Kampus & Pendidikan 26 Jul, 2024

Kolaborasi pendidikan! Kerjasama DRB-HICOM University dan UPSI! Bagi perkemas latihan industri!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, menerima kunjungan hormat daripada Naib Canselor DRB-HICOM University, Prof Datuk Sr Dr Omar Osman, bersempena Lawatan Penanda Aras DRB-HICOM University Of Automotive Malaysia (DHU) di Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI, pada 12 Julai 2024 lalu.

Majlis yang dipengerusikan oleh Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff itu diadakan bagi berkongsi cadangan dan idea dalam pelaksanaan latihan industri yang lebih berkesan kepada pelajar.

Majlis menyaksikan perkongsian idea mengenai latihan industri berstruktur, penanda aras untuk program pendidikan awal kanak-kanak dan pendidikan khas, program pesisir, kem kembara pelajar dan kaedah belajar di samping menjana pendapatan.


Prof Md Amin Md Taff (tengah) bersama Prof Omar Osman (dua dari kanan) bergambar sebelum membincangkan kerjasama kedua-dua pihak.


Prof Md Amin dalam ucapannya, berkata melalui kolaborasi tersebut akan memberikan pengalaman sebenar kepada pelajar tentang persekitaran pekerjaan.

“Menerusi kolaborasi ini dilihat memberi peluang pelaksanaan latihan industri berstruktur bagi beberapa kluster tumpuan seperti rekabentuk, perakaunan, komunikasi korporat, perisian komputer dan teknologi maklumat, " katanya.

Menurut beliau, kolaborasi kedua-dua pihak mampu membuka peluang kerjasama dalam penyelidikan serta pertukaran kakitangan dan pelajar.

Tambahnya, beliau berbangga jika kakitangan dan pelajar di UPSI itu dapat diberi pendedahan awal mengenai budaya korporat supaya dapat menabur bakti di universiti semula pada masa hadapan. 

UPSI, jelasnya, sentiasa terbuka untuk menjadi rakan kongsi dalam industri automotif yang bakal berkembang di Tanjong Malim.


Prof Md Amin mempengerusikan perbincangan antara dua unversiti.


Sementara itu, Prof Omar berpendapat dengan kerjasama itu UPSI dan DRB-HICOM University dapat memperkemaskan struktur latihan industri yang akan dijalankan nanti.

“Melalui struktur latihan industri yang jelas akan memudahkan pelajar untuk terus diserap dalam industri sejurus sahaja mereka menamatkan latihan berkenaan,” ujar beliau.

Turut hadir dalam lawatan itu, Sr Head Technical Training Institute DRB-Hicom University of Automotive Malaysia, Laily Zainal; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof Dr Abdul Rahim Razalli; Pengarah Akademik dan Antarabangsa UPSI, Prof Madya Dr Ridzwan Che Rus; serta Pengarah Pusat Latihan Mengajar dan Industri (PULAMI), Prof Madya Dr Ashardi Abas. - KitaReporters


12
16
0
15
0
You will be interested