Kampus & Pendidikan 01 Jun, 2021

#Aid4Palestine UUM! Bersama bantu rakyat Palestin! Sanggah keganasan aparteid, genosid Israel!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:[email protected]

Share this


Institut Kecemerlangan Pengajian Islam Baitulmaqdis (IEIJS) dengan kerjasama Asian Institute for International Affairs and Diplomacy (AIIAD), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Aid4Palestine Malaysia telah menganjurkan Webinar Antarabangsa Khas bertajuk Better Understanding on the Latest Zionist Atrocious Attacks on al-Aqsa and Gaza’ dan Pelancaran #Aid4Palestine UUM

Webinar tersebut turut menampilkan tetamu khas iaitu Penasihat Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza, Dr. Medhat Abbas dan Pengerusi Aid4Palestine Malaysia, Muhammad Khalil Abdul Hadi bersama komentar, Prof. Dr. Mohd Roslan Mohd Nor, Profesor Sejarah Islam dan Tamadun dari Universiti Malaya dan Pengarah IEIJS, Prof. Madya Dr. Aminurraasyid Yatiban sebagai moderator.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Palestin


Serangan dan keganasan rejim aparteid Israel ke atas Palestin terus berpanjangan sejak 10 Mei 2021 sehingga mengorbankan banyak nyawa penduduk Palestin meskipun gencatan senjata telah diumumkan pada 21 Mei 2021 lalu, keganasan tentera genosid Israel terus berlaku.

Sekiranya sebelum ini Gaza menjadi sasaran serangan bertubi-tubi rejim Israel, kini pencerobohan dan tangkapan meluas pula berlaku di Baitulmaqdis termasuk di Masjid Al-Aqsa.

Baitulmaqdis yang merupakan kota suci bagi tiga agama iaitu Islam, Yahudi (Judaisme) dan Kristian telah menjadi sasaran tindakan agresif rejim aparteid Israel yang berasa tercabar dengan sokongan padu warga Palestin ke atas pejuang pembebasan di Gaza ekoran gencatan senjata yang mereka anggap sebagai suatu kemenangan dalam menghadapi kekejaman rejim Israel. 

Keganasan rejim aparteid Israel di Palestin mula meletus ekoran tragedi pengusiran warga Palestin di perkampungan Sheikh Jarrah hanya untuk memberi laluan kepada pendatang haram Yahudi mengambil penempatan mereka secara paksa. Hal ini ditambah pula dengan kebiadapan rejim genosid Israel menyerang dan menceroboh masuk hatta ke ruang solat dan bahagian khas wanita di Masjid Al-Aqsa pada malam-malam akhir Ramadan sehingga ratusan jemaah cedera.


Prof. Dr. Abd Al-Fattah El-Awaisi, ilmuwan tersohor dalam pengajian Islam Baitulmaqdis dan berasal dari Palestin.


Prof. Dr. Abd Al-Fattah El-Awaisi yang merupakan ilmuwan tersohor dalam pengajian Islam Baitulmaqdis dan berasal dari Palestin telah dijemput bagi mengupas isu serangan ganas regimaparteid Israel ke atas Palestin yang telah berulang berdekad-dekad lamanya.

Menurutnya, serangan tidak berperikemanusiaan ke atas penduduk Palestin itu dilakukan demi menjayakan agenda regim aparteid Israel untuk pembersihan etnik Palestin dan pengubahan demografi negara asal Palestin. 

“Berikutan pertempuran yang melanda itu, ratusan penduduk Palestin dilaporkan telah terkorban dan ribuan yang cedera di Genting Gaza dan kini Al-Aqsa pula telah menjadi medan pencerobohan dan pertempuran.

“Walaupun terdapat tuntutan menghentikan serangan itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan bahawa rejim aparteid Zionis itu akan terus melakukan serangan dengan alasan rapuh untuk mensasarkan pengganas,” katanya.

Prof. Dr. Abd. Al-Fattah berkata, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada tragedi antaranya krisis dalaman Israel iaitu pergaduhan sesama ahli politik dalam membentuk kerajaan; kedua, tuduhan korupsi ke atas Perdana Menteri Israel; dan yang ketiga kebangkitan kumpulan ekstremis, Parti Kahane telah terpilih di Parlimen dengan jelas memberitahu tujuan utama mereka adalah untuk memusnahkan Masjid Al-Aqsa. 

Selain itu katanya, sebagai ahli akademik, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk menerangkan kepada orang ramai bagi mendapat pemahaman yang lebih baik terhadap isu Palestin ini.

Beliau berharap agar tragedi ini mampu memberikan harapan kepada ummah agar pembebasan Masjid Al-Aqsa daripada cengkaman kezaliman zionis Israel masih ada sinarnya.


Pengarah IEIJS, Prof. Madya Dr. Aminurraasyid Yatiban sebagai moderator.


Nyata, kezaliman dan penjajahan rejim aparteid Zionis lebih 70 tahun terhadap negara dan rakyat Palestin perlu dihentikan segera dan sebagai solidariti dengan rakyat Palestin, #Aid4Palestine UUM telah dilancarkan secara rasmi oleh Dekan Sekolah Pengajian Antarabangsa (SoIS), Dr. Nazariah Osman dalam usaha membantu penduduk Palestin yang terjejas di Gaza dan Baitulmaqdis.

Sementara itu, Dr Aminurraasyid berkata, dengan siri kekejaman dan pembunuhan beramai-ramai yang sangat melampaui batas kemanusiaan oleh rejim aparteid Israel ini, dunia perlu bangkit.

"Umat Islam perlu bangkit dan kita juga perlu bangkit untuk memperjuang pembebasan Palestin dan warganya, sekali gus menyanggah keras rejim Israel dan memboikotnya!" katanya. - KitaReporters

1
0
0
0
0
You will be interested