Kampus & Pendidikan 10 Oct, 2024

Terbaiklah UPSI! Terus perkasa tulisan jawi sekitar kampus! Pupuk semangat cintakan bahasa Melayu!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Papan tanda jalan, pada bangunan dan pejabat dimuatkan dengan tulisan jawi.


SITUASI tulisan jawi yang kurang diberi perhatian oleh masyarakat mendorong Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, untuk berusaha memartabatkan tulisan itu di sekitar dua kampusnya.

Usaha itu juga molek ke arah untuk menghidupkan serta memotivasi penggunaan tulisan jawi dalam kalangan masyarakat terutama bagi generasi muda supaya mempelajarinya serta memahirkan dalam pembacaan juga penulisan.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata usaha memartabatkan tulisan jawi harus dilakukan supaya tulisan atau aksara bahasa Melayu itu dapat diperkasakan semula.


Prof Dr Md Amin Md Taff


UPSI mahu mahasiswa menikmati keunikan tulisan jawi.


Sehubungan itu, menurutnya, semua papan tanda di bangunan dan pejabat yang ada di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah dan Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) yang terletak di Proton City akan dimasukkan tulisan jawi selain rumi.

Sejak beberapa tahun lalu, UPSI memuatkan tulisan jawi pada papan tanda jalan sekitar Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJ) di Tanjong Malim.

“Usaha ini perlu dilakukan memandang UPSI yang bermula dengan zaman Sultan Idris Training College (SITC) melahirkan pejuang kemerdekaan yang menggunakan medium persuratan, malah Pendeta Za’ba juga pernah berkhidmat sebagai penterjemah di Pejabat Karang Mengarang ketika itu,” ujarnya.  

Justeru, Prof Md Amin, berkata sebagai menyambung semangat cintakan bahasa dan kesusasteraan Melayu zaman silam, UPSI harus bangkit menyemarakkan kecintaan terhadap bahasa Melayu dan tulisan jawi. 


Bangunan Suluh Budiman tempat Pendeta Za’ba pernah berkhidmat sebagai penterjemah di Pejabat Karang Mengarang pada tahun 1922. 


Usaha baik itu akan digerakkan menerusi Institut Peradaban Melayu (IPM) yang berperanan mengangkat dan menyelidik hal-hal berkaitan peradaban Melayu .

Tambahnya, UPSI akan komited memperjuangkan tulisan jawi supaya tidak lupus ditelan zaman dalam situasi mengharungi arus kehidupan moden dan digital sekarang.

“UPSI turut  menawarkan kursus minor jawi di bawah Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu (JBKM), Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) sejak beberapa tahun lalu bertujuan menghidupkan tulisan itu dalam kalangan mahasiswa,” ujarnya.

Prof Md Amin turut menyarankan supaya pelbagai program mengimarahkan tulisan jawi dilaksanakan di universiti supaya mahasiswa dapat menikmati keunikan tulisan jawi. - KitaReporters


UPSI mahu memperkasakan tulisan jawi.

14
10
0
7
0
You will be interested