Kampus & Pendidikan 28 Jul, 2022

Syabas UTM dan PIS! Projek KTP-RIG dirangka santuni golongan istimewa! Buat pelajar bermasalah pendengaran!

@khadijah mohamad nor
Pernah berkhidmat sebagai Wartawan Eksekutif di akhbar Kosmo! selama hampir 14 tahun. Berpengalaman dalam penulisan rencana, sukan, berita dan luar negara. Graduan Universiti Teknologi Mara dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Tesktil. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this


GOLONGAN pelajar yang terdiri daripada Orang Kelainan Upaya (OKU) tidak pernah dinafikan hak mereka dalam perjuangan menuntut ilmu. Sama ada pada peringkat sekolah rendah, menengah mahupun di Institusi Pengajian Tinggi (IPT), mereka tetap berpeluang mendapat pendidikan dengan cara yang tersendiri.

Menyedari hakikat ini, satu konsolidasi projek pembangunan insaniah bagi pelajar bermasalah pendengaran di IPT telah dirangka bagi menyantuni golongan istimewa tersebut

Melalui geran projek Knowledge Transfer Programme - Research Innovation Grant atau Program Pemindahan Pengetahuan - Geran Inovasi Penyelidikan (KTP-RIG) UTM, program ini merangkumi santunan dalam aspek jasmani dan rohani para pelajar yang terlibat.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Orang Kurang Upaya (OKU)


Dr. Syar Meeze (berbaju hijau muda) mengetuai sesi pembelajaran al-Quran bersama sebahagian pelajar bermasalah pendengaran yang terlibat dalam projek UTM KTP-RIG yang berlangsung di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir, Gudang, Johor. -  Kita Reporters / Kredit Foto : Politeknik Ibrahim Sultan

Untuk tahun 2022, projek ini disasarkan kepada lingkungan persekitaran pelajar bermasalah pendengaran di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Pasir Gudang, Johor. Bagi pelaksanaan program ini, ia melibatkan golongan bermasalah pendengaran dan tipikal dari politeknik dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), ibu bapa, pensyarah serta alumni khas

Skop pembangunan insaniah yang dibangunkan meliputi empat kluster utama iaitu pemindahan ilmu solat dan al-Quran, gerakan kesukarelawanan, projek start-up usahawan serta pembangunan infrastruktur. Setakat ini, dua daripadanya telah berjaya dilaksanakan dengan melibatkan 15 orang sukarelawan dan 40 orang pelajar bermasalah pendengaran di PIS.

Ketua projek geran UTM KTP-RIG, Dr. Nurul Aini Mohd. Ahyan berkata, PIS dipilih sebagai kumpulan sasaran perintis berdasarkan variasi latar belakang dan tahap permasalahan pendengaran pelajar khas yang terlibat, serta lokaliti yang lebih hampir dengan UTM kampus Skudai, Johor.


Salah seorang tenaga pengajar bengkel ToT, Siti Suhaila Samian mengajar menggunakan bahasa isyarat kepada para pelajar bermasalah pendengaran.


Menurut beliau lagi, selain daripada peruntukan kewangan geran yang diperoleh dari UTM, pelaksanaan projek ini turut mendapat bantuan sumbangan secara in-kind melalui syarikat milik alumni PIS dan pertubuhan alumni sendiri, yang bakal membantu dalam proses pembangunan infrastruktur bagi keperluan golongan sasaran.

"Projek ini dimulakan dengan Bengkel Training of Trainers (Melatih Pelatih atau ToT) yang berlangsung dengan jayanya pada 20 hingga 21 Mei 2022 yang lalu kepada para Sukarelawan Mahasiswa dan Ibu Bapa (MAHIBA) UTM. Sukarelawan MAHIBA terdiri daripada kalangan pelajar UTM, alumni tipikal dan khas PIS, guru sekolah serta ibu bapa yang mempunyai anak berkeperluan khas. Bengkel ini bertujuan untuk memberikan pendedahan dan persediaan sebelum bengkel pemindahan ilmu solat dan al-Quran yang sebenar.

"Peserta didedahkan dengan beberapa slot yang padat dan komprehensif termasuk kemahiran berkomunikasi dalam bahasa isyarat, kewajipan dan kaedah menunaikan solat bagi golongan bermasalah pendengaran, pengenalan kepada huruf hijaiyah dalam bahasa isyarat serta tips dan panduan menyantuni golongan istimewa ini. 


Para peserta teruja apabila berpeluang mendapat bimbingan daripada barisan fasilitator terlatih yang terlibat sepanjang program berlangsung. 


