Kampus & Pendidikan 11 Dec, 2023

Syabas USIM! Catat 91.83% pelajar keluar mengundi! Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar 2023/2024!

@strategic communication centre (stracomm) usim
Pusat Komunikasi Strategik ( StraComm) merupakan pusat informasi rasmi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Sebarang pertanyaan boleh emelkan kepada [email protected]

Share this


Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 2023/2024 berlangsung dengan lancar dan aman pada 6 Disember 2023 dan menyaksikan 91.83 peratus pelajar turun mengundi berbanding 83.73 peratus pada tahun lepas (2022). Peratusan keluar mengundi ini merupakan antara yang tertinggi dicatatkan oleh Universiti Awam.

Sebanyak sembilan  kerusi umum dan 18 kerusi fakulti menjadi rebutan calon-calon yang bertanding.


Proses pemilihan calon diadakan pada 5 Disember 2023 secara dalam talian melalui laman web pilihmpp.usim.edu.my dengan 19 calon menawarkan diri bertanding di Kerusi Umum dan 31 calon bertanding di Kerusi Fakulti.
Kerusi Tertinggi pencalonan adalah dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) iaitu dengan saingan lima penjuru. Manakala Kerusi Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) dan Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) menyaksikan pencalonan empat penjuru.

Sementara itu, bagi kerusi Fakulti Kejuruteraan Alam Bina (FKAB), Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dan Fakulti Pengajian Quran Sunnah (FPQS) pula dengan saingan tiga penjuru. 

Bagi kerusi Fakulti Pergigian (FPg) tiada pertandingan kerana calon-calon menang tanpa bertanding.



Sementara itu, Nazurah Farzana Zulkifflee, 20, yang berasal dari Sabah merupakan mahasiswa tahun dua FPg yang mendapat undian tertinggi iaitu sebanyak 7,530 undian berbanding 7,474 undian yang dimenangi oleh Ibni Umar Abdul Aziz Iswady Fazly dari FPQS. 

Nazurah Farzana dalam kenyataannya berkata, beliau tidak menyangka akan memenangi undian tertinggi, dan hanya mendapat tahu ketika menyaksikan pengumuman secara dalam talian menerusi platform facebook USIMTV. 

"Terima kasih kepada semua mahasiswa yang telah turun mengundi dan menjalankan tanggungjawab anda. 

"Saya akan pikul tanggungjawab dan amanah ini untuk membawa dan memperkasakan mahasiswa USIM dengan bergiat aktif dan bekerjasama dengan badan-badan NGO luar dalam pelbagai jaringan aktivisme, serta memupuk dan menyuburkan biah Islamiah dalam kalangan mahasiswa," ujar Nazurah.

Dalam pada itu, Ibni Umar Abdul Aziz, 22, mahasiswa tahun tiga FPQS berkata, beliau akan menunaikan manifesto untuk menjenamakan mahasiswa USIM ini sebagai mahasiswa Muslim profesional yang berbakat serta berdaya saing untuk meningkatkan ekonomi mampan dan sejahtera dalam kalangan mahasiswa.


Seramai 10,569 mahasiswa yang turun mengundi daripada 11,509 yang layak mengundi telah menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi bermula jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang secara dalam talian dan satu pusat pengundian di FPQS. 

Pengumuman keputusan rasmi Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) 2023/2024 disampaikan oleh Naib Canselor, Profesor Ts. Dato’ Dr. Sharifudin Md Shaarani bersama barisan pengurusan universiti. - KitaReporters/USIM

13
12
0
16
0
You will be interested