Kampus & Pendidikan 24 Aug, 2024

Tahniah Hafidz Arifin! Petani moden berjaya terima anugerah alumni! Buktikan nilai Jiwa Putra UPM!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: akmar_mm@yahoo.com

Share this

Hafidz Arifin (Alumni UPM Kelas 2009) antara penerima Anugerah Kategori Alumni Muda Harapan UPM.


Pengalaman, minat dan cita-cita tinggi merupakan harta yang tidak ternilai. Andai dibaja dengan baik, ia akan bercambah menjadi sesuatu yang luar biasa. Biarpun pada permulaan agak sukar, namun penghujungnya pasti menggembirakan.

Apa yang dilalui oleh bekas pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohamad Hafidz Arifin boleh dijadikan inspirasi buat semua. Kejayaannya dalam bidang diceburi, sangat membanggakan. Jadi, tidak hairanlah kalau beliau diberi pengiktiran tertinggi oleh UPM pada 17 Ogos 2024 lalu.


Yang Berhormat Datuk Seri Diraja Zambry Abd Kadir. 


Bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Mohamad Hafidz Arifin menerima Anugerah Alumni Muda Harapan dalam Majlis Malam Alumni Universiti Awam (MAL) 2024.

Pengasas Afta Benefigs Sdn. Bhd. itu menerima anugerah daripada Datuk Seri Diraja Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi atas sumbangan beliau dalam bidang pertanian moden dan keusahawanan.

Alumni Bacelor Sains (Pembangunan Sumber Manusia) UPM tahun 2009 ini, memulakan kerjayanya dalam sektor korporat terkemuka di Tabung Haji dan Petronas Carigali. 

Setelah memperoleh pengalaman yang luas dalam operasi dalam dan luar negara, minat yang mendalam terhadap pertanian dan semangat keusahawanan membawanya untuk beralih ke bidang pertanian moden.

Bermula tahun 2018, beliau mengasaskan Al-Sakinah Enterprise di Janda Baik, sebuah dusun moden popular yang menggabungkan konsep agropelancongan.

Seterusnya, pada tahun 2019, beliau mengembangkan lagi perniagaannya dengan menubuhkan Afta Benefigs Sdn Bhd, sebuah syarikat yang memberi tumpuan kepada penanaman buah tin secara komersial.

Ladangnya di Hulu Selangor dan Olak Lempit kini menempatkan lebih daripada 1,200 pokok buah tin, menjadikannya antara ladang buah tin terbesar negara dan menembusi pasaran peringkat global.


Timbalan Naib Canselor Hal Ehwa Pelajar dan Alumni, YBhg. Prof. Dr. Arifin Abdu bergambar bersama alumni UPM pada MAL'24.


Selain kejayaan perniagaannya, Mohamad Hafidz juga terlibat aktif dalam memberikan khidmat nasihat dan bekerjasama dengan pelbagai pihak dan agensi di seluruh negara terutama kepada alma mater beliau, UPM.

“UPM menjadi asas kepada pencapaian saya pada hari ini. Saya berharap akan terus kembali menyumbang segala ilmu dan kepakaran kepada tempat yang telah membentuk karakter saya," ujar beliau.

Pengiktirafan yang diterima oleh Mohamad Hafidz mencerminkan kejayaan nilai “Jiwa Putra” yang dipupuk terhadap pelajar UPM, kata Prof. Dr. Arifin Abdu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM.

Tambah beliau lagi, semangat “Berilmu Berbakti” yang dihayati sepanjang pengajiannya di UPM telah berjaya diterjemahkan kepada sumbangan nyata bukan sahaja kepada UPM malahan kepada masyarakat dan negara.

Majlis Malam Alumni 2024 ini adalah anjuran Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia (MALUMNI) dan merupakan pentas pengiktirafan untuk alumni universiti awam seluruh negara yang tidak jemu-jemu menyumbang untuk pembangunan alumni di institusi masing-masing.

UPM melalui Pusat Perhubungan Alumni (ARCUPM) akan terus memainkan peranan penting dalam menarik lebih ramai alumni kembali menyumbang kepada alma mater mereka dalam pelbagai bentuk. - KitaReporters


Prof. Madya Dr. Siti Aqlima Ahmad, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM (selendang merah) bersama alumni UPM yang hadir dan juga staf Pusat Perhubungan Alumni UPM yang terlibat.

15
12
0
13
0
You will be interested