TIGA warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, terharu dapat berkhidmat sebagai imam dan tenaga pengajar di luar negara sepanjang Ramadan sekali gus memperoleh pengalaman yang unik dan berharga dalam menunaikan tugas keagamaan mereka di Australia dan United Kingdom.
Pegawai Tadbir Pusat Islam UPSI, Muhammad Majdan Ismail yang berkongsi pengalamannya sebagai imam di Dewan Malaysia Sydney, Australia, berkata walaupun tiada perbezaan ketara dari segi pengalaman imam solat tarawih dan hampir sama di Malaysia, namun pastinya memberi pengalaman peribadi yang baharu bagi dirinya.
"Cuma perbezaan dari segi gaya hidup masyarakat di
sini, iaitu selepas jam tujuh malam majoriti masyarakat sudah berehat di rumah
masing-masing, kedai hampir semua tutup kecuali bar," ujarnya.
Katanya, sokongan padu daripada pelbagai pihak seperti Education Malaysia Australia (EMA), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Konsulat Jeneral Melbourne memainkan peranan penting bagi mengharmonikan tanggungjawab keagamaan di Australia.
Muhammad Majdan Ismail (depan kiri) dan kariah menjayakan rakaman takbir raya bersama jemaah masjid di Sydney, Australia.
Nasrul Zikri Mohd Nazri, pelajar UPSI yang menjadi imam di Malaysia Hall Melbourne, Australia pula berkongsi pengalaman pertamanya, berkata walaupun perbezaan cuaca yang tidak menentu di Melbourne menjadi cabaran tersendiri, namun pengalaman menjadi imam di Malaysia Hall Melbourne memberi peluang menghidupkan budaya masyarakat Malaysia dan suasana beribadah bersama pelajar berbangsa Melayu serta jemaah dari negara lain turut solat bersama.
Nasrul Zikri Mohd Nazri berkongsi ilmu pengurusan jenazah bersama pelajar Malaysia di Melbourne.
Bagi Ikram Hakim Mat Nasir pula yang menjadi imam di Shaikh Zayed Mosque di Oxford Centre for Islamic Studies (OXCIS), United Kingdom, berkata antara perbezaan menjadi imam tarawih di United Kingdom berbanding di Malaysia ialah di sini imam tarawih perlu memimpin solat tarawih dengan membaca sebanyak satu juzuk lebih di dalam solat tersebut tanpa melihat mushaf al-Quran bagi setiap malam.
"Ia adalah satu cabaran baharu yang saya perlu dihadapi, namun saya bersyukur berkat doa orang-orang sekeliling saya mampu melakukan seperti mana yang ditetapkan oleh pihak di sini," katanya.
Menurutnya, dalam melaksanakan solat tarawih pelbagai penyesuaian dilakukan oleh komuniti Muslim di luar negara berikutan waktu solat berjemaah tidak konsisten dengan masa masuknya waktu solat kerana keperluan jemaah yang berbeza.
"Imam perlu peka terhadap waktu solat berjemaah yang berbeza menjadi penting, dengan skrin siaran yang menunjukkan waktu solat di masjid.
“Walaupun cabaran dan perbezaan, komuniti Muslim di luar negara masih menerima sokongan daripada kerajaan dan masyarakat setempat. Walau bagaimanapun, suasana Ramadan di luar negara tidaklah semeriah di Malaysia, namun Islam diterima dengan baik oleh masyarakat setempat,” ujarnya.
Ikram Hakim Mat Nasir (kanan) bergambar bersama Pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan, Profesor Madya Dr. Ahmad Zulfiqar Shah Abdul Hadi.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff menganggap
tanggungjawab dan amanah yang dipikul oleh mereka itu membawa nama baik universiti pada
peringkat antarabangsa.
"Ini antara sumbangan besar UPSI kepada komuniti Islam
di luar negara selain daripada memberi sumbangan terhadap dunia pendidikan
tanah air," katanya.
Dalam portal Kitareporters paDA 20 Mac 2024, dilaporkan dua pelajar tahfiz dan seorang pegawai menjadi kebanggaan UPSI apabila terpilih dalam Program Qari-in-Residence di Universiti of Oxford, United Kingdom dan di Education Malaysia Sydney, Australia pada Ramadan 2024. - KitaReporters