Pendedahan
kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) amat perlu
terutama kepada pelajar sekolah yang bakal meneruskan persekolahan mereka.
Justeru itu, seramai 39 orang pelajar Tingkatan 3 dan 4 dari SMK Datuk Haji Hussein, Selama, Perak mengadakan Lawatan Sambil Belajar (Lasbela) ke Politeknik Ungku Omar (PUO) baru-baru ini.

Mereka telah
diberi pendedahan awal mengenai potensi kerjaya dalam bidang TVET.
Lawatan yang
dikoordinasikan oleh Unit Komunikasi Korporat (UKK) PUO ini merupakan salah
satu inisiatif promosi pendidikan tinggi yang memberi tumpuan kepada bidang
marin dan kejuruteraan perkapalan -- antara program teknikal yang berdaya saing
dan mempunyai permintaan tinggi pada peringkat industri global.
Rombongan pelajar yang diiringi kaunselor sekolah dan dua guru pengiring telah diberi taklimat pengenalan mengenai PUO dan peluang pengajian yang ditawarkan di PUO oleh Khamsiah Ishak dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) PUO.

Dalam pada itu turut diadakan kuiz interaktif dan pelajar turut menerima cenderahati dan hadiah sebagai penghargaan bagi penglibatan aktif semasa sesi kuiz interaktif berlangsung.
Lawatan pelajar
tersebut diteruskan ke Jabatan Kejuruteraan Perkapalan (JKP) di mana pelajar
diberi penerangan berkaitan prospek kerjaya dalam industri marin oleh pensyarah
JKP, Mizanur Rahman Mohd. Ali.
Antara segmen paling menarik perhatian pelajar
adalah pengalaman ‘hands-on’ mengendalikan kapal dalam Bilik Simulasi Kapal
serta tinjauan ke bengkel kejuruteraan perkapalan yang lengkap dengan fasiliti
terkini.
Ketua Unit
Komunikasi Korporat PUO, Noor Idayu Yeop Husin berkata, program Lasbela ini dijayakan
bagi menyokong agenda dan aspirasi negara dalam memperkasa TVET sebagai
pemacu pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.
"Ia juga bagi membimbing pilihan pendidikan dan membantu pelajar membuat pilihan yang lebih terarah selepas tamat SPM berdasarkan minat, bakat dan peluang yang ada," katanya.

Diharap melalui program Lasbela ini, dapat menyemai minat pelajar terhadap bidang teknikal dan vokasional seawal mungkin serta membuka ruang kesedaran kepada generasi muda tentang potensi kerjaya dalam bidang yang semakin mendapat perhatian pada peringkat nasional dan antarabangsa. - KitaReporters
