Kampus & Pendidikan 09 Aug, 2025

Catatan Akademik| Isu pengambilan pelajar antarabangsa! Memahami situasi sebenar universiti awam!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this


Oleh DR RAZLI CHE RAZAK

Pesara Universiti Awam (UA)


Baru-baru ini, media sosial menjadi heboh berhubung isu pengambilan pelajar antarabangsa pada peringkat prasiswazah (undergraduate atau UG) di universiti awam (UA). Menteri di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telahpun memberikan penjelasan kepada media, malah perkara ini turut disentuh di Parlimen.

Sebenarnya, tiada isu besar dalam perkara ini. Secara tradisinya, pelajar antarabangsa di UA lebih ramai pada peringkat pascasiswazah (postgraduate atau PG), manakala jumlah UG adalah amat kecil. 

Malaysia pula sedang berusaha menjadi hab pendidikan antarabangsa, mengambil peluang daripada pengiktirafan global terhadap kualiti pendidikan tinggi negara.



REALITI MODEL KEWANGAN UNIVERSITI

Saya pernah menulis sebelum ini mengenai model kewangan universiti. Hakikatnya, perbelanjaan operasi UA banyak bergantung kepada geran kerajaan -- sebahagian besar untuk membayar gaji staf tetap dan sedikit bagi menampung bil utiliti.

Baki yang tidak mencukupi ini perlu dicari oleh universiti melalui pelbagai sumber: yuran pelajar tempatan (yang sebenarnya disubsidi sehingga 90%), yuran pelajar antarabangsa, saluran terbuka, yuran PG tanpa subsidi, keuntungan anak syarikat, pulangan pelaburan tetap (FD) dan lain-lain.

Negara mempunyai pilihan untuk berhutang jika pendapatan cukai tidak mencukupi. Universiti pula tidak dibenarkan berhutang. 

Inilah sebabnya Naib Canselor dan Lembaga Pengarah Universiti (LPU) perlu kreatif dalam mencari pendapatan baharu.

PENGAMBILAN PELAJAR DAN STRATEGI HASIL

UA mesti memenuhi kuota kemasukan pelajar melalui UPU setiap tahun. Lebihan daripada kuota inilah yang diisi melalui pengambilan saluran terbuka dan pelajar antarabangsa -- sebagai strategi penjanaan hasil.

Model ini sebenarnya sama seperti di UK atau Amerika Syarikat. Pelajar antarabangsa membayar yuran sehingga tiga kali ganda berbanding pelajar tempatan. Maka, universiti memerlukan pelajar antarabangsa untuk kelangsungan operasi.

Saya pernah berkunjung ke Universiti Sains dan Teknologi Jordan (JUST) dan mendengar sendiri ucapan rektornya yang amat berharap Malaysia kembali menghantar pelajar UG seperti dahulu. 

Semasa kunjungan saya, jumlah pelajar Malaysia di JUST kurang daripada 30 orang.



HARAPAN DAN MASA DEPAN

Saya yakin Menteri akan menjawab isu ini dengan jelas di Parlimen nanti. Harapan saya, masyarakat dapat memahami situasi sebenar universiti di Malaysia.

Kita mengimpikan model kelestarian kewangan seperti wakaf atau endowment di Harvard, Al-Azhar, atau yang lebih dekat dengan saya -- Universiti Al-Fathoni di Pattani, Thailand. Di sana, kereta rektor pun adalah hasil wakaf daripada lima keluarga tempatan.

Setakat ini, model ini masih belum berjaya dilaksanakan di Malaysia, namun saya percaya ia wajar menjadi agenda jangka panjang demi kelangsungan universiti awam kita. 


Dato’ Dr. Razli Che Razak ialah bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Artikel ini adalah pandangan penulis.


18
12
0
11
0
You will be interested