Kampus & Pendidikan 07 Nov, 2024

Tahniah Fakulti Sains Sukan Kejurulatihan UPSI! Diiktiraf sebagai Pusat Satelit Institut Sukan Negara!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Gambar hiasan... Bangunan FSSK UPSI.


FAKULTI Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, diiktiraf sebagai salah sebuah Pusat Satelit Institut Sukan Negara (ISN) bersempena dengan Program ISNext 2024 yang diadakan di Dewan Perdana, ISN Bukit Jalil, pada 23 Oktober 2024.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Hannah Yeoh selepas penyerahan plak pengiktirafan FSSK UPSI sebagai Pusat Satelit ISN yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara Malaysia, Ahmad Faedzal Md Ramli kepada Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff.


Hannah Yeoh menyampaikan ucapan perasmian majlis berkenaan.


Berucap pada majlis itu, Hannah Yeoh, berkata pengiktirafan FSSK UPSI sebagai Pusat Satelit ISN membolehkan FSSK menyumbang kepada pembangunan sukan negara dari aspek bantuan perkhidmatan sains sukan kepada atlet bagi meningkatkan prestasi sukan mereka ke tahap optimum.

Menurutnya, Pusat Satelit ISN berperanan sebagai hab untuk menjalankan kajian dan penyelidikan dalam sains sukan, teknologi sukan serta memberikan perkhidmatan dalam sains sukan dan mengembangkan teknologi sukan.

Tambah beliau, melalui memorandum persetujuan (MoA) antara UPSI dengan ISN juga bakal meningkatkan tahap keberadaan FSSK dalam kalangan organisasi sukan bertaraf nasional, selain meningkatkan peluang pelajar menjalani latihan industri, jumlah penyelidikan dan penerbitan.


Ahmad Faedzal Md Ramli (kiri) bertukar dokumen MoA dengan Prof Md Amin Md Taff sambil disaksikan oleh Hannah Yeoh.


Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata kolaborasi antara UPSI dan ISN memberi kesan positif serta membantu meningkatkan ranking dan tahap keberadaan UPSI.

“Melalui kolaborasi ini, UPSI akan memperoleh pertukaran idea mengenai pengendalian atlet pelajar dari aspek akademik dan penglibatan sukan, pengurusan sukan serta pertambahan penyelidikan di samping penerbitan secara bersama.

“Jalinan kerjasama ini akan meluaskan jaringan hubungan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa di samping meningkatkan penyelidikan serta penerbitan Scopus.

“UPSI sentiasa komited untuk memastikan pembangunan kemajuan, kecemerlangan sains dan teknologi sukan negara serta melahirkan atlet bertaraf dunia melalui penerapan elemen sains sukan bermula pada peringkat akar umbi sehingga menjadi atlet bertaraf dunia,” ujar beliau. - KitaReporters


Prof Md Amin bergambar bersama Hannah Yeoh serta pengurusan tertinggi ISN dan tetamu yang hadir.

10
11
0
12
0
You will be interested