Kampus & Pendidikan 03 Nov, 2025

Jadikan universiti ruang selamat! Bantu siswa hadapi tekanan! Beri sokongan penjagaan mental, emosi!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

Tragedi pelajar menikam rakan sendiri sehingga mati di sebuah sekolah di Petaling Jaya, baru-baru ini mengejutkan seluruh negara. 



Kejadian itu bukan sekadar tragedi fizikal tetapi satu isyarat jelas bahawa tekanan mental dan emosi dalam kalangan pelajar kini semakin membimbangkan.

Isu kesihatan mental di institusi pendidikan termasuk universiti bukan boleh dianggap remeh. Kehidupan kampus yang sering dianggap bebas dan menyeronokkan sebenarnya datang bersama tekanan akademik, masalah kewangan serta cabaran hubungan sosial yang boleh menjejaskan kesejahteraan emosi mereka.


Dr Noraini Ahmad memotong reben bagi merasmikan Ruang Katarsis dan Sistem Halo Kaunselor Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM) di Bangunan Pusanika UKM.  


Kajian Mobiliti Kesihatan Kebangsaan (NHMS) melaporkan bahawa kes membabitkan masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja meningkat dari 7.9 peratus pada 2019 kepada 16.5 peratus pada 2023. 

Malah, kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam kalangan 1,211 pelajar mendapati bahawa 60.5 peratus melaporkan simptom kebimbangan, 45.6 peratus mengalami kemurungan dan 40 peratus merasa tertekan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kampus seharusnya menjadi tempat selamat, bukan sahaja dari ancaman fizikal, tetapi  tekanan mental yang boleh merosakkan masa depan pelajar.

Beliau berkata, dalam konteks pendidikan tinggi, universiti bukan hanya tempat menuntut ilmu tetapi medan pembangunan insan secara menyeluruh. Ini termasuk membentuk keperibadian yang seimbang dari segi intelek, emosi, rohani, dan sosial.


Dr Noraini Ahmad


"Namun, bagi kebanyakan mahasiswa, tekanan hidup di universiti boleh menjadi luar biasa. Tanpa sistem sokongan yang mantap, ada pelajar yang mudah terjebak dalam kemurungan, keresahan atau konflik dalaman. 

"Situasi ini boleh menjadi lebih parah jika pelajar merasa tiada siapa yang memahami atau sudi mendengar. Justeru, pihak universiti perlu memperkukuh persekitaran yang inklusif dan menyokong kesejahteraan mental, bukan sekadar mengejar pencapaian akademik.

"Kampus harus dilihat sebagai ruang yang selamat untuk belajar, berekspresi dan mendapatkan bantuan bila diperlukan," katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Fiesta Jom HEP-UKM, Pelancaran Ruang Katarsis dan Sistem Halo Kaunselor Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM) di Bangunan Pusanika UKM.  

Turut hadir, Menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof Ts Dr Norinsan Kamil Othman.


Kelab yang membantu pelajar-pelajar OKU dengan menyediakan pelbagai kemudahan untuk kemudahan pembelajaran di kampus.


Pelancaran Ruang Katarsis dan Sistem Halo Kaunselor bertujuan memastikan kesejahteraan minda mahasiswa terjamin, memberi peluang mereka berkongsi keresahan, mendapatkan bimbingan dan membina semula kekuatan diri dengan bantuan kaunselor bertauliah universiti. 

Bagi Sistem Halo Kaunselor pula, permohonan perkhidmatan dapat dicapai di hujung jari. 

Katanya, ia selari dengan usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memperkukuh agenda kesejahteraan mental remaja dan belia negara.

"Dalam dunia yang mencabar, hapuskan stigma terhadap isu kesihatan mental. 

"Tidak salah meminta pertolongan. Tidak lemah meluahkan perasaan sebaliknya ia tanda keberanian dan kesedaran diri yang tinggi malah nilai yang amat penting dalam membina generasi masa depan yang berdaya tahan.

"Saya menyokong pembentukan sukarelawan dalam kalangan siswa sebagai rakan sokongan mental. Mereka dilatih menjadi pendengar empati kepada rakan-rakan yang berdepan tekanan, selain membantu mendapatkan bimbingan kaunselor profesional apabila perlu.  

“Insya-Allah, rakan sebaya lebih mudah didekati kerana mereka melalui pengalaman yang sama. Kadang kala pelajar takut berjumpa kaunselor, jadi rakan pembimbing ini adalah jambatan awal untuk membantu," katanya. 


Persatuan Nadi Alumni (PENA) mendaftar dan mengadakan pelbagai aktiviti untuk lepasan pelajar UKM.


Dr Noraini berkata, program begini bukan sahaja membantu pelajar yang tertekan, malah mengasah nilai empati, kepimpinan dan tanggungjawab sosial dalam diri mahasiswa. Ia sejajar dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang cemerlang akademik selain matang dari segi emosi dan kemanusiaan.

Pada masa sama, katanya, peranan kaunselor universiti tidak boleh dinafikan kerana mereka menjadi tulang belakang kesejahteraan psikologi warga kampus. 

"Melalui sesi kaunseling, bengkel pengurusan emosi, serta kempen kesedaran mental, kaunselor membantu pelajar mengenal pasti punca tekanan dan membina daya tahan diri.

"Kaunselor juga berperanan membina budaya kampus yang terbuka terhadap isu kesihatan mental, di mana pelajar berani tampil mendapatkan bantuan tanpa rasa malu atau takut dihakimi. "Pendekatan kolaboratif antara kaunselor, pensyarah dan sukarelawan siswa dapat mewujudkan sistem sokongan bersepadu yang lebih berkesan.

"Pelaburan dalam program kaunseling, latihan sukarelawan, serta kempen kesedaran mental bukan sekadar memenuhi tanggungjawab sosial tetapi langkah penting membina generasi muda yang berjiwa besar dan mampu mengurus tekanan kehidupan dengan bijaksana," katanya lagi.


Kelab Perkim UKM membantu pelajar yang memeluk Islam selain memberi penerangan kepada mereka yang ingin tahu mengenai Islam.


Beliau mengakui, mahasiswa yang sihat mindanya ialah mereka yang mampu menimba ilmu dengan gembira dan menyumbang kepada masyarakat dengan empati. Universiti boleh menjadi ruang selamat, tempat melahirkan bukan hanya cendekiawan, tetapi  insan seimbang, berakhlak dan berjiwa penyayang.

Dalam perkembangan yang sama, beliau turut menyentuh mengenai Skuad Waja yang ditubuhkan kementeriannya bagi memperkasa komuniti melalui sukarelawan agar mampu mendekati isu-isu keganasan dan diskriminasi terhadap wanita.

"Walaupun fokus utama berkaitan isu wanita, modul dan aktiviti Skuad Waja turut merangkumi aspek kesejahteraan mental dan keseimbangan kendiri komuniti.

"Dengan penyertaan luas komuniti dan sukarelawan, Skuad Waja boleh dijadikan mekanisme sokongan awal di universiti, sekali gus memberi peluang mahasiswa memperkasakan diri dengan ilmu keselamatan, jenayah seksual dan kekerasan terhadap wanita," tambah beliau. - KitaReporters


Kelab e-sport memberi peluang kepada pelajar mengembangkan bakat mereka dalam bidang permainan sukan digital.

13
11
0
11
0
You will be interested