Acara perbarisan dan persembahan ultras oleh pasukan kolej kediaman memeriahkan suasana majlis perasmian Karnival Kokurikulum di Arena UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah pada 8 Jun 2024.
KARNIVAL Kokurikulum yang berlangsung di Arena Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, Kampus Sultan Azlan Shah pada 8 Jun 2024 lalu mampu menggilap bakat dan membina ketrampilan pelajar sebelum tamat pengajian.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia
dan Sukan Negeri Perak, Khairudin Abu Hanipah, dalam ucapan perasmiannya,
berkata karnival itu menjadi platform untuk pelajar UPSI memperlihat bakat
dan membina ketrampilan mereka dalam aktiviti kokurikulum.
Karnival Kokurikulum 2024 itu, katanya, seperti tahun terdahulu adalah bermatlamat menghargai dan menyantuni pelajar serta tenaga pengajar yang komited dalam usaha melahirkan graduan holistik di samping berdaya saing.
Khairudin Abu Hanipah (dua dari kanan) merasmikan Karnival Kokurikulum di Arena UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah., UPSI.
Menurutnya, bertemakan “Mahasiswa Holistik Pemacu Kemajuan
Negara,” karnival itu menjadi platform untuk pengayaan diri pelajar dari sudut
ilmu dan kemahiran sebagai nilai tambah dalam menghadapi era globalisasi yang
semakin mencabar.
Khairudin turut menekankan konsep BITARA iaitu bakat unggul; inovasi dan penyelidikan; transformasi teknologi; adab, akhlak dan akademik; revolusi
ekosistem; dan adaptasi global yang diperkenal oleh Naib Canselor, Profesor
Datuk Dr Md Amin Md Taff turut mendokong gagasan Perdana Menteri, Datuk Seri
Anwar Ibrahim, yang mahukan setiap mahasiswa serta akademia harus mampu
"Menggapai ke Langit, Mengakar di Bumi".
Pada majlis yang sama pada 8 Jun 2024 itu, beliau turut melancarkan Sukan Pelajar (SUPER) UPSI 2024.
Pelajar kursus kewartawanan mempamerkan mesin taip yang pernah digunakan oleh wartawan suatu ketika dahulu.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin, berkata karnival berkenaan menyaksikan penyertaan 6,128 pelajar daripada 61 kursus kokurikulum berkredit membabitkan tiga komponen utama iaitu Persatuan Seni dan Kebudayaan, Sukan Permainan dan Rekreasi, dan Badan Beruniform.
“Penganjuran ini membuka peluang kepada pelajar mengendalikan program yang dirancang mengikut kursus masing-masing dan dapat menonjolkan bakat terpendam mereka,” katanya.
Sempena karnival, pelbagai aktiviti diadakan antaranya permainan, pertandingan dan pameran atas inisiatif pelajar mencerminkan usaha universiti melahirkan graduan yang memiliki modal insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek serta sosial.
Beliau berkata, Pusat Kokurikulum UPSI turut mengambil inisiatif menawarkan Kursus Kokurikulum Bitara kepada pelajar yang aktif pada peringkat universiti, kebangsaan dan antarabangsa untuk ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Mahasiswa Kolej (MMK), atlet serta aktivis seni budaya apabila diberikan keistimewaan tidak perlu mengikuti kursus kokurikulum berkredit biasa.
Pelajar sukan rugbi turut mengadakan pameran pada Karnival Kokurikulum itu.
Dalam pada itu, Pengarah Pusat Kokurikulum, Prof Madya Dr Mazuki Mohd Yasim, berkata peranan pusat itu semakin berkembang dalam merancang kursus secara Micro-Credential bagi bidang rekreasi luar melalui Unit Adventure Leadership and Outdoor Recreation Academy (AURORA) bertujuan mengukuhkan peranannya sebagai pemangkin kepada kelahiran mahasiswa holistik seterusnya menjadi mahasiswa kelas pertama yang dapat menyumbang kepada kelestarian dan pembangunan negara.
"Justeru kami mengalu-alukan pelbagai agensi sama ada kerajaan, badan berkanun atau swasta untuk mengadakan program atau kursus kerja berpasukan dengan menggunakan tenaga pakar UPSI di UPSI Adventure Park,” ujarnya. - KitaReporters