Kampus & Pendidikan 20 Jan, 2026

Tahun Satu pada usia 6 tahun! Semua sekolah termasuk UEC wajib belajar Bahasa Melayu, Sejarah! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 akan membolehkan ibu bapa mendaftar anak-anak mereka secara sukarela ke Tahun Satu seawal usia 6 tahun bermula tahun 2027 bersesuaian dengan keupayaan semasa.

Selain itu, semua pelajar Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Antarabangsa dan Sekolah Persendirian (termasuk UEC) diwajibkan belajar Bahasa Melayu dan Sejarah mengikut Kurikulum Kebangsaan.



Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah menghamparkan RPN 2026–2035 sebagai landasan kepada reformasi pendidikan negara yang menyeluruh dan berani.

"Reformasi pendidikan ini mempertegas semula asas jati diri dan kenegaraan, memperkukuh intervensi pada awal usia kanak-kanak, serta memartabatkan peranan guru. 

"Pada masa yang sama, Rancangan Pendidikan Negara turut memperkasa sistem pendidikan tinggi supaya lebih terangkum dan adil, termasuk membuka akses lebih luas kepada pelajar miskin, pelajar berkeperluan khas dan bakat terbaik negara," jelasnya pada majlis peluncuran Rancangan Pendidikan Negara pada 20 Januari 2026.

Katanya, ikhtiar ini bukan sekadar mengubah struktur, tetapi membina insan yang berakar pada nilai, yakin pada identiti, cekal menghadapi perubahan, serta mampu mengangkat masa depan Malaysia dengan ilmu, adab dan ihsan.



Menurut Perdana Menteri, Pendidikan bukan semata-mata soal pencapaian akademik atau kecemerlangan teknikal, ia adalah usaha besar membentuk insan yang berakal, beradab dan berjiwa kemanusiaan.

Maka, katanya, peluncuran RPN 2026–2035 mencerminkan ikhtiar serius Kerajaan Madani untuk melakukan lonjakan bermakna dalam landskap pendidikan negara. 

"Lonjakan ini mesti berakar kukuh pada jati diri, nilai dan budaya Malaysia, sambil berani menguasai disiplin serta cabaran baharu yang dituntut oleh zaman yang pantas berubah.

"Bahasa Melayu wajib terus dimartabatkan sebagai bahasa ilmu, pemikiran dan wahana perpaduan nasional. 

"Pada masa yang sama, penguasaan Bahasa Inggeris perlu diperkasa agar anak-anak kita berkeyakinan, berdaya saing dan mampu berperanan secara bermakna di pentas antarabangsa," jelas Perdana Menteri.



Beliau menegaskan, komitmen terhadap pendidikan percuma, akses yang lebih adil serta peluasan peluang pembelajaran akan terus diperkukuh, demi memastikan tiada anak bangsa yang tercicir hanya kerana latar belakang atau kekangan sosioekonomi.

"Namun, kita harus insaf bahawa pelan yang baik tidak diukur pada keindahan dokumen atau kehebatan pidato.

"Sebaliknya terletak pada keberanian untuk melaksanakannya dengan tekad yang kental, disiplin yang tinggi dan integriti yang tidak boleh ditawar. 

"Inilah amanah besar yang mesti kita pikul secara bersama," katanya lagi.

Insya-Allah, kata Anwar, melalui pendidikan yang berteraskan karamah insaniah, kita akan melahirkan generasi berilmu dan berakhlak, seterusnya membina Malaysia Madani yang adil, progresif dan benar-benar berperikemanusiaan. - KitaReporters/Kenyataan Media


9
18
0
11
0
You will be interested