Kampus & Pendidikan 14 Jun, 2025

Pendidikan TVET diperkukuh! RM50j lagi untuk Majlis TVET Negara! Bagi TVET, teknikal, keusahawanan!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Bagi memantapkan lagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kerajaan bersetuju menambah peruntukan sebanyak RM50 juta kepada Majlis TVET Negara untuk mengendali program TVET, teknikal dan keusahawanan.

Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan RM10 juta khusus untuk TVET Negeri Melaka.

"Saya tegaskan betapa dua tahun lalu (2023), kita menghadapi kesukaran untuk meyakinkan syarikat dan konglomerat besar tentang keupayaan kita menyediakan tenaga mahir yang memenuhi keperluan industri. 

"Namun, hari ini (2025) keadaan telah jauh berubah dan kebimbangan itu mula terurai tatkala kita berjaya mencatat hampir setengah juta anak muda untuk memilih TVET. 

"Ia merupakan satu gambaran jelas tentang usaha kolektif dan keyakinan ibu bapa dan rakyat terhadap masa depan anak-anak mereka," jelas beliau.



Perdana Menteri berkata demikian ketika hadir merasmikan Hari TVET Negara 2025 di Bandar Raya Melaka pada 12 Jun 2025. 

Menurutnya, ini adalah hasilnya apabila kerajaan dapat bekerja sederap bersama pasukan, tidak sama sekali mendabik dada bahawa ia hanya usaha dan inisiatif mana-mana menteri atau mana-mana kementerian sahaja. 

"Madani mesti disemangati dengan sikap berpasukan yang tinggi dan jauhi sikap ujub yang berlebihan. Justeru, jangan kita perkecilkan usaha dalam memantapkan TVET. 

"Saya tekankan bahawa pendidikan bukan sekadar menggarap ilmu, tetapi ia adalah cerminan kepada pembinaan insan yang tidak hanya menyumbang kepada watan, tetapi tinggi nilai dan adab," tambahnya.

Perdana Menteri juga menyebut bahawa Malaysia berjaya mencatat RM89.8 bilion pelaburan untuk suku pertama tahun 2025 pada kala dunia terus kacau bilau dan tidak menentu akibat perang dagang, tarif dan sebagainya. 

"Ini bukan kebetulan, tetapi pelaburan muncul kerana keyakinan -- bahawa tenaga kerja kita bersedia untuk memenuhi keperluan industri seperti pengurusan, pembuatan dan juga sektor teknikal. 

"Mata, mari bersama kita semarakkan TVET kerana ia ternyata menjadi antara jalan dan jalur melonjakkan negara tanpa meninggalkan nilai," tegas beliau. - KitaReporters/Kenyataan Media 


10
15
0
15
0
You will be interested