Kampus & Pendidikan 04 Jun, 2024

Video| Terbaik Kelab Laman Nazim ISMA! Bengkel Canva For Teen! Beri ilmu nilai tambah kepada peserta!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this



DALAM zaman digitalisasi ini, kebolehan seseorang bukan hanya dilihat kepada berapa gulung ijazah yang diperoleh tapi lebih kepada bakat dan kemahiran tambahan apatah lagi jika mereka mampu melakukan tugasan yang pelbagai tanpa perlu banyak bimbingan.

Nilai tambah kemahiran yang dimiliki seseorang itu menjadikan mereka lebih mendapat tempat berbanding mereka yang tiada apa-apa kebolehan. Keadaan lebih terasa kerana dalam dunia teknologi hari ini, semuanya menggunakan konsep "multitasking", bukan kelulusan atas kertas saja.

Menyedari hakikat itu, Laman Nazim, Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) ISMA menganjurkan bengkel grafik menggunakan aplikasi Canva. Bengkel "Canva for Teen" yang diadakan di Surau Al-Sobah, Seksyen 3, Bandar Baru Bangi membimbing peserta berusia di antara 10 hingga 14 tahun mengambil bahagian. 

Bengkel "Canva For Teen" yang diadakan secara santai dan dalam kumpulan yang kecil memberi peluang pengajar membimbing peserta secara lebih fokus. 


Pengarah Projek, Engku Aeisyah Engku Zakir Hussein, berkata perubahan zaman menyaksikan generasi masa kini lebih suka melihat info secara grafik berbanding membaca sesuatu secara panjang lebar. Bagi mereka, ia lebih mudah dan tidak memenatkan.

"Justeru, hasil perbincangan bersama tim Laman Nazim, kami mengambil subjek "Canva" bagi memberi ilmu kepada peserta terdiri daripada pelajar sekolah menghasilkan kreativiti infografik. Aplikasi Canva amat mudah dan memang ada dalam Google Play, cuma perlu muat turun ke telefon bimbit atau komputer mereka.

"Jika kita perhatikan di sekeliling, papan iklan atau poster dalam grup WhatsApp, ia menggunakan seni kreativiti untuk memudahkan maklumat disampaikan sama ada jemputan kenduri kahwin, rumah terbuka, hari jadi atau pemberitahuan mengenai kelas pengajian agama di surau dan masjid," katanya lagi.

Engku Aeisyah Engku Zakir Hussein


Bengkel "Canva for Teen" bekerjasama dengan Eksekutif Kanan Yayasan Ikhlas, Mohd Shahrul Nazir Mohamad yang mempunyai sembilan tahun pengalaman dalam bidang grafik dan menggunakan aplikasi Canva dalam memudahkan tugas sehariannya.

Engku Aeisyah yang juga Setiausaha Biro Keluarga dan Masyarakat ISMA, mengakui dalam isu Palestin, terlalu banyak berita yang ditulis dan mustahil untuk membaca semuanya, jadi beliau lebih suka merujuk kepada infografik. Ini lebih mudah difahami dan tidak memenatkan untuk membaca malah boleh menghadam secara santai.

Inilah yang pengajar mahu sampaikan kepada peserta yang mengambil bahagian dalam bengkel itu. Jika ada jumlah kematian atau kecederaan rakyat Palestin, lebih mudah merujuk dalam infografik, maklumat lebih mudah diperolehi dan jika mahukan maklumat tambahan, boleh membaca berita atau rencana terbabit. 

Pelajar sekolah yang menggunakan komputer riba sejak di sekolah memberi kelebihan kepada mereka dalam pembelajaran mengenai reka bentuk grafik.


"Sebelum ini kami pernah mengadakan kelas grafik tapi dilakukan secara dalam talian. Jika kelas secara fizikal, inilah yang pertama, lengkap dengan teori dan praktikal.

"Jika ditanya kebanyakan golongan remaja, aplikasi Canva memang popular dan "up to-date" malah anak-anak pun suka dan senang untuk faham selain menyeronokkan, semuanya di hujung jari.

"Cuma mereka perlu ada sedikit kemahiran dan kreativiti. Tidak kisah jika tak pandai melukis kerana dalam Canva semua sudah terhidang, seseorang itu hanya perlu mengubah suai grafik dan isi kandungan mengikut kehendak dan cita rasa mereka," kata  Engku Aeisyah lagi. 

Aplikasi Canva boleh dipelajari sama ada menggunakan komputer riba atau telefom bimbit.


Kata Engku Aeisyah, Canva memang aplikasi yang "user-friendly" dan dalam usia begini, mereka mudah menerima ilmu apatah lagi kebanyakan pelajar sekolah lahir dalam dunia digital, jadi ia sebahagian daripada kehidupan mereka.

