Kampus & Pendidikan 29 Sep, 2024

Banjir bukan halangan! Tetap bersemangat lapor diri di UniMAP! Kini penerima Dermasiswa B40 TVET!

@unimap corp comm
Pusat Komunikasi Korporat UniMAP. Emel: pro@unimap.edu.my

Share this


Keazaman dan semangat yang tidak pernah pudar menjadi dorongan utama bagi Muhammad Zikry Abu Bakar, salah seorang bakal mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), yang tekad melaporkan diri meskipun diuji dengan bencana banjir baru-baru ini.

Menerusi program ziarah Kasih, UniMAP telah mengunjungi Muhammad Zikry yang ditawarkan pengajian dalam bidang Teknologi Kejuruteraan Awam (Pembinaan) di Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Awam UniMAP.

Muhammad Zikry, yang tinggal bersama ibunya di Kampung Batu Hampar Kiri, Pendang, kelihatan begitu terharu dengan kehadiran delegasi UniMAP yang diketuai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Ts. Dr. Mohd Mustafa Al-Bakri Abdullah.

Turut hadir dalam lawatan tersebut adalah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Ir. Dr. Mohd Arif Anuar Mohd Salleh, serta beberapa staf daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar.



Kehadiran delegasi UniMAP membawa sinar harapan dan motivasi kepada Muhammad Zikry dan keluarganya, yang sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran akibat bencana banjir.

Menurut Muhammad Zikry, beliau sangat bimbang mengenai persiapannya untuk menghadiri sesi pendaftaran di UniMAP yang dijadualkan pada 5 September 2024 nanti, memandangkan banjir yang melanda kediamannya memberi kesan besar terhadap persiapan keluarganya.

Namun, kerisauan itu hilang apabila beliau mendapat tahu dirinya terpilih sebagai penerima biasiswa program Dermasiswa B40 TVET yang disediakan oleh UniMAP.

Berita gembira ini bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarganya tetapi juga menjadi pemangkin semangat buat Muhammad Zikry untuk meneruskan pengajian dengan penuh yakin dan komitmen.

Pihak UniMAP turut mengambil kesempatan untuk menyampaikan ucapan tahniah dan mengalu-alukan Muhammad Zikry sebagai ahli keluarga baharu universiti tersebut.

Ts. Dr. Mohd Mustafa ketika ditemui turut berkongsi pandangan beliau mengenai usaha UniMAP dalam membantu pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik.

Menurutnya, UniMAP sentiasa prihatin terhadap cabaran yang dihadapi para pelajar, khususnya mereka yang terkesan oleh bencana alam atau daripada golongan berpendapatan rendah.

Justeru, universiti menyediakan pelbagai bentuk insentif dan bantuan, termasuklah biasiswa, dermasiswa, bantuan makanan, dan keperluan asas bagi memastikan para pelajar dapat melanjutkan pengajian tanpa sebarang halangan.

"Kita di UniMAP amat memahami kesulitan yang dihadapi pelajar dan keluarga mereka, terutama dalam situasi bencana seperti banjir ini. 

"Oleh itu, kami berusaha untuk menyediakan pelbagai bantuan bagi memastikan setiap pelajar yang layak dapat melanjutkan pengajian tanpa dibebani masalah kewangan," katanya lagi.



Ts. Dr. Mohd Mustafa juga menekankan bahawa inisiatif bantuan yang disediakan oleh UniMAP adalah selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang komited dalam memastikan pendidikan tinggi dapat diakses oleh semua golongan masyarakat, tanpa mengira latar belakang dan status ekonomi.

"Kami sentiasa seiring dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi untuk memastikan bahawa setiap pelajar yang berbakat dan berpotensi tidak terpinggir akibat kekangan kewangan atau cabaran hidup. Inisiatif ini adalah usaha kami dalam menyokong dasar pendidikan tinggi negara yang inklusif dan berdaya saing," tambah beliau.

Kisah Muhammad Zikry ini bukan sahaja mencerminkan kesungguhan dan daya juangnya dalam mengejar impian, tetapi juga menggambarkan betapa UniMAP dan Kementerian Pendidikan Tinggi komited dalam memastikan setiap pelajar berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Bagi UniMAP, pendidikan bukan sekadar hak, tetapi juga tanggungjawab bersama untuk memastikan tiada pelajar yang ketinggalan dalam mencapai cita-cita dan potensi mereka, tegas beliau. - KitaReporters/UniMAP

16
16
0
15
0
You will be interested