UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) mendapat penghormatan apabila buat kedua kalinya telah mewakili Malaysia sebagai penganjur dan tuan rumah kepada “Malaysia Launch of The 2021 Report of the Lancet Countdown on Health and Climate Change” (Pelancaran Peringkat Malaysia bagi Laporan 2021 Kira Detik Lancet untuk Kesihatan dan Perubahan Iklim) yang merupakan kerjasama antarabangsa secara bebas yang memantau kesihatan global akibat daripada perubahan iklim.
Bermula dari penubuhan Suruhanjaya Lancet pada tahun 2015, acara Kira Detik Lancet itu telah diadakan pada setiap tahun bagi membentangkan satu laporan khas berdasarkan petunjuk-petunjuk melalui penerbitan kajian penyelidikan terkini, yang telah menggabungkan kepakaran penyelidik-penyelidik terkemuka dari 43 institusi akademik dan agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Lagi kisah menarik berkaitan Universiti Malaysia Terengganu
Kredit foto: Media UMT
Init pati laporan ini adalah berkisar tentang kesan perubahan iklim dunia pada tahun terkini iaitu 2021 kepada kesihatan global dan membentangkan tindakan yang bakal diambil oleh para pemimpin di seluruh dunia bagi mengatasi masalah ini.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, telah membicarakan tentang sorotan Laporan 2021 Kira Detik Lancet iaitu, perubahan iklim telah ditakrifkan sebagai "kod merah untuk masa depan yang sihat", menimbulkan ancaman serius kepada kesihatan awam sambil memperdalam lagi ketidaksamaan pada peringkat global, khususnya dalam komuniti yang terdedah kepada ketidakcukupan bekalan makanan dan air, gelombang panas dan penyebaran penyakit berjangkit.
Katanya, walaupun dunia kini sedang menghadapi kemerosotan dari segi kesihatan, runtuhan ekonomi dan emosi kesan dari tragedi pandemik Covid-19 yang masih berlangsung hingga ke hari ini, masyarakat seharusnya tidak memandang enteng serta mengabaikan kemusnahan alam sekitar yang semakin hari semakin berleluasa dan berkemungkinan tidak dapat dibendung lagi.
“Oleh itu, tindakan segera dan langkah berjaga-jaga perlulah dirancang dan dilaksanakan secepat mungkin oleh masyarakat dunia bagi menghalang dari berlakunya tragedi yang lebih besar dan membawa kepada kemusnahan sejagat” katanya ketika merasmikan program tersebut secara maya.
Dr. Noraini Ahmad berkata, kunci kepada masyarakat yang berdaya tahan ialah pendidikan berkualiti, yang juga merupakan SDG PBB ke-4. Menyediakan pendidikan berkualiti sentiasa menjadi tumpuan Universiti Malaysia.
Dr Noraini Ahmad sedang menyampaikan ucapan
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa menggalakkan universiti membangunkan program pendidikan yang mengajar pelajar tentang perubahan iklim dan kesannya terhadap kesihatan.
Mereka harus bertujuan untuk melahirkan siswazah holistik yang akan memberikan sokongan masyarakat serta membolehkan mereka menyumbang ke arah melindungi alam sekitar dan kesihatan awam. Pelajar universiti adalah ejen perubahan yang memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan mampan negara.
Profesor Dr Elizabeth Robinson merupakan penceramah utama dalam acara tersebut, yang juga ahli lembaga United Kingdom Lancet Countdown, turut berkongsi pandangan berharga beliau yang pastinya dapat memberikan panduan kepada kerajaan di seluruh dunia semasa mereka membentuk dasar kebangsaan mengenai pengurangan dan penyesuaian perubahan iklim.
Menurutnya, Malaysia dan negara-negara di seluruh dunia berkemungkinan sedang mengalami peningkatan kematian akibat dari pemanasan global.
Dr Mazlan Abdul Ghaffar sedang menyampaikan ucapan
Sementara itu, Naib Canselor UMT Profesor Dr. Mazlan Abdul Ghaffar berkata, pihak universiti akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam melahirkan insan-insan yang berilmu serta bertanggunjawab dalam memulihara alam sekitar dan memimpin pembangunan dunia secara mapan dan selesa untuk didiami oleh generasi masa hadapan.
Katanya, acara yang berlangsung selama tiga jam itu telah disaksikan oleh bukan sahaja penonton di dalam Malaysia, malahan turut disertai para penonton dari seluruh pelosok dunia melalui capaian dalam talian, Webex Meet.
Hadir sama dalam acara terkemuka ini ialah Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, dan Mark Stevenson, pengarang dan Penasihat Kementerian Pertahanan United Kingdom mengenai Keamanan, Keselamatan dan Perubahan Iklim.
Pada akhir agenda, telah diselitkan juga persembahan dari kanak-kanak cilik peringkat Prasekolah melalui Suara dan Aspirasi Generasi Masa Depan yang memberi gambaran bahawa mereka menginginkan sebuah negara yang aman dan selesa untuk didiami tanpa sebarang kemusnahan mahupun ancaman.
Acara ini telah berjaya mengumpulkan lebih 3,000 penonton dari 30 negara termasuk Malaysia, China, Turki, Indonesia, Taiwan, Brunei, Singapura, Denmark, Ireland, UK, UAE, India dan Korea yang sama-sama hadir memberi sokongan padu mereka kepada agenda utama dunia ini. - KitaReporters