Kampus & Pendidikan 15 Jul, 2024

Perkasakan pendidikan prasekolah! MOU laksana latihan Sijil Kemahiran Malaysia! Antara TNQ dan GIS!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


DALAM usaha menyediakan pendidikan awal yang berkualiti serta menepati cita-cita dan hasrat ibu bapa, Tadika Nur Qalam (TNQ) Ecomajestic, Semenyih, Selangor menandatangani memorandum kerjasama (MOU) dengan Global Institute of Studies (GIS), pada 10 Julai 2024.

MOU itu bagi mewujudkan pelaksanaan latihan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) berdasarkan kaedah Sistem Latihan Program Bertauliah (SLaPB) dan Sistem Latihan Dual National (SLDN) bagi program SKM Pendidikan Prasekolah Kod Program ET-012-3:2012 bagi tempoh perjanjian selama tiga tahun bermula tarikh memorandum itu ditandatangani.

Pengarah Nur Qalam Biz Sdn Bhd, Siti Shahida Sha'ari, berkata kerjasama itu adalah satu langkah yang sangat bermakna dan strategik dalam usaha tadika berkenaan untuk memperkasa pendidikan prasekolah.


Siti Shahida Sha'ari (kanan) melihat proses menandatangani MOU dengan GIS.


Menurutnya, dengan adanya MoU berkenaan, kami bukan sahaja dapat memperkukuhkan hubungan antara tadika dan kolej, tetapi juga membuka peluang yang lebih luas untuk para pendidik dalam memperolehi pengalaman dan pengetahuan yang lebih mendalam dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Jelas beliau, melalui program SLDN itu, kami berharap dapat menyediakan platform yang kukuh untuk melahirkan tenaga pengajar yang berkualiti tinggi, serta menyokong perkembangan holistik kanak-kanak prasekolah. 

“Kami yakin dengan bimbingan dan sokongan yang diberikan oleh kolej, Tadika Nur Qalam akan terus maju dan dapat menyediakan persekitaran pembelajaran yang terbaik untuk anak-anak didik.

“Kami berterima kasih kepada semua pihak yang telah berusaha keras untuk merealisasikan kerjasama itu. Semoga MOU ini membawa manfaat yang besar kepada semua pihak dan memacu kemajuan pendidikan awal kanak-kanak di negara kita,” ujarnya ketika dihubungi.


Siti Shahida (tiga dari kanan) bersama tenaga pengajar Tadika Nur Qalam dan Azura Ismail (tiga dari kiri) menunjukkan dokumen MOU yang ditandatangani. 


Sementara itu, Pengurus Pusat Bertauliah GIS, Azura Ismail, berkata objektif MOU itu untuk menjadikan Tadika Nur Qalam sebagai syarikat kerjasama GIS dalam pelaksanaan program SKM melalui kaedah SLDN. 

Menurutnya, MOU itu juga memberi peluang dan pendedahan kepada pelatih program Persijilan Kemahiran Malaysia di GIS bagi melaksanakan latihan amali yang berkaitan bersama kanak- kanak sebenar di Tadika Nur Qalam.

Tambahnya, usaha itu akan mewujudkan peluang aktiviti bersama antara pelatih program SKM di GIS dengan kanak- kanak di Tadika Nur Qalam melalui pelbagai aktiviti yang boleh membabitkan ibu bapa dan juga komuniti setempat.

“Ini secara tidak langsung memberi peluang dan ruang bagi GIS berkongsi idea dan pengalaman bersama pihak Tadika Nur Qalam dalam melestarikan dunia pendidikan awal kanak-kanak,” katanya.


Pengarah Nur Qalam Biz Sdn Bhd, Norulhidayah Mohd Nawi (dua dari kiri) dan Siti Shahida (kanan) bersama-sama kanak-kanak Tadika Nur Qalam yang menjalani kursus Simulasi Haji Cilik.


Tadika Nur Qalam yang terletak di Ecomajestic, Semenyih dan Taman Surian, Mantin, Negeri Sembilan menyediakan lima tenaga pengajar dan ditubuhkan pada 2021.

Penubuhan tadika itu adalah bagi menyediakan pendidikan awal kanak-kanak yang memainkan peranan penting dalam membentuk asas perkembangan intelektual, sosial dan emosional.

Tadika itu turut dicadangkan sebagai institusi pendidikan prasekolah ke arah penyediaan pendidikan holistik, seimbang dan berkualiti berlandaskan nilai-nilai Islam dan kurikulum kebangsaan Malaysia kepada kanak-kanak berumur empat sehingga enam tahun.

Sehubungan itu, penekanan diberikan kepada pendidikan akademik, keagamaan, kemahiran sosial dan fizikal bagi menyediakan asas yang kukuh untuk mereka melangkah ke sekolah rendah. - KitaReporters


Aktiviti bersukan turut diberi tumpuan kepada kanak-kanak Tadika Nur Qalam.

19
10
0
13
0
You will be interested