Kampus & Pendidikan 19 Sep, 2022

Meneroka Potensi, Menjulang Kecemerlangan! Cara UMT raikan kecemerlangan seluruh warga universiti!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this


BERTEMAKAN  “Meneroka Potensi, Menjulang Kecemerlangan”, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meraikan kecemerlangan seluruh warga universiti itu dalam Majlis Anugerah Tahunan (MAT)

Majlis anjuran universiti setiap tahun ini bertujuan untuk meraikan kecemerlangan bakat ahli akademik dan staf sokongan akademik yang telah ditunjukkan dalam pelbagai bidang.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pemberian anugerah-anugerah

Dr Mazlan Abd Ghaffar


Naib Cancelor UMT, Datuk Dr. Mazlan  Abd Ghaffar berkata, tema “Meneroka Potensi, Menjulang Kecemerlangan” yang diangkat pada tahun 2022 ini menggambarkan warga UMT adalah istimewa kerana sentiasa mencipta ruang dan bijak dalam merebut peluang.

Katanya, dengan ruang dan peluang yang ada, warga UMT sentiasa mencipta kejayaan natijah daripada keupayaan profesional, reputasi dan prestasi kerja yang cemerlang.

Menariknya, MAT kali ini turut menobatkan buku Kelulutologi - Merungkai Misteri Kelulut, Alam dan Kehidupan Manusia, yang ditulis oleh Prof. Dr. Shamsul Bahri Abd Razak sebagai penerima Anugerah Buku Ilmiah Terbaik (Sains Tulen).



Buku Kelulutologi ini merupakan nukilan hasil pengalaman penulis menyelidik bidang kelulut selama 10 tahun.  

Buku ini mengupas sifat, kepelbagaian dan ciri kelulut, peranan dan hubungan kelulut dalam melestarikan kehidupan manusia serta alam sekitar serta pengalaman pengembaraan penulis dalam merungkai misteri kelulut Indo-Malaya di negara-negara Nusantara.

Kelulutologi juga mengandungi foto-foto makro kelulut yang cantik dan berwarna-warni. Buku ini sesuai untuk dijadikan rujukan bukan sahaja ahli akademik malah orang awam terutama pengusaha dan peminat kelulut. Buku ini juga telah diulang cetak sebanyak 3 kali.


Dr Shamsul Bahri menerima penghargaan yang disampaikan oleh  Dr Mazlan


Untuk rekod, buku tersebut telah menerima Anugerah Buku Negara 2022 (Buku Umum Terbaik [Alam Semula Jadi & Penyelidikan]) dan turut menerima Anugerah Buku Ilmiah Terbaik (Sains Tulen) dalam kategori Anugerah Julangan Bakat pada MAT 2022. 

Menurut Prof. Dr. Shamsul Bahri pengiktirafan buku Kelulutologi melalui dua anugerah yang diperolehi merupakan hadiah istimewa kepada semua pemain industri kelulut yang selama ini banyak memberi  inspirasi.

Ujarnya lagi anugerah ini menjadi pendorong untuknya terus aktif meneroka “dunia kelulut”.


Antara penerima anugerah daripada pelbagai kategori sempena MAT Universiti Malaysia Terengganu


Sementara itu Profesor Dr. Yusliza Mohd Yusoff yang memegang jawatan sebagai Timbalan Dekan (Bakat & Penyelidikan), Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial telah menerima Anugerah Julangan Bakat melalui kategori Anugerah Kepimpinan Akademik Keseluruhan

Anugerah Kepimpinan Akademik bertujuan untuk memberi pengiktirafan dan sanjungan kepada Ahli Akademik UMT yang telah menunjukkan kecemerlangan dan kewibawaan dalam menerajui bidang pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi, pemindahan ilmu dan kepimpinan akademik secara holistik pada peringkat universiti, negara dan antarabangsa.

Sumbangan dan bakti Profesor Dr. Yusliza kepada UMT memang tidak disangkal lagi melalui kepakararan beliau dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia Lestari dan berjaya membawa nama UMT ke peringkat antarabangsa di dalam bidang yang  diceburi sama ada dari segi penerbitan, hubungan kerjasama serta penyelidikan.



UMT turut meraikan seramai 184 orang kakitangan yang menerima anugerah kecemerlangan dari empat kategori iaitu  Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Khas Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Khas Naib Canselor dan Anugerah Julangan Bakat.

Dr. Mazlan berharap dengan pengiktirafan ini akan menjadi dorongan ke arah membudayakan kecemerlangan dalam semua aspek dan menjadi pembakar yang dapat menyuntik semangat serta terus berkhidmat dengan lebih dinamik, dedikasi, berintegriti dan iltizam yang tinggi.

Tambahnya untuk terus mendaki kecemerlangan, bakat universiti perlu lebih tangkas dan lebih proaktif kepada keperluan semasa dalam sektor pendidikan tinggi. Penggunaan teknologi dan ICT mesti diaplikasikan secara optimum dalam setiap penyampaian perkhidmatan terutamanya proses pengajaran dan pembelajaran serta lain-lain urusan pentadbiran Universiti.

Majlis yang diadakan di Dewan Sultan Mizan, UMT ini turut dihadiri oleh Ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti, Pihak Pengurusan universiti serta dif-dif jemputan. - KitaReporters


10
12
1
19
0
You will be interested