Kampus & Pendidikan 28 Aug, 2025

Bentuk nilai kepimpinan Madani! PIBKS Kuala Terengganu anjur Chit Chat! Bersama 180 ahli MPP pelajar!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Penubuhan organisasi yang mewakili Tingkatan Enam iaitu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) merupakan wadah terbaik untuk meneruskan ukhuwah antara sesama mereka di samping menjaga hubungan dengan pihak sekolah.


Sebahagian Ahli Majlis Perwakilan Pelajar yang menyertai Program Chit Chat Bersama PIBKS.


Sehubungan itu sebagai usaha murni memperkasakan majlis itu, Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Daerah Kuala Terengganu menganjurkan Program Chit Chat Bersama PIBKS bertemakan ‘Pemimpin Hari Ini Pemimpin Masa Depan’, diadakan di Ar-Riyadah Residence, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Gong Badak, Kuala Terengganu, selama dua hari bermula 20 Ogos 2025.

Pengerusi PIBKS, Daerah Kuala Terengganu, Armi Irzan Mohamad, berkata program itu dirangka khusus untuk memperkasakan majlis berkenaan dengan nilai-nilai kepimpinan berteraskan konsep Madani seperti kecekapan, intergriti, hormat dan kasih sayang.

Selain itu, tambahnya, memberikan pendedahan kepada ilmu kenegaraan dan kemahiran organisasi kepada pelajar Tingkatan Enam di samping turut mengasah daya kepimpinan holistik menerusi pendekatan ‘hand-on’, interaktif serta berasaskan nilai sejagat.


Wan Ahmad Samir Wan Mohd Noor (tengah) pada forum bertajuk Kepimpinan Hari Ini Pemimpin Masa Depan.


“Program ini yang dirancangkan dengan teliti juga secara tidak langsung sebagai menyahut usaha kerajaan melahirkan satu kekuatan baharu masyarakat Madani yang mampu mempertahan akidah, nilai, akhlak, kebenaran dan keadilan.

“Saya yakin majlis akan memainkan peranan sama bagi membantu usaha ini termasuklah menyebarkan maklumat kepada rakan pelajar di samping menyokong dan menyantuni program yang diadakan pihak sekolah ke arah melahirkan generasi muda yang bertanggungjawab serta masyarakat Madani,” ujarnya.

Program itu membabitkan 180 pelajar Tingkatan Enam iaitu Ahli MPP dari tujuh sekolah di daerah Terengganu iaitu Kemaman, Dungun, Besut, Setiu, Marang, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu. 

Ia juga turut disertai lapan Penolong Kanan Tingkatan Enam Kuala Terengganu, Pegawai Meja (PM) Pengurusan Tingkatan Enam, PM PIBKS, ahli PIBKS, urus setia serta 23 guru pengiring.


Ahli Majlis Perwakilan Pelajar melafazkan ikrar Rukun Negara.


Pada hari pertama program itu ia dimulakan dengan slot Bicara Kenegaraan; Aku Kasih Malaysia diikuti Aktiviti Fizikal (Team Building 1), Kuliah Magrib dan diakhiri dengan Chit Chat Bersama PIBKS. Manakala pada hari kedua didahulukan dengan Kuliah Subuh kemudian disusuli Aktiviti Fizikal (Team Building 2) sebelum berakhir dengan majlis penutup diadakan Pengucapan Awam yang disampaikan wakil setiap kumpulan.

Armi Irzan berkata, program itu berjaya untuk meningkatkan daya kepimpinan dan keyakinan diri pelajar dengan menyemai nilai Madani seperti ihsan, hormat dan intergriti dalam kalangan pelajar pada peringkat awal sebelum menyambung pengajian pada peringkat tertinggi.


Pengarah Akademik Kenegaraan Malaysia (AKM), Ahmad Khairuddin Mohammed menyampaikan sijil kepada guru pengiring dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Haji Abdul Rahman Limbung sambil diperhatikan oleh Armi Irzan Mohamad (kanan).


Jelaskan, dengan barisan ahli panel yang berwibawa serta berpengalaman iaitu Dato’ Indera Wan Ahmad Samir Wan Mohd Noor, Dato’ Mohd Rozi dan Mantan Pengetua Cemerlang Jusa C, Zah Mohamd pada program berbentuk forum bertajuk Kepimpinan Hari Ini Pemimpin Masa Depan memberi asas kepada pembentukan kemahiran komunikasi serta kerja berpasukan.

“Program ini juga mendedahkan kepada membentuk pemimpin yang berdaya fikir, berdaya tahan, berwibawa serta mengukuhkan hubungan kolaboratif antara pelajar, sekolah dan agensi luar, manakala program itu berjaya diadakan dengan lancar hasil kerjasama semua,” ujarnya. - KitaReporters


Ahli Majlis Perwakilan Pelajar merakam kenangan bersama-sama Pengarah Pendidikan Terengganu, Kamsah @ Kamal Mohamed, Armi Irzan dan guru-guru pada program berkenaan.

14
11
0
9
0
You will be interested