Kampus & Pendidikan 18 Nov, 2024

Syabas Pusat Islam Sultan Mahmud UMT! Agih sumbangan Zakat Dermasiswa Al-Ikhlas! 650 pelajar baharu!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this

Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim menyampaikan bantuan zakat kepada seorang asnaf pelajar.


Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meneruskan komitmennya dalam menjaga kebajikan pelajar asnaf dengan mengagihkan sumbangan Zakat Dermasiswa Al-Ikhlas kepada 650 orang pelajar baharu yang baru berdaftar. 

Sumbangan itu berjumlah RM325,000 disampaikan dalam satu majlis khas yang diadakan di UMT sempena Minggu Jalinan Mesra pelajar baharu UMT sesi 2024/2025.

Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dalam ucapannya menyatakan bahawa Zakat Dermasiswa Al-Ikhlas yang bernilai RM500 setiap seorang itu adalah hasil sumbangan zakat perniagaan daripada pelbagai agensi korporat. 

"Sumbangan ini adalah untuk meringankan beban kewangan pelajar dan membantu mereka memulakan pengajian di UMT dengan lebih yakin dan tenang," katanya.

Beliau turut memuji peranan Pusat Islam Sultan Mahmud UMT yang sentiasa berusaha meningkatkan dana zakat setiap tahun. 

“Usaha berterusan yang diperkenal oleh Pusat Islam Sultan Mahmud UMT termasuk pelaksanaan kempen "C to Z" dan jerayawara ke Lembah Klang telah berjaya meningkatkan kutipan zakat hampir 100% setiap tahun. 

“Pada tahun ini sahaja, UMT telah menyalurkan sumbangan zakat berjumlah RM1.26 juta kepada 2,429 pelajar asnaf,” katanya lagi.

Sebahagian penerima sumbangan Zakat Dermasiswa Al-Ikhlas UMT.


UMT juga memperkenal pelbagai inisiatif melalui program pembangunan asnaf seperti AsnafXChange, Asnaf+ dan AsnafPro. 

"Program AsnafPro yang bermula dengan pembiayaan kepada dua orang pelajar kini telah berkembang kepada 13 pelajar miskin cerdik dan akan terus dikembangkan agar lebih ramai pelajar asnaf dapat dibantu.

"Kami mahu memastikan pelajar UMT cemerlang tanpa dibebani oleh masalah kewangan," harap Ts. Dr. Mohd Zamri.

Sementara itu, penerima manfaat zakat, Nur Najmil Basyirah Ramli, 20, berasa lega setelah dimaklumkan sebagai penerima bantuan zakat.

“Banyak perbelanjaan untuk membeli keperluan untuk pendaftaran masuk ke universiti. 

"Dengan adanya bantuan ini, saya rasa lega dan boleh gunakan duit tersebut untuk membeli keperluan untuk memulakan kehidupan di kampus,” ujarnya yang terpilih untuk mengikuti program Sarjana Muda Pengurusan Maritim di UMT.

Majlis Penyampaian Zakat Dermasiswa Al-Ikhlas itu turut dihadiri wakil-wakil agensi korporat yang menyumbang kepada dana zakat tersebut.

Selaras dengan hasrat kerajaan bagi memastikan tiada pelajar yang tercicir untuk mendapatkan pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) dan UMT menawarkan pelbagai bentuk bantuan khas untuk golongan memerlukan.


Majlis ikrar pelajar sempena pendaftaran pelajar baharu sesi kemasukan 2024/2025.


Terdahulu, dalam majlis ikrar pelajar sesi kemasukan 2024/2025, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri mengingatkan para pelajar agar dapat menjaga tatasusila sebagai seorang mahasiswa yang mempunyai kualiti dan nilai jati diri yang tinggi.

“Sebagai mahasiswa adalah menjadi tanggungjawab dalam memenuhi kewajipan mematuhi akta, perlembagaan, statut, peraturan dan tatatertib yang berkuatkuasa di universiti ini. 

"Namun, ia bukanlah bertujuan menyekat kebebasan dan langkah anda sebagai seorang pelajar.

“Penuntut universiti semestinya semua perkara hendaklah dilakukan secara berdisiplin. Hanya pelajar yang berdisiplin yang akan mampu menguruskan kehidupannya dengan baik,” tambahnya. - KitaReporters/Kenyataan Media

15
8
0
11
0
You will be interested