Ketika pelajar-pelajar lain sibuk mengulang kaji pelajaran atau berbual mesra di kantin, seramai satu daripada dua pelajar perempuan di Malaysia pernah berfikir untuk kekal di rumah.

Bukan kerana demam atau malas, tetapi terpaksa ponteng sekolah semata-mata kerana ketidakmampuan menguruskan haid dengan selamat dan bermaruah.
Inilah realiti pahit isu kemiskinan haid (period poverty) yang merangkumi kekurangan akses kepada produk kebersihan, kemudahan sanitasi yang selamat, dan pendidikan kesihatan reproduktif menyeluruh.
Isu yang sering dianggap tabu ini kini terbukti bukan sekadar masalah kesihatan fizikal, tetapi barah yang mengancam pendidikan, maruah, dan kesaksamaan gender generasi muda negara.
“Apabila seorang pelajar perempuan tidak dapat menguruskan haid dengan selamat dan bermaruah, ia boleh menjejaskan kehadiran ke sekolah, prestasi akademik, dan kesejahteraan emosi mereka,” ujar Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Dato Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika melancarkan Kempen Kesedaran Kemiskinan Haid bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras pada 29 September 2025.

Turut hadir antaranya Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan, Khairul Rizam Abu Samah; Ketua Pegawai Eksekutif UniLavendar Sdn Bhd, Madhu Nambiar dan Pengetua SMK Cheras, G Shariza Shaharuddin.
Berkongsi lanjut, Dr.Wan Azizah mendedahkan, ketidakmampuan membeli tuala wanita bukanlah cerita asing, terutama bagi golongan B40.
Statistik menunjukkan 13.1% remaja perempuan dan wanita muda di Kuala Lumpur berada dalam dilema ini setiap bulan.
"Bayangkan, sebuah keluarga yang mempunyai lebih daripada seorang wanita boleh menanggung kos sehingga RM51 sebulan hanya untuk keperluan asas ini, satu beban kewangan yang boleh memaksa mereka memilih antara makanan dan tuala wanita," ujar isteri kepada Perdana Menteri Malaysia ini yang lebih mesra disapa ‘Kak Wan’.

Madhu Nambiar (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan 2,000 unit tuala wanita kepada pelajar-pelajar sekolah di Parlimen Bandar Tun Razak kepada Khairul Nizam Abu Samah sambil disaksikan oleh Dr. Wan Azizah wan Ismail.
Cabaran ini bukan hanya tertumpu di bandar, tambah Dr. Wan Azizah, tetapi situasi bertambah genting di kawasan pedalaman dan komuniti Orang Asli di mana sehingga 77% penduduk hidup di bawah garis kemiskinan, dengan 35% dalam kemiskinan ekstrem malah ketiadaan akses kepada air bersih dan kemudahan sanitasi asas yang memburukkan lagi keadaan.
“Di Sabah dan Sarawak, kadar kemiskinan dalam kalangan Bumiputera yang masing-masing mencecah 20% dan 7.3% pula meletakkan mereka antara golongan paling terdedah kepada kemiskinan haid," tambah beliau.

Kak Wan turut bersama menyaksikan MoU ditandatangani antara Uni Lavendar dan Majlis Belia Wilayah Persekutuan. - Kredit Foto: FAS.
Tinjauan oleh NGO turut mendedahkan bahawa 1 daripada 4 remaja perempuan di kawasan luar bandar tidak mempunyai akses konsisten kepada produk haid, mengancam peluang mereka untuk menikmati pendidikan yang berterusan.
“Kita tidak boleh membiarkan anak-anak gadis kita terpaksa memilih antara makanan dan tuala wanita. Kita tidak boleh membiarkan mereka duduk di rumah ketika datang bulan kerana malu atau tidak mampu menguruskan haid dengan selamat.
"Ini bukan sahaja menjejaskan pendidikan mereka, tetapi juga keyakinan diri dan masa depan mereka,” tegas Kak Wan.
Beliau berpendapat, kempen ini bukan sekadar penyediaan produk sanitari, Ia adalah usaha menyeluruh untuk menghapuskan stigma, meningkatkan literasi kesihatan reproduktif, dan mewujudkan persekitaran yang inklusif dan menyokong.


“Kita mahu setiap pelajar perempuan tahu bahawa haid bukanlah sesuatu yang memalukan, dan mereka berhak mendapat sokongan yang sewajarnya,” ujar Kak Wan sambil menyeru semua pihak menyertai usaha menyeluruh ini, bukan sekadar menyediakan produk sanitari, tetapi juga untuk menghapuskan stigma, meningkatkan literasi kesihatan reproduktif, dan mewujudkan persekitaran yang inklusif.
Dalam pada itu, Dr. Wan Azizah memaklumkan usaha menangani isu ini telah mula digerakkan secara proaktif.
Kerajaan Persekutuan melalui Belanjawan 2022 telah menyalurkan kit kebersihan asas kepada 130,000 remaja perempuan B40 setiap bulan, satu langkah yang wajar dipuji.

Kerajaan negeri juga tidak ketinggalan, dengan Perak melalui program PROKiS menyasarkan 2,000 penerima kit sanitari di setiap daerah, manakala Selangor memperuntuk RM200,000 dalam Belanjawan 2023 bagi kempen kesedaran dan penyediaan tuala wanita percuma.
“Marilah kita jadikan insiatif murni Majlis Belia Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Syarikat UniLavender ini sebagai satu contoh yang progresif, yang bukan sahaja amat penting dari aspek pembangunan komuniti tetapi juga prihatin terhadap isu sosial dan kesihatan pelajar,” akhiri Dr. Wan Azizah. - KitaReporters