Setiap orang mengimpikan kehidupan yang terbaik sepanjang perjalanan hidup. Salah satu cara meningkatkan kualiti hidup adalah melalui pendidikan.
Perlu diakui bahawa pendidikan merupakan elemen utama dalam pengukuran tahap ketinggian ilmu seseorang.
Orang terdahulu sentiasa menyebut ungkapan “belajar bersungguh-sungguh, nanti hidup senang”. Rata-rata golongan kebanyakan mampu mengubah kehidupan hanya melalui pendidikan.
Melalui pendidikan juga, seseorang itu berupaya mengorak langkah lebih jauh dengan bermodalkan ilmu kepakaran yang dimiliki yang akhirnya menjadi rebutan badan korporat mahupun pihak industri.
Pihak kerajaan turut memberi sokongan kepada semua masyarakat yang berminat untuk menyambung pengajian pada pelbagai peringkat menerusi konsep Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).
PSH adalah agenda penting yang diperkenalkan pada peringkat antarabangsa melalui United Nation Sustainable Development Goals 2030 (SDG 2030).
Pembudayaan PSH diyakini berupaya melahirkan masyarakat Madani yang diperkenal oleh Perdana Menteri ke-10 menerusi pengukuhan literasi, kemahiran dan ilmu pengetahuan.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selaku agensi utama dalam menggerakkan agenda PSH peringkat nasional memainkan peranan penting dalam mewujudkan peluang pendidikan lanjutan menerusi konsep PSH dan ia berpotensi memberi impak dalam meningkatkan mutu dan kualiti hidup selain memberikan peluang pendapatan setara dengan peningkatan tahap pencapaian ilmu dan kemahiran yang dimiliki.
Prof. Dr Hafiza Aishah Hashim
Bagi menyokong pembudayaan PSH pada segenap lapisan masyarakat, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menubuhkan pusat khas iaitu Pusat UMT Life yang bertindak sebagai platform pemudah cara bagi masyarakat umum untuk mendapatkan pendidikan lanjutan.
Penubuhan pusat itu sejajar dengan aspirasi PSH nasional yang merupakan tonggak ketiga dalam pembangunan modal insan negara. Aspirasi ini telah dijustifikasikan melalui dokumen Pelan Induk Pembudayaan Pembelajaran Sepanjang Hayat Peringkat Nasional 2011-2022.
Pengarah Pusat UMT Life, Prof. Dr Hafiza Aishah Hashim berkata, pihaknya menawarkan pakej pembelajaran yang santai dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat.
“Umumnya, PSH merupakan proses pembelajaran menyeluruh dan berterusan, merangkumi segala bentuk aktiviti pembelajaran pada semua peringkat usia dan latar belakang sosioekonomi bagi memenuhi keperluan pembelajaran yang disampaikan dan dilaksanakan melalui variasi kaedah yang fleksibel," jelas beliau.
Menurutnya, PSH juga menjadi salah satu daripada hala tuju pendidikan UMT dalam memperluas akses pendidikan dan memperkasa agenda pembelajaran sepanjang hayat, sejajar dengan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2015-2025) – Pengajian Tinggi Lonjakan ke-3.
“Pusat ini bertanggungjawab membudayakan pendidikan sepanjang hayat dan menjadi nadi utama kepada aktiviti pembangunan, penambahbaikan dan pelaksanaan program inovatif di UMT," jelas Dr Hafiza.
Katanya lagi, pihaknya turut mengiktiraf pengalaman kerja seseorang sebagai laluan alternatif dalam pengambilan pelajar bagi program pengajian di UMT.
“Bagi kemasukan ke program Diploma (APEL T-4), Sarjana Muda (APEL T-6), Sarjana (APEL T-7) dan Kedoktoran (APEL T-8) secara laluan APEL (Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu atau Accreditation of Prior Experiential Learning), kita akan memproses data permohonan dan bekerjasama dengan pihak akademik dan fakulti bagi penawaran program.
“UMT sangat berbesar hati menerima pelajar dengan kelulusan APEL kerana UMT menyokong penuh usaha negara dalam membina masyarakat berilmu, peribelajar, maju dan berdaya saing dengan menyediakan peluang untuk terus menyambung pengajian di universiti walaupun tidak mempunyai kelayakan formal melalui pengiktirafan pengalaman terdahulu,” tambahnya.
Selain itu, pihaknya juga menawarkan Program Jangka Pendek seperti Micro-Credential, MOOC dan Kursus Jangka Pendek.
Menariknya, UMT Life turut menawarkan program pensijilan profesional dan program eksekutif menerusi Program Jangka Panjang.
Tambahnya, pihaknya akan membantu masyarakat untuk sesi pembelajaran menyeluruh dan berterusan, merangkumi segala bentuk aktiviti pembelajaran pada semua peringkat usia dan latar belakang sosioekonomi bagi memenuhi keperluan pembelajaran yang disampaikan dan dilaksanakan melalui pelbagai kaedah.
“Pusat UMT Life membolehkan individu membuat penambahbaikan segala ilmu dan kemahiran sedia ada melalui penyediaan peluang yang lebih banyak kepada setiap individu untuk meningkatkan dan menambah baik kualiti diri melalui pengetahuan dan kemahiran secara berterusan serta memastikan pembangunan jasmani, emosi, rohani dan intelek pelajar seimbang bagi menghasilkan modal insan cemerlang," katanya lagi. - KitaReporters/Kenyataan Media