Canva boleh hasilkan apa sahaja, dari gambar atau poster statik, video malah sekarang, kecerdasan buatan atau AI. Mungkin lepas ini ada teknologi lain yang lebih canggih tapi asasnya dalam Canva.

Kos untuk menghasilkan seni grafik sama ada poster, kad atau risalah tidak mahal malah tidak memerlukan membeli sebarang peralatan, hanya muat turun saja daripada aplikasi Google. 

Pelajar Islam perlu mencari sebanyak mungkin ilmu bagi menjadikan  mereka umat yang berjaya dunia dan akhirat.


"Harapan saya, melalui bengkel ini, peserta dapat menggunakan ilmu untuk kebaikan dan perkara berfaedah kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.

"Inisiatif ibu bapa menghantar anak-anak ke sini bagi mengisi cuti persekolahan memang berbaloi kerana peserta mendapat ilmu yang orang lain tidak ada. 

"Dulu, ketika bersekolah, ibu akan mencari program-program yang sesuai untuk saya mengambil bahagian kerana ilmu ini boleh dijadikan nilai tambah apabila bekerja. Dan, terbukti ia amat berbaloi.

"Apabila mempunyai ilmu grafik, ia menjadi satu kelebihan di sekolah kerana jika guru memerlukan seseorang untuk menghasilkan poster dan infografik, sekolah tidak perlu lagi mengupah orang luar sebaliknya pelajar itu boleh melakukan tugasan dengan kemahiran yang ada," kata Engku Aeisyah. 

Nurul Iman Fahrul Asmady bersama poster yang meraih tempat pertama, dihasilkan menggunakan aplikasi Canva.


Katanya, kebanyakan kanak-kanak dilahirkan dengan bakat masing-masing dan sebagai orang dewasa, ibu bapa terutama perlu memberi sokongan moral supaya kemahiran yang ada itu dikembangkan bukan setakat di sekolah tapi sebagai tiket mendapat pekerjaan dan pendapatan lumayan.

"Keseluruhan saya berpuas hati kerana sambutan yang diterima dalam kalangan peserta amat menggalakkan, memang kami tidak mengambil jumlah yang banyak bagi memudahkan untuk menyampaikan pembelajaran apatah lagi ini adalah adalah program kreativiti berkaitan grafik yang pertama secara fizikal. 

Penasihat Laman Nazim ISMA, Nur Nabihah Shaharudin (kanan) menyampaikan hadiah tempat kedua poster terbaik kepada Nur Khurin Ain Samila Yusnaidi.


"Insya-Allah dalam program akan datang kita akan tambah baik dan memberi ilmu yang lebih tinggi sesuai dengan peringkat umur peserta. Ini baru asas bidang grafik dan kami mahu melihat setakat mana mereka faham supaya lebih mudah untuk merangka program akan datang. 

"Saya berharap mereka belajar dan terus mempraktikkan ilmu berkaitan Canva, jangan berpuas hati dengan apa yang mereka dapat hari ini kerana ilmu perlu dicari. semakin kita menggali ilmu, semakin kita merasa kerdil. Jangan mudah berbangga dan riak dengan ilmu yang diperolehi sebaliknya gunakan untuk kebaikan dan kongsi dengan orang lain," katanya. 

Dalam perkembangan yang sama, pada akhir bengkel, peserta diberi tugasan menghasilkan poster atau infografik daripada ilmu yang diberikan berkaitan aplikasi Canva. Laman Nazim menyediakan hadiah kepada tiga pemenang yang menghasilkan grafik terbaik. 


Zainab Muahammad Faisal (kanan) tempat ketiga poster terbaik bengkel Canva For Teen menerima hadiah dari Penasihat Laman Nazim ISMA, Nur Nabihah Shaharudin. 


Sementara itu, Mohd Shahrul Nazir yakin peserta boleh mempraktikkan aplikasi Canva malah dalam sesi pembelajaran, beliau mendapati ramai mampu menggunakan secara bijak dan berhemah. Malah, ada yang pernah menghasilkan poster dan kad hari jadi untuk rakan-rakan serta ibu bapa.

"Saya mengharapkan peserta menggunakan idea sendiri walaupun dalam Canva sudah tersedia kandungan mengenai subjek tertentu. Cara untuk memahirkan penggunaan aplikasi itu, buat latihan setiap hari atau sekerap mungkin, baru anda akan mahir."Cuma, dalam menghasilkan tugasan, pastikan tiga elemen ini ada iaitu tajuk, info dan latar belakang. Jika ini dapat dilakukan, poster atau kad yang dihasilkan nanti akan menjadi lebih terbaik dan mudah dibaca," katanya. - KitaReporters

Mohd Shahrul Nazir Mohamad 

14
22
0
10
0
You will be interested