Surau Al-Khairiah di Taman Universiti Wallagonia, Tapah Road telah menjadi pusat kegiatan komuniti apabila berlangsungnya program gotong royong bertajuk “Bersih Jiwa Indah Rumah Allah” pada Sabtu, 13 Disember 2025.

Program ini telah menghimpunkan seramai 63 orang peserta hadir, terdiri daripada pelajar UiTM Kampus Tapah, jawatankuasa Surau Al-Khairiah, serta ahli Persatuan Penduduk Taman Universiti Wallagonia serta taman-taman kejiranan yang berhampiran dalam usaha membersihkan serta memperindah kawasan surau dan dewan bersebelahan.
Program ini diketuai Pengarah Program, Nur Yasmeen Suraya Mohd Fauzi, wakil daripada kelab Persatuan Silat Cekak Malaysia UiTM Kampus Tapah.
Kehadiran para pelajar bersama komuniti setempat telah mewujudkan suasana penuh kerjasama, semangat sukarelawan dan ukhuwah yang erat.
Aktiviti gotong royong meliputi kerja-kerja mencuci bangunan dewan dan persekitaran, memperindah bunga-bungaan yang sedia ada, mencuci tandas serta menghias ruang solat musafir yang baru dibina.

Menurut Nur Yasmeen Suraya, penglibatan pelajar bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti setempat, tetapi juga melatih mahasiswa menjadi insan yang bertanggungjawab dan cakna terhadap keperluan masyarakat.
“Pengalaman turun padang bersama penduduk memberi nilai tambah kepada pembelajaran di universiti kerana ia menghubungkan teori dengan amalan sebenar di lapangan,” katanya.
Selain diketuai oleh Nur Yasmeen Suraya, penyelarasan teknikal dan pengurusan lapangan turut dilaksanakan oleh Hairul Anuar Baharuddin yang memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan program.
Turut hadir, Pengerusi Surau Al-Khairiah merangkap Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Universiti Wallagonia, Saadullah Abu Mat Suaud, yang menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas komitmen para pelajar UiTM Kampus Tapah serta masyarakat setempat.
Beliau menyatakan bahawa program gotong-royong ini bukan sahaja membersihkan rumah Allah, tetapi juga membersihkan jiwa dan menyemai ukhuwah antara generasi muda dengan komuniti.
Selain membersihkan fizikal rumah Allah, program ini turut membawa mesej mendalam tentang kebersihan jiwa dan keindahan ukhuwah.
Ia menjadi bukti bahawa apabila pelajar universiti berganding bahu dengan masyarakat setempat, hasilnya bukan sahaja surau dan dewan yang bersih serta indah, tetapi juga hubungan yang lebih rapat antara generasi muda dan komuniti.
Program ini turut mendapat liputan dan sokongan daripada pihak pentadbiran UiTM Kampus Tapah yang melihat penglibatan pelajar dalam aktiviti komuniti sebagai sebahagian daripada
latihan holistik mahasiswa.
Ia selaras dengan agenda universiti untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga mempunyai jiwa sukarelawan dan kepimpinan sosial.

Secara keseluruhannya, program Bersih Jiwa Indah Rumah Allah bukan sahaja berjaya memperindahkan kawasan surau, tetapi juga menyemai nilai murni seperti tanggungjawab, kesukarelawanan dan kecintaan kepada rumah Allah.
Ia menjadi inspirasi kepada masyarakat Tapah Road untuk terus memakmurkan rumah Allah dengan semangat kebersamaan, serta menjadikan gotong-royong sebagai budaya berterusan demi kesejahteraan bersama. - KitaReporters/UiTM