Kampus & Pendidikan 09 Sep, 2024

Tahniah graduan sulung Pembelajaran Sepanjang Hayat Berkredit UPSI! Pensijilan Profesional Guru Takmir!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


PROGRAM Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Berkredit, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya melahirkan 19 graduan pertama program Pensijilan Profesional Guru Takmir.

Pada majlis graduasi 29 Ogos 2024 yang berlangsung di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, mereka yang menerima sijil daripada Timbalan Menteri Agama, Senator Dr Zulkifli Hassan itu memiliki semangat gigih untuk menamatkan pengajian secara dalam talian dan hanya sekali bersemuka selama setahun.

Berucap pada majlis berkenaan, Dr Zulkifli berkata pengajian di bawah Program Bahasa Arab, Jabatan Bahasa Moden, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) UPSI bersama Kibas Enterprise itu membukti ikatan kerjasama yang melambangkan kejayaan bersama dalam menjalinkan permuafakatan yang bermanfaat dalam melahirkan Guru Takmir yang berkelayakan.


Dr Zulkifli Hassan (dua dari kiri) menyampaikan sijil Profesional Guru Takmir kelolaan UPSI kepada salah seorang graduan di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah.


Beliau berkata, sempena konvokesyen, graduan menerima sijil profesional itu sebagai satu simbolik pengiktirafan terhadap keilmuannya sebagaimana Islam menekankan betapa pentingnya ilmu dalam kehidupan seorang Muslim.

Oleh itu, katanya, dengan ilmu yang dimiliki graduan hendaklah berusaha memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara, malah menggunakan ilmu berkenaan untuk memajukan umat Islam serta mengangkat martabat agama pada mata dunia.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dr Ruslan Said; Penolong Pengarah Kanan (Unit Pentaksiran) JAKIM, Syed Nahar Syed Aziz; Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim; Penolong Pengarah Kanan Unit Takmir Bahagian Pengurusan Masjid JAIPk, Mohd Azmi Masjuri; Pengarah Eksekutif KIBAS Enterprise, Mohamad Ibrahim Zainuddin; Penasihat Perunding Pensijilan Guru Takmir, Ahmad Fauwaz Datuk Fadzil serta Dekan FBK, Prof Madya Dr Mazura@Mastura Muhammad.


Antara graduan yang hadir sempena majlis Pensijilan Profesional Guru Takmir.


Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, pula berkata majlis graduasi yang bermakna itu menjadi peristiwa bersejarah yang signifikan antara FBK dan Kibas Enterprise apabila mencerminkan kejayaan bersama membentuk kerjasama strategik berjaya membawa manfaat besar kepada kedua-dua pihak. 

UPSI jelasnya, mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang keilmuan serta lengkap dengan pelbagai kemudahan pembelajaran sesuai dengan perkembangan semasa.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Abdul Rahim Razalli  berpuas hati dengan pencapaian mereka dan pengiktirafan atas segala usaha, komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan sepanjang pengajian.

Sebagai graduan sulung, katanya, UPSI melatih graduan bukan hanya untuk menjadi pendidik dan pemimpin dalam bidang agama tetapi juga sebagai individu yang berperanan besar dalam memajukan masyarakat dan negara.

Beliau berharap graduan menjadi individu berintegriti, berwawasan dan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip agama, malah menjadi insan yang memberikan manfaat kepada orang lain, menjadi contoh teladan baik serta terus menimba ilmu sepanjang hayat, kerana proses pembelajaran tidak berakhir di sini.


Sebahagian daripada tetamu dan keluarga graduan yang hadir meraikan kejayaan graduan Pensijilan Profesional Guru Takmir.


“Amalkan sikap rendah diri dalam berkhidmat kepada masyarakat, kerana sifat rendah diri menjadikan anda lebih mudah didekati, dipercayai dan dihormati.

“Saya berharap graduan meneruskan pembelajaran berikutan dunia semakin berkembang dalam menghadapi cabaran dan peluang global sambil berusaha mencipta dimensi baharu pembelajaran selain menjaga akhlak serta integriti.

“Graduan mempunyai peranan kritikal dalam membentuk sebuah masyarakat yang bukan sahaja berdaya maju dari segi material, tetapi juga berakar pada nilai murni Islam.

“Dalam kemajuan teknologi pesat sekarang, graduan perlu sentiasa bertindak berpaksikan nilai agama dan prinsip Madani supaya segala tindakan selari dengan tuntutan syarak serta berupaya membentuk masyarakat yang sejahtera, harmoni disamping berdaya saing,” ujarnya lagi.

Majlis berakhir dengan ucapan wakil graduan yang disampaikan oleh Othman Shafie. - KitaReporters

13
6
0
6
0
You will be interested