Kampus & Pendidikan 18 Mar, 2025

Nusantara Exchange UUM x UIN SGD perkasa jaringan akademik! Buka peluang mobiliti pelajar, pensyarah!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:anakperlis65@gmail.com

Share this

Delegasi UUM di KLIA sebelum berlepas ke Jakarta.


Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Universitas Islam Negeri Sunan Gunung Djati (UIN SGD) Bandung telah berjaya menganjurkan program Nusantara Exchange UUM x UIN SGD: Student Mobility Program pada 18 hingga 22 Februari 2025 lalu.

Program ini bertujuan memperkukuh hubungan akademik, budaya dan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia serta memberikan pengalaman pembelajaran global kepada pelajar. 


Sesi pertemuan dan perbincangan antara dua institusi pendidikan ini di Aula Retorat UIN Sunan Gunung Djati, Bandung.


Wakil Rektor 4 Bidang Kerjasama dan Kelembagaan UIN SGD Bandung Prof. Dr. H. Ahmad Fathonih M. Ag. Ketika majlis perasmian mengucapkan penghargaan kepada UUM atas kesudian menjayakan inisiatif ini. 

Beliau menekankan bahawa kolaborasi ini membuka ruang kepada perkongsian ilmu dan pengalaman dalam ekosistem pendidikan tinggi kedua-dua negara.

Manakala Pengetua Inapan Siswa (Inasis) Tenaga Nasional Berhad (TNB) UUM Prof Madya Dr Rohani Abdullah pula berkata program sebegini berperanan dalam melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi juga memiliki kesedaran tinggi terhadap tanggungjawab sosial dan kepimpinan global.


Bergambar ketika sesi bersama Panti Asuhan Ar-Rifqi, Panyileukan, Kota Bandung.


Antara aktiviti utama program ini adalah lawatan ke Panti Asuhan Ar-Rifqi di Panyileukan, Kota Bandung, di mana pelajar UUM mengadakan sesi pembelajaran interaktif termasuk pengajaran asas Bahasa Melayu dan permainan tradisional Malaysia. 

Aktiviti ini mencerminkan komitmen pelajar dalam menyemai nilai murni serta memperkukuh hubungan antara budaya.

Selain itu, satu sesi perkongsian bersama Alumni UUM, Ahmad Talib yang kini bertugas di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah diadakan. 

Beliau berkongsi pengalaman kerjayanya dalam bidang diplomasi dan menekankan kepentingan profesionalisme serta daya tahan dalam dunia pekerjaan.

Program ini turut merangkumi lawatan ke Orchid Forest Cikole (Hutan Orkid Cikole) dan Floating Market Lembang (Pasar Terapung Lembang) bagi memberikan pendedahan kepada peserta mengenai keindahan alam semula jadi serta budaya unik Indonesia.


Ahmad Talib yang kini bertugas di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta bersama Dr Rohani Abdullah.


Sementara itu Pengarah program Nur Athirah Najwa berkata, inisiatif ini merupakan langkah strategik dalam memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan Malaysia dan Indonesia serta memberi nilai tambah kepada mereka sebagai pemimpin masa depan.

Dengan kejayaan program Nusantara Exchange UUM x UIN SGD ini diharapkan lebih banyak program kolaborasi antarabangsa dapat dianjurkan bagi melahirkan generasi pemimpin yang berdaya saing dan berfikiran global. - KitaReporters


Orchid Forest Cikole Lembang Bandung, Indonesia antara lokasi delegasi dari UUM.

16
8
0
10
0
You will be interested