Sesi persekolahan tahun 2026 baru sahaja bermula minggu ini. Seronok penulis lihat anak-anak mula bersekolah di Tahun 1 dan tidak kurang juga di Tingkatan 1 serta yang baru berjinak ke sekolah tadika.

Gambar hiasan.
Bagi calon-calon pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Tingkatan
5 tahun 2026 ini, semestinya penulis percaya mereka menyimpan hasrat dan cita-cita di dada
untuk belajar dengan bersungguh-sungguh bagi bekalan menghadapi peperiksaan SPM
ini di hujung 2026 nanti.
Penulis sempat bertemu dengan salah seorang pelajar cemerlang SPM 2024 daerah Segamat yang memperoleh keputusan cemerlang 10A+ dengan hanya 100% belajar di sekolah sahaja.
Menurut Muhamad Rushdan Hakimi Mohd Radzi, 19, dia mengakui tiada kelas tambahan di luar sekolah disertainya melainkan sepenuhnya belajar di sekolah dengan dibantu oleh guru-guru di sekolah.
Dia yang merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Segamat berkata, dia tidak mengikuti kelas tambahan berbayar di luar tetapi hanya menumpukan perhatian sepenuhnya sewaktu sesi pembelajaran di dalam kelas di sekolah.
"Apa yang saya lakukan adalah belajar terlebih dahulu topik yang akan diajar oleh cikgu di dalam kelas dengan lebih awal.
"Contoh, esok kita akan belajar Bab 2, jadi malam ini saya akan belajar dulu topik Bab 2 tersebut di rumah. Bila belajar dahulu, kita mungkin akan faham mengenai topik itu sebanyak 50 peratus.
"Selepas itu, keesokannya bila ke sekolah, cikgu ajar mengenai topik berkaitan di dalam kelas, kita sudah mendapat pemahaman yang lebih mendalam mengenai sesuatu topik dan selepas sesi pembelajaran dengan cikgu, kita akan faham lebih 90 peratus atau 100 peratus.
"Itu yang saya amalkan bagi setiap subjek yang saya belajar. Saya mengakui ia bukanlah jalan mudah tetapi perlu konsisten, pengorbanan dan rajin untuk berjaya mencapai kejayaan dalam SPM 2024 tempoh hari,” kongsinya.

Muhamad Rushdan turut merakam penghargaan kepada kedua-dua ibu bapanya yang menjadi inspirasi dan banyak mendorongnya setiap masa dalam apa jua bidang yang diceburinya.
Ujar Rushdan, bapanya turut merupakan belajar cemerlang sewaktu SPM 1994 iaitu kira-kira 30 tahun lalu dengan memperolehi keputusan 10A1.
Rushdan yang juga aktif dalam aktiviti kokurikulum telah menyertai Sakura Science High School Programme 2024 mewakili Malaysia di mana program ini merupakan anjuran Japan Science and Technology Agency (JST) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pendidikan, Budaya, Sukan, Sains dan Teknologi, Jepun yang memberi penekanan kepada usaha membangunkan bakat muda dalam bidang STEM.
Kedua-dua ibu bapanya turut melahirkan rasa syukur ke hadrat ilahi dengan pencapaian anak mereka dalam SPM 2024 yang lalu.
Sebagai ibu bapa, mereka mengakui semua ini bermula dengan didikan di rumah sebelum guru-guru mendidik anak-anak ini di sekolah.
"Ibu bapa perlu tahu perkembangan anak di sekolah, pencapaian dan sebagainya. Jangan hanya menyalahkan dan memberi tekanan kepada guru," kongsi Mohd Radzi Yatiman, bapa Rushdan, yang merupakan seorang peguam.

Semoga kisah adik Rushdan ini menjadi pemangkin semangat
kepada anak-anak yang lain bahawasanya kita tidak perlu menggunakan wang yang
banyak untuk mendapat keputusan yang cemerlang sebaliknya, strategi pembelajaran yang baik adalah penentu cemerlang seseorang pelajar. - KitaReporters