Pasukan bola sepak Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) diuji sebelum menghadapi kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi Islam Malaysia (SUPTIM) kali ke-20 pada 10 hingga 14 Februari 2024.
Rektor KUIPs Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle bersama Jawatankuasa Pengurusan Universiti dan staf mengadakan perlawanan menentang pasukan bola sepak pelajar universiti ini.
Katanya, walaupun skuad bola sepak universiti ini menjalani latihan sebelum ini namun mereka perlu juga mengadakan perlawanan persahabatan sebagai persediaan untuk pertemuan dengan pasukan lawan nanti.
“Kehadiran staf di Padang Simpang Ampat Perlis petang kelmarin (21 Januari 2024) menunjukkan warga universiti ini sentiasa memberi sokongan kepada pelajar-pelajarnya,” ujar beliau lagi.
Sementara itu Ketua pasukan bola sepak KUIPs Mohd Faridzan Jaiby yang ditemui berkata, mereka telah membuat persediaan dengan menjalani latihan intensif setiap minggu iaitu setiap jumaat dan Sabtu.
Katanya, persediaan pada tahun ini (2024) dilihat lebih baik daripada sebelum ini termasuk mengadakan perlawanan persahabatan sebagai ujian persediaan bagi mereka.
“Sesungguhnya kesudian Rektor, pegawai dan staf turun padang untuk mengadakan perlawanan persahabatan petang kelmarin memberikan semangat kepada kami untuk berjuang habis-habisan dan membawa nama KUIPs di SUPTIM nanti,” ujarnya lagi. - KitaReporters/KUIPs