Kampus & Pendidikan 14 Jan, 2023

Syabas USIM-CAKNE! MoU kerjasama bidang kesihatan mental! Hala tuju bekas pesakit kanser kanak-kanak!

@strategic communication centre (stracomm) usim
Pusat Komunikasi Strategik ( StraComm) merupakan pusat informasi rasmi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Sebarang pertanyaan boleh emelkan kepada [email protected]

Share this


Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Persatuan Sokongan Kanser Kanak-Kanak (CAKNE) Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bertempat di Galeri Canselori USIM pada 12 Januari 2023. 

Tujuan utama memorandum ini adalah bagi bekerjasama untuk menganjurkan acara besar kayuhan amal, CAKNE Gold Ribbon Ride 2023: Jelajah Semenanjung (CGRR 23).

Program ‘signature’ ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu berkaitan kanser di samping menyasarkan kutipan dana bagi membiayai pelbagai perkhidmatan untuk membantu pesakit kanser dalam kalangan kanak kanak dan keluarga. 

Selain itu, apa yang penting adalah, kerjasama ini turut berfokus kepada kajian dan penerbitan dalam bidang kesihatan mental serta mengenal pasti hal atuju bekas pesakit khususnya yang menjadi OKU akibat kanser. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti kampus USIM


Naib Canselor USIM, Prof. Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dalam ucapan aluannya berkata, USIM dan CAKNE akan mengorak langkah untuk membantu dan menyokong antara satu sama lain dalam bidang-bidang yang memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak termasuklah dengan meneruskan program Larian Amal, pembangunan komunikasi strategik dan media baharu serta pembangunan portal pembiayaan kos rawatan kanser kanak-kanak.

Sementara itu, Mohd Shah Awaluddin, Pengarah Eksekutif CAKNE berkata, meskipun rawatan-rawatan berkaitan kanser kanak-kanak telah dilaksanakan di hospital dalam negara untuk tempoh yang agak lama, namun begitu, data-data serta dapatan berkaitan kes yang ada agak sukar dikumpulkan.

Sehubungan itu, katanya, dengan adanya kerjasama kajian dan penerbitan ilmiah antara USIM dan CAKNE ini, ia dapat membantu CAKNE dalam mengenal pasti perancangan dan hala tuju pesakit kanser.

Beliau turut menambah, kos yang ditanggung oleh keluarga pesakit juga agak tinggi. 

Oleh kerana itu, dengan adanya portal pembiayaan rawatan yang bakal dibangunkan kelak, ia dapat membantu meringankan beban keluarga yang mempunyai anak-anak pesakit kanser ini. 

Hadir sama di Majlis Memorandum Persefahaman ini adalah Profesor Dato’ Muhammad Tauffik Mohd Noor, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM; Dato’ Muhammad Haizuan Rozali, Pendaftar USIM; Dr. Hammad Farhi Mohd Saudi, Pengarah Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLiMJI) USIM; serta Nor Hashimah Sulaiman, Pengerusi Persatuan Sokongan Kanser Kanak-Kanak (CAKNE). - KitaReporters/USIM


 

11
12
0
13
1
You will be interested