UMT menyediakan gerobak makanan percuma untuk pelajar yang terkesan dengan kenaikan harga barang.
UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) yang prihatin terhadap kebajikan pelajar berikutan kesan kenaikan harga barangan, tampil dengan beberapa inisiatif melalui UMTPrihatin dan HEPA Cakna bagi membantu pelajar menghadapi suasana kehidupan di kampus berikutan kenaikan harga barang terutama harga makanan.
Naib Canselor UMT Profesor Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, pihak universiti melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) telah mengenal pasti pelajar yang kurang berkemampuan daripada golongan B40 dengan menyediakan Bantuan Dana Siswa dan Dana Asnaf Zakat berupa wang sara hidup.
Lagi
Dr Mazlan Abd Ghaffar
Katanya, Dana Siswa dan Dana Asnaf Zakat yang diagihkan sejak Januari sehingga Jun 2022 berjumlah RM542,165 telah memberi manfaat kepada 7,324 pelajar UMT yang memerlukan.
Menurutnya, pengecualian bayaran sewaan premis
kafetaria di dalam kampus selama enam bulan bermula Julai hingga Disember 2022
dijangka dapat membantu pengawalan kenaikan harga sekali gus dapat menyerap kos
peningkatan harga makanan yang memberi impak kepada pelajar.
“UMT turut melaksanakan pengawalan dan pemantauan kadar harga makanan serta kualiti perkhidmatan di kafetaria dalam kampus dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi memastikan tiada kenaikan harga yang tidak sepatutnya." katanya dalam satu kenyataan media pada hari ini, Khamis, 6 Julai 2022.
Selain itu menurut Dr. Mazlan, penyediaan menu Keluarga UMT pada kadar harga siling RM3.50 per hidangan bagi menu-menu terpilih di kafetaria dalam kampus dilaksanakan agar setiap pelajar dapat menikmati hidangan.
Beliau berkata, Program Ziarah Cakna Pelajar Luar Kampus dengan menyediakan sumbangan bahan mentah untuk penyediaan makanan turut dilaksanakan dalam meringankan beban pelajar.
Penyediaan makanan percuma untuk pelajar UMT
Mengulas lanjut Dr. Mazlan berkata bantuan makanan
percuma juga disediakan melalui program Act-of-Kindness dan Gerobok Rezeki Mutiara UMT
(AOK-GR).
Katanya, sumbangan agensi korporat dan individu
yang mula dijalankan sejak tahun 2017 masih diteruskan dengan menyediakan
masakan dan barangan percuma kepada pelajar di asrama.
“Jualan makanan ringan dan panas tanpa keuntungan yang dijalankan juga dapat membantu meringankan beban kewangan pelajar,” katanya.
Beliau berkata, pelajar hanya perlu membawa bekas
makanan sendiri untuk mendapatkan makanan yang disediakan.
“Diharap inisiatif yang diambil oleh UMT ini dapat mengurangkan kos sara hidup pelajar yang terjejas akibat kenaikan harga bahan mentah sekali gus memberi peluang kepada pelajar untuk terus fokus terhadap pelajaran dan aktiviti kampus tanpa terlampau memikirkan isu kenaikan harga makanan yang dialami,” katanya. - KitaReporters
Sebahagian makanan percuma yang disediakan oleh UMT kepada pelajar