kanak-kanak sebelum mereka menginjak fasa remaja.
Selain menguasai bacaan, SAPG2 turut menyasarkan anak-anak boleh, menghafaz surah lazim, membuat pertimbangan dengan baik dan mengambil pengajaran tentang segala yang dipelajari hasil tunjuk ajar tenaga pendidik berpengalaman.

Guru Besar SAPG2, Ustazah Aminah Tumirin menyatakan rasa syukur dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program yang banyak memberi impak kepada anak bangsa.
“Syukur ke hadrat Ilahi di atas ruang ini untuk kita bersama dapat berkongsi kemahiran membaca al-Quran.
"Setidak-tidaknya anak-anak kita ada asas memahami al-Quran dan ada kefahaman Islamiah dalam diri mereka. Yang paling penting adalah agar mereka dapat menghayati al-Quran itu sendiri.
“Terima kasih juga kepada barisan guru, ibu bapa, komuniti dan anak-anak yang terus menyokong usaha ini untuk kita bersama ke arah hidup yang lebih baik di samping mencari reda Allah Taala,” ujarnya.

Sesi penyampaian sijil kepada peserta Program Seronoknya Mengaji 3.0
Seramai lebih 60 orang peserta dalam kalangan umur di antara 6 tahun hingga 14 tahun telah mengikuti siri 3 dan pastinya program sebegini akan terus dilestarikan demi mengingkatkan kemenjadian murid dan menyokong kecemerlangan mereka dalam aspek akademik, rohani dan sosial. - KitaReporters