"Setelah kejayaan bengkel ToT, khidmat rundingan profesional daripada barisan asatizah hebat dari Yayasan Pendidikan Al-Quran Bagi Anak Istimewa (Yayasan FAQEH) telah berjaya dilaksanakan selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Jun 2022. 

"Seramai lapan orang asatizah yang dibantu oleh 12 orang sukarelawan MAHIBA berganding bahu dalam membimbing 40 orang pelajar khas PIS dalam sesi bengkel yang telah disusun atur caranya secara perbincangan dua hala di antara kumpulan penyelidik geran dan Yayasan FAQEH sendiri," jelas Dr. Nurul Aini.

Tambah beliau, atur cara dimulakan dengan sesi terapi rukyah oleh salah seorang penceramah dari Yayasan FAQEH dan diikuti taklimat ringkas berkenaan program selama tiga hari ini. 

"Slot program diagihkan kepada teori dan praktikal yang merangkumi kewajipan mandi wajib dan solat fardhu untuk hari pertama, tilawah pada hari kedua serta tadabbur al-Quran pada hari yang terakhir. Sebanyak lima kumpulan kecil dibentuk dan dibantu oleh sukarelawan MAHIBA serta asatizah.

Poster Bengkel Pemantapan Al-Quran & Ibadah bagi pelajar-pelajar bermasalah pendengaran yang berlangsung di Galeri, Creative Design Centre (CDeC), PIS.


"Setiap slot yang dirangka dan dilaksanakan mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Ini tidak lain adalah untuk menepis persepsi masyarakat umum tentang golongan istimewa ini yang sering dianggap tidak berkewajipan untuk menunaikan ibadah khusus dan mengaji al-Quran kerana kekurangan diri mereka. 

"Hakikatnya, kewajipan ini tidak boleh dipandang enteng oleh ibu bapa dan masyarakat sekeliling sehingga menidakkan hak mereka untuk menjadi seorang Muslim yang terbaik dan berilmu," terang beliau lagi.

Menurut Dr. Nurul Aini, perkara ini dapat dilihat daripada slot teori dan praktikal kewajipan mandi wajib. Masih terdapat salah faham dalam kalangan pelajar bermasalah pendengaran dari segi keperluan dan syarat sah untuk mandi wajib. 

Maka, di sinilah besarnya peranan ibu bapa, guru, rakan-rakan terutamanya yang arif dalam bidang ini untuk membimbing golongan istimewa ini supaya tidak terus melakukan kesalahan yang sama berulang kali.


Barisan fasilitator dan para peserta bergambar kenangan dalam program Musabaqah Tilawah Tanpa Suara yang berlangsung dengan jayanya.

Lebih menyentuh hati ialah ketika berlangsungnya sesi Musabaqah Tilawah Tanpa Suara (MTTS) pada petang hari kedua bengkel ini. 

Pengerusi Yayasan FAQEH, Dr. Syar Meeze Mohd Rashid memberitahu, golongan pekak tidak berpeluang untuk merasai pengalaman menyertai pertandingan tilawah seperti golongan tipikal yang lain. 

"Maka, inisiatif ini diwujudkan bagi menambah minat dan kecintaan golongan ini supaya lebih mendalami dan membudayakan al-Quran dalam kehidupan seharian mereka. 

"Kesannya, kepuasan yang tidak terhingga dapat dilihat daripada semua peserta apabila program ini melabuhkan tirai pada hari ketiga. Rata-rata menyatakan bahawa mereka lebih faham dengan tuntutan-tuntutan dalam Islam dan berazam untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik. Mereka juga bertekad untuk sentiasa istiqamah dalam menjalankan ibadah wajib tanpa menjadikan kekurangan fizikal sebagai alasan untuk meninggalkannya," kata Dr. Syar Meeze.

Diharapkan agar projek yang sedang berlangsung sejak Mac 2022 sehingga Februari 2023 ini berjaya direalisasikan sepenuhnya seperti yang dirancang dan bakal memberikan manfaat jangka panjang kepada semua pihak yang terlibat demi kemaslahatan ummah, organisasi, institusi dan negara. 

Tahniah buat para penganjur atas inisiatif yang membawa manfaat buat golongan istimewa bermasalah pendengaran ini. Semoga lebih banyak pihak tampil memberi bantuan dan sokongan dalam menjayakan projek sebegini. - KitaReporters


Sebahagian penyelidik Geran KTP-RIG dari  UTM dan PIS yang diketuai Dr. Nurul Aini (tengah).

11
13
0
15
0
You will be interested