Kampus & Pendidikan 19 Jul, 2024

Tahniah SK FELDA Chemplak! 3 murid harumkan nama! Cabaran robotik! Sempena Hari Peneroka FELDA 2024!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


SEKOLAH Kebangsaan (SK) FELDA Chemplak, Labis, Johor mencipta kejayaan tersendiri pada FELDA Robotic Challenge (Cabaran Robotik FELDA atau FRC) 2024, anjuran FELDA Digital Maker Hub (FDMