Kampus & Pendidikan 16 Sep, 2022

Mahasiswa Patriotik Keluarga Malaysia! Pinjaman PTPTN 100%! Pinjaman laptop! Kepada pelajar M4O M1!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyedari peranan dan kepentingan mahasiswa-mahasiswa di institusi-institusi pengajian tinggi (IPT), kerajaan telah menimbulkan beberapa insentif untuk menjaga kepentingan mereka

"Pada hari ini, saya ingin mengumumkan, satu, Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) akan diadakan di setiap IPT mulai bulan Oktober (2022) setelah mahasiswa masuk IPT. 

"Dua, pinjaman PTPTN kepada M40 M1 dinaikkan daripada 75 peratus kepada 100 peratus dan tiga, kerajaan menyediakan kemudahan pinjaman laptop kepada peminjam PTPTN golongan M40," jelasnya pada Majlis Kemuncak Semarak Patriotik Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022, pada Khamis, 15 September 2022 di Stadium Pavilion, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kuala Lumpur.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan mahasiswa-mahasiswa


Beliau berkata dengan tuntunan nilai-nilai murni, semangat kebersamaan, serta sikap toleransi sesama Keluarga Malaysia, mahasiswa di institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) ialah pewaris legasi kemerdekaan negara, yang berjiwa nasional dan penuh wibawa.

"Sesuai dengan tema majlis pada hari ini – “Mahasiswa Patriotik Keluarga Malaysia” – saya penuh yakin, mahasiswa di hadapan saya ini akan berupaya menjelmakan satu gelombang momentum semangat kesetiaan melaksanakan kewajipan sebagai benteng kedaulatan dan maruah bumi watan kita

"Berpeganglah pada lima prinsip Rukun Negara dengan pasakkan tekad yang teguh untuk tetap bersatu dalam kepelbagaian dan jangan sekali-kali membiarkan anasir luar menganggu-gugat kesepaduan kita," katanya lagi. 

Menurut Perdana Menteri, banyak cara dan perkara yang boleh dilakukan dalam menzahirkan semangat patriotik dalam kalangan mahasiswa. 

"Perjuangan terpenting mahasiswa pada ketika ini adalah kekal menjadi satu benteng yang teguh, dalam memastikan hubungan Keluarga Malaysia yang majmuk terus erat

"Semangat mencintai tanah air dalam kalangan mahasiswa hendaklah digilap dan terus dipupuk dan dipertahankan menerusi pelbagai wahana berbentuk kenegaraan

"Saya percaya Mata Pelajaran Umum atau MPU yang dilaksanakan di IPT mampu memperteguh penghayatan mahasiswa sekalian kepada etika dan peradaban masyarakat pelbagai etnik di Malaysia," tambahnya. - KitaReporters



Teks ucapan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri sempena Majlis Kemuncak Semarak Patriotik Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022, “Mahasiswa Patriotik Keluarga Malaysia” pada Khamis, 15 September 2022 di Stadium Pavilion, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) :

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama pada majlis perasmian Majlis Kemuncak Semarak Patriotik Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022 pada hari ini (15 September 2022). 

2. Pertama sekali, tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi kerana menganjurkan program yang sangat bermakna ini dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang bertindak sebagai tuan rumah. 

3. Saya berasa amat teruja dengan kehadiran begitu ramai warga Keluarga Malaysia IPT, khususnya para mahasiswa universiti awam dan swasta, politeknik dan kolej komuniti yang dipimpin oleh naib-naib canselor dan pengarah masing-masing. 

4. Terima kasih atas kehadiran anda! Saya dapat merasakan aura semangat serta jiwa cintakan negara daripada anda semua.

9. Kisah masyhur tentang keberanian pejuang tanah air seperti Mat Kilau, Datuk Dol Said, Datu Mat Salleh, Temenggung Datuk Kanang anak Langkau, Rentap, Rosli Dhobi dan lain-lain diharap terus menyemarakkan semangat patriotik kita, untuk mempertahankan kemerdekaan ibu pertiwi tercinta. 



Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

10. Ramai yang sering tersilap anggap tentang definisi patriotisme, sedangkan ia bukan semata-mata bermakna kita perlu mengangkat senjata dalam mempertahan kedaulatan negara. 

11. Mahasiswa juga memainkan peranan dalam perjuangan kemerdekaan. Jika kita mengimbas detik awal 1920-an dulu,  perjuangan kemerdekaan telah dimulakan oleh golongan mahasiswa atau kaum muda yang digerakkan individu seperti Syeikh Tahir Jalaluddin, Haji Abbas bin Mohd Taha dan Syed Syeikh Al-hadi. Mereka bertiga adalah bekas pelajar yang mendapat pendidikan dari luar dan membawa perubahan apabila seusai pengajian. 

12. Pada tahun 1905, kerajaan telah menubuhkan MCKK dan MPSI pada tahun 1922 sebagai wadah bagi pelajar-pelajar lepasan sekolah melanjutkan pelajaran. Kolej inilah yang dijadikan wadah, tempat dan platform bermulanya golongan-golongan didikan Islamis untuk memperjuangkan kemerdekaan. 

13. Semangat mereka inilah yang perlu dijadikan sebagai inspirasi oleh mahasiswa hari ini dalam konteks mengisi kemerdekaan. 

