Kampus & Pendidikan 01 Nov, 2020

Masuk rekod! Kumpulan dikir barat Politeknik Sultan Mizan!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb [email protected]

Share this

SENI dikir barat adalah persembahan hiburan tradisional rakyat yang begitu terkenal dan digemari ramai oleh penduduk Pantai Timur khususnya di Kelantan dan Terengganu sejak turun temurun. Tahu tak pasukan dikir barat mana yang paling aktif dalam kalangan institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara ini?? : KitaReporters


Pasukan Dikir Barat Kumpulan Seri Perkasa Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun, Terengganu dapat sijil penghargaan The Malaysia Book Of Records sempena Himpunan Pendikir Muda Terengganu 2020


Lagi cerita-cerita berkaitan tradisional:

https://kitareporters.com/search?search=tradisional


Persembahan dikir barat  yang disampaikan secara berkumpulan dengan setiap kumpulan biasanya diketuai seorang Tukang Karut dan Tok Juara. Tukang Karut dan Tok Juara akan mendahului nyanyian sambil berbalas-balas pantun dan diikuti awak-awak sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang.

Kumpulan dikir barat wujud dalam kalangan masyarakat biasa di kampung kampung dan pinggir bandar di Pantai Timur khususnya. Dikir barat ini biasanya dipersembahkan sebagai hiburan atau pun dipertandingkan.


Peserta dikir barat mewakili pelbagai pasukan dikir seluruh Terengganu menghadiri Himpunan Pendikir Muda Terengganu 2020 di Stadium Gong Badak, Kuala Terengganu


Persembahan hiburan tradisional ini biasanya dimainkan oleh masyarakat pada musim menuai padi dan juga majlis perkahwinan. Pertandingan selalunya diadakan oleh persatuan-persatuan belia tempatan, badan-badan kerajaan ataupun orang-orang tertentu untuk mengutip wang.

Dikir barat adalah permainan yang baru jika dibandingkan dengan teater tradisional yang lain. Perkembangan seni tradisi ini nampaknya baik kerana ia sering menerima perubahan dari bentuk persembahannya dari semasa ke semasa mengikut perkembangan zaman.


Mohd Amran Che Mood (tengah) bersama ahli Kumpulan Dikir Barat Seri Perkasa Politeknik Sultan Mizan dari Dungun, Terengganu antara pelapis dikir barat yang popular di Terengganu



Perkataan dikir ialah hasil dari dua kombinasi seni iaitu dikir dan pantun atau dikir dan karut.  Pengertian "karut" itu sendiri ialah dari istilah mengarut dalam bentuk pantun atau syair. 

Jadi dikir barat, dikir karut, dikir pantun dan dikir syair adalah sama ertinya. Walau bagaimanapun di Kelantan, ia lebih terkenal dengan dikir barat, manakala di selatan Thai dengan dikir karut.

Tokoh-tokoh ternama dalam dikir barat seperti Pak Leh Tapang, Megat Nordin, Halil Yazid, Daud Bukit Abal, Semam Wau Bulan, Cikgu Naim, Saroji Guri Emas dan Zaidi Bulu Perindu adalah sebahagian idola  yang menjadi penghibur kepada penduduk negeri tersebut.


Pengasas Kumpulan Dikir Barat Seri Perkasa Politeknik Sultan Mizan, Mohd Amran Che Mood


Biarpun nama-nama tersohor tersebut sudah tidak aktif dan ada antara mereka yang sudah meninggal dunia, namun dikir barat tetap berkembang maju dengan gaya persembahan dan cara penyampaian mengikut peredaran masa apabila pelbagai pertubuhan dan pasukan pendikir ditubuhkan oleh penggiat seni berkenaan.

Jika dahulu kumpulan dikir barat hanya dimonopoli penduduk kampung, namun ia kini sudah diterokai anak-anak muda malah institusi pengajian tinggi (IPT) juga mempunyai kumpulan dikir barat tersendiri.


Sijil Penghargaan The Malaysia Book Of Records yang diterima oleh Pasukan Dikir Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun, Terengganu

Kumpulan Seri Perkasa Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) adalah antara pasukan dikir barat yang paling aktif dalam kalangan IPT di negara ini.

Pengasasnya, Mohd Amran Che Mood berkata, pasukan itu ditubuhkan pada 2002 bertujuan untuk menanam nilai seni dan budaya dalam kalangan pelajar selain memulihara seni warisan bangsa.

Katanya, sejak penubuhan kumpulan yang disertai 20 pelajar politeknik, ia sudah ramai melahirkan aktivis dikir barat, sekali gus turut membantu menyemarakkan aktiviti dikir barat di negeri-negeri Pantai Timur. 


Antara pencapaian yang diperolehi oleh pasukan dikir Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin


Beliau berkata, aktiviti persembahan dikir barat oleh kumpulan tersebut bukan sahaja terhad kepada di dalam institusi pendidikan sahaja, malah turut mewarnai persembahan dikir dalam kalangan masyarakat luar.

Mohd Amran berkata, sejak ditubuhkan kumpulan tersebut sudah banyak mencapai kejayaan dan diberi pengiktirafan oleh pelbagai pihak menerusi persembahan dan pertandingan yang diadakan seluruh negara. 


Amran (kanan) menyerahkan Sijil Penghargaan The Malaysia Book Of Records kepada Pengarah Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin Dungun, Mohd Fikri Ismail

Katanya, aktiviti terakhir pasukan tersebut ialah Himpunan Pendikir Muda Terengganu 2020 yang diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, pada Februari 2020 sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Program anjuran Kerajaan Negeri Terengganu itu disertai 84 pasukan pendikir membabitkan 2,020 orang ahli kumpulan dikir yang mewakili pelbagai kumpulan dikir barat termasuk sekolah rendah, sekolah menengah, persatuan belia serta IPT seluruh negeri itu. 

Ia satu-satuanya perhimpunan terbesar dikir barat pernah diadakan di Terengganu dan mendapat pengiktirafan The Malaysia Book Of Records sebagai Largest Multilingual "Dikir Barat" Performance 2020. - KitaReporters

4
1
0
0
1
You will be interested