Kampus & Pendidikan 07 Sep, 2023

Garis Panduan Aktiviti Hiburan (Konsert)! UUM, kepimpinan pelajar gubal garis panduan komprehensif!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:anakperlis65@gmail.com

Share this


Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama-sama  Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Persatuan-Persatuan Pelajar dan Majlis Presiden Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS) Inapan Siswa (Inasis) UUM akan menggubal satu garis panduan komprehensif aktiviti hiburan dan konsert.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, garis panduan aktiviti hiburan dan konsert  sudah sedia ada tetapi penggubalan secara komprehensif perlu dibuat yang mengambil kira persetujuan majoriti pelajar.



“Dalam usaha memperkasa mahasiswa, pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar juga sentiasa membuka peluang dan ruang kepada badan-badan pelajar untuk memberikan pandangan mereka mengenai garis panduan yang tersedia.

“Dalam penggubalan garis panduan baharu, kita mengambil kira semua aspek termasuk sensitiviti, adab, kesopanan dan kehendak sebenar para pelajar,” ujarnya ketika diminta mengulas mengenai Garis Panduan Aktiviti Hiburan (Konsert) yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). 

Menurut beliau lagi, garis panduan untuk universiti akan dirangka dan disediakan oleh universiti dengan mengajak MPP dan kepemimpinan pelajar lain untuk turut sama memberi input. 



Dr Ahmad Martadha berkata, UUM amat cakna dan menyokong penuh terhadap pelaksanaan penganjuran aktiviti-aktiviti pelajar di kampus ini termasuk hiburan dan konsert. 

“Pihak universiti sentiasa mengadakan sesi libat urus dengan MPP dan JKPS dalam membincang, membentuk serta memurnikan garis panduan yang bersesuaian dengan persembahan kebudayaan di dalam UUM.

“Kita sekali lagi akan bersama-sama dengan MPP dan pemimpin pelajar lain untuk memberikan input bagi merangka garis panduan yang bersesuaian, supaya perkara yang tidak diingini berlaku dalam kampus dan dalam masa sama, pelajar pun dapat menikmati hiburan.

“Apa yang kita mahukan ialah memenuhi kehendak majoriti pelajar dan jenis hiburan yang mereka mahukan,” katanya. - KitaReporters 


Gambar hiasan... Majlis Presiden JKPS Inasis UUM sentiasa mendekati Dekan JHEP UUM. 

12
10
0
13
0
You will be interested