SEKOLAH Kebangsaan Rantau Panjang (SKRP), Klang, Selangor antara sekolah yang terbesar dan padat jumlah bilangan murid dalam daerah Klang. Keadaan itu sudah pasti menimbulkan kesukaran serta kurang selesa buat warganya terutama dalam kalangan murid terutama apabila terpaksa berkumpul atau berhimpun untuk sesuatu aktiviti.
Berikutan itu cetusan idea oleh Yang
Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Jailani Mahadi
mencadangkan pemasangan kipas gergasi di Dataran Haji Saharuddin dalam usaha
memberi keselesaan kepada warga sekolah, murid dan ibu bapa amnya apabila
terpaksa berkumpul atau duduk di dataran berkenaan.
Sehubungan dengan itu, pihak sekolah berpendapat cadangan berkenaan merupakan antara langkah jangka panjang yang amat proaktif.
Serentak itu satu perbincangan bersama ahli jawatankuasa seterusnya mencadangkan sebuah syarikat yang mengendalikan urusan pemasangan bagi membuat penilaian dari segi keselamatan dan keupayaan struktur bangunan dewan.
Suasana perhimpunan pada hari Isnin untuk sesi murid pagi dan petang berlangsung dalam suasana selesa dan tenang selepas dipasang kipas gergasi.
Dewan Haji Saharuddin merupakan sebuah dewan terbuka berbumbung yang agak luas kawasannya.
Setelah dinilai, membabitkan ciri keselamatan serta ketahanan kerangka dewan maka Syarikat Suria yang dipilih SKRP mencadangkan pemasangan dua unit kipas gergasi dengan harga RM18,000,00 seunit.
Saiz kipas yang dicadangkan sepanjang 24 kaki ukuran lilit bilah. Ini akan memberi impak tujahan angin yang boleh memberi keselesaan buat keseluruhan dewan.
Tujuan kipas gergasi dipasang adalah bagi memastikan setiap
murid yang menggunakan dewan tersebut terutama ketika sesi perhimpunan atau apa
sahaja kegiatan yang dijalankan dapat dijayakan dengan lebih selesa. Kipas
gergasi itu mula dipasang 10 November 2023.
Dengan bilangan murid yang berjumlah lebih 3,000 orang pasti satu jumlah yang ramai dan amat padat. Pada waktu perhimpunan dijalankan, bahang panas dari bumbung dan panas haba badan manusia akan menyebabkan rasa rimas dan tidak selesa dalam kalangan mereka.
Murid SKRP yang mengikuti kelas tae kwan do turut berasa selasa mengikuti latihan di Dataran Haji Saharudin.
Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) SRKP, Razi Samsuddin, berkata usaha itu antara faktor menyebabkan pilihan kipas gergasi dibuat dan dijadikan satu punca menarik minat dalam kalangan murid dan guru yang mengalas amanah setiap hari dengan penuh bersemangat.
Menurutnya, pemasangan kipas gergasi itu memberi keselesaan pada murid serta sesiapa sahaja yang menggunakan dataran berkenaan, malah kehadiran murid semakin bertambah berdasar jumlah direkodkan pada setiap hari Isnin.
Terang beliau, selepas pemasangan kipas gergasi itu sesi
perhimpunan pada hari Isnin, selain perkumpulan kegiatan seperti kokurikulum semakin selesa dijalankan termasuklah Malam Karnival Serantau Hebat
diadakankan baru-baru ini, apabila membabitkan kehadiran ibu bapa dan tetamu
jemputan lebih 500 orang berada dalam keadaan yang amat menyenangkan di dataran
berkenaan.
“Kipas gergasi ini berupaya memberi putaran angin yang amat kuat serta amat menyamankan selain putaran bilah walaupun kelihatan besar tetapi tidak mengeluarkan bunyi yang boleh menganggu suasana dan keadaan itu berbeza dengan penggunaan kipas industri sebelum ini,” ujarnya.
Para tetamu termasuk ibu bapa murid berasa selesa dan nyaman berada di Dataran Haji Saharudin menghadiri Malam Karnival Serantau Hebat, Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang, Klang, Selangor (SKRP) selepas dilengkapi kipas gergasi pada 10 November 2023.
Guru Perpustakaan dan Media SKRP, Rabita Suhara Miskan, berkata memasangan kipas gergasi di dataran itu bertepatan kerana ia menjadi lokasi utama apabila diadakan kegiatan luar kelas, ceramah dan motivasi yang disertai ramai murid pada satu-satu ketika.
Menurutnya, apabila hanya bergantung kepada kipas dinding biasa atau mengharap kepada hembusan arus angin keadaan itu belum memberi keselesaan kepada murid atau guru yang terbabit dalam kegiatan kokurikulum atau kurikulum di dataran berkenaan.
Tambahnya, kebiasaan dalam tempoh masa tertentu sudah kelihatan reaksi khususnya murid yang resah dan gelisah apabila terpaksa duduk berkumpul dalam situasi kepadatan apabila mula berasa bahang panas serta berpeluh.
Jelasnya, keadaan itu sudah pasti mewujudkan suasana tidak
selesa kepada murid untuk memberi tumpuan apabila mengikuti kegiatan
kokurikulum atau akademik di dataran itu walaupun menunjukkan minat begitu
tinggi menyertai program yang dianjurkan sekolah.
“Bagi kami usaha itu suatu yang murni serta pengkongsian
rasa bertanggungjawab warga sekolah dengan PIBG dalam melengkapkan kemudahan
pembelajaran murid disamping mereka berasa teruja dan seronok menyertai
kegiatan di dataran ini.
“Kipas gergasi yang mempunyai lima bilas memberikan rasa sejuk yang nyaman seperti hembusan angin semula jadi dengan berangin lembut sekali gus membantu mendisiplin murid untuk memberi tumpuan dan kekal bersemangat mengikuti kegiatan kokurikulam serta kurikulum di dataran,” ujarnya.
Guru dan murid SKRP berasa gembira dan bersemangat mengikuti kegiatan kokurikulum di Dataran Saharudin berikutan suasana yang sejuk serta nyaman.
Guru Besar SRKP, Hazi Kadir, berkata projek pemasangan kipas gergasi walau terpaksa mengunakan kos yang tinggi tetapi demi kelestarian pendidikan serta keselesaan warga sekolah dan murid menjadi teras utama dalam kepemimpinannya.
Menurutnya, keselesaan dalam kalangan murid menjadi fokus
utama bagi menarik minat mereka hadir dan menimba ilmu, sekolah tidak akan
berasa rugi pada pelaburan itu kerana tumpuan kemenjadian serta “Serantau
Hebat” yang menjadi ‘hashtag’ sekolah dapat diterjemah dan dijayakan secara
maksimum.
Tambahnya, banyak aktiviti dijalankan di dataran dan pasti
menjadi tumpuan buat semua warga sekolah, selain perhimpunan, solat subuh
berjemaah, kelas tae kwan do, ceramah, majlis keramaian dan kini menjadi
tumpuan masyarakat kampung buat sewaan bagi majlis kenduri kendara.
“Kipas ini sememangnya amat baik kerana dapat mengurangkan kesan haba terutama sesi petang yang menjalankan perhimpunan pada waktu tengah hari disamping imej sekolah semakin melonjak serta jadi bualan masyarakat setempat dan menjadi contoh kepada sekolah lain,” katanya.
Suasana gamat murid SKRP berada di Dataran Saharudin apabila menjalani kegiatan kokurikulum dalam suasana berudara segar dan dingin.
Sementara itu, seorang murid SKRP, Akmal Darwisy pula melahirkan rasa selesa dan seronok berada di dataran selepas dilengkapi dua kipas gergasi itu dan hilang keadaan rimas atau berpeluh apabila menyertai kegiatan kokurikulum atau kurikulum bersama rakan-rakan.
“Kami semua berasa lebih selesa untuk merendahkan suhu badan selepas terdedah kepada bahang panas cahaya matahari apabila berada di bawah bumbung dataran ini untuk berbincang mengenai pelajaran dan sebagainya,” ujarnya.
Ainur Rozi Mat Hari pula berkata, kipas itu amat bagus serta menjadikan dia dan rakan-rakannya berasa selesa berada di dataran selain menjadi kebanggaan sekolah kerana ibu bapa juga teruja dan ingin turut merasa berada di bawah kipas gergasi berkenaan.
“Saya dan rakan-rakannya amat seronok ke sekolah kini dan berasa amat selesa ketika berada di dataran seperti ketika program bacaan yasin pada setiap hari Jumaat yang menjadi tumpuan kerana berasa selesa dan udara bertiup nyaman berbanding sebelum ini terasa bahang kepanasan apabila berada lama di dataran,” kata Duta Sahsiah SKRP, Darratul Mubarakah Mohd Khuzaifah. - KitaReporters