14. Ini kerana di era modenisasi ini, bentuk penjajahan tidak lagi sama seperti era kolonial. Justeru, jika kita tidak mempertahankan kemerdekaan yang diperjuangkan oleh wira-wira terdahulu, maka sejarah mungkin akan berulang dan kita kembali dijajah semula. 

15. Saya juga menyeru agar mahasiswa terus berjuang kekalkan jati diri, budaya dan bahasa. Mahasiswa boleh memainkan peranan penting sebagai pembina bangsa dan memaknakan kemerdekaan seperti mana pembina bangsa terdahulu memperjuangkan kemerdekaan. 

16. Baru-baru ini, pengarah filem tersohor negara, U-Wei Saari telah memecahkan tradisi Festival Filem Antarabangsa di Moscow apabila menyampaikan ucapan dan mengumumkan nama pemenang menggunakan Bahasa Melayu.

17. Saya juga bangga melihat Bahasa Melayu dimartabatkan di pentas dunia oleh Sam Lim ketika menyampaikan ucapan sulung beliau di Parlimen Australia. 

18. Justeru, saya menyeru seluruh mahasiswa Keluarga Malaysia untuk memberikan komitmen dalam memartabatkan Bahasa Melayu. Ini adalah satu cara untuk menyatakan kecintaan kita kepada negara. Saya juga menggunakan Bahasa Melayu ketika berucap di pentas antarabangsa. 

19. Dalam konteks pendidikan tinggi, pada hemat saya, banyak cara dan perkara yang boleh dilakukan dalam menzahirkan semangat patriotik. 

20. Perjuangan terpenting mahasiswa pada ketika ini adalah kekal menjadi satu benteng yang teguh, dalam memastikan hubungan Keluarga Malaysia yang majmuk terus erat. 

21. Semangat mencintai tanah air dalam kalangan mahasiswa hendaklah digilap dan terus dipupuk dan dipertahankan menerusi pelbagai wahana berbentuk kenegaraan. 

22. Saya percaya Mata Pelajaran Umum atau MPU yang dilaksanakan di IPT mampu memperteguh penghayatan mahasiswa sekalian kepada etika dan peradaban masyarakat pelbagai etnik di Malaysia. 



Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

23. Pencapaian negara pada hari ini didorong oleh usaha para pemimpin, sama ada dalam kalangan pemimpin negara, sektor awam mahupun korporat, yang dahulunya juga bergelar mahasiswa. 

24. Mahasiswa boleh dikatakan, peranan mahasiswa bukan biasa-biasa, malah amat penting sekali dalam mencorakkan hala tuju dan melakar kejayaan besar buat negara. 

25. Banyak pencapaian dan kejayaan hebat mahasiswa di pentas kebangsaan dan dunia yang membanggakan negara sama ada dalam bidang pendidikan, penyelidikan, sukan, seni dan sebagainya. 

26. Dalam aspek sukan misalnya, kejayaan luar biasa mahasiswa di pentas sukan seperti Sukan IPT, Sukan Universiti ASEAN ke-20, Sukan Komanwel 2022 dan banyak lagi, tidak dapat dinafikan.

27. Begitu juga pengiktirafan mahasiswa yang mengungguli carta kecemerlangan dalam aspek akademik di peringkat antarabangsa yang menjadi bualan dan membawa harapan tinggi kepada masa hadapan negara. 

28. Selain itu, kepemimpinan mahasiswa kita semakin terampil dan matang dalam memberikan komentar terhadap isu-isu mutakhir di peringkat nasional dan global. 

29. Ini jelas menunjukkan bahawa pembentukan mahasiswa holistik yang diusahakan oleh Kerajaan melalui KPT berada atas jajaran yang tepat serta landasan yang kukuh. Syabas KPT! 

Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

30. Para mahasiswa semua, anda semua mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan keperibadian unggul. 

31. Dengan tuntunan nilai-nilai murni, semangat kebersamaan, serta sikap toleransi sesama Keluarga Malaysia, buktikanlah, bahawa anda ialah pewaris legasi kemerdekaan negara, yang berjiwa nasional dan penuh wibawa!

32. Sesuai dengan tema majlis pada hari ini – “Mahasiswa Patriotik Keluarga Malaysia” – saya penuh yakin, mahasiswa di hadapan saya ini akan berupaya menjelmakan satu gelombang momentum semangat kesetiaan melaksanakan kewajipan sebagai benteng kedaulatan dan maruah bumi watan kita. 

33. Berpeganglah pada lima prinsip Rukun Negara dengan pasakkan tekad yang teguh untuk tetap bersatu dalam kepelbagaian dan jangan sekali-kali membiarkan anasir luar menganggu-gugat kesepaduan kita. 

34. Para warga mahasiswa sekalian, kerajaan telah menimbulkan beberapa insentif untuk menjaga kepentingan mahasiswa. 

35. Pada hari ini, saya ingin mengumumkan: 

i. Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) akan diadakan di setiap IPT mulai bulan Oktober setelah mahasiswa masuk IPT. 

ii. Pinjaman PTPTN kepada M40 M1 dinaikkan daripada 75 peratus kepada 100 peratus. 

iii. Menyediakan kemudahan pinjaman laptop kepada peminjam PTPTN golongan M40.

36. Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih saya ucapkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis pada hari ini. Teruskan semarak patriotik di IPT! 


11
13
0
17
0
You will be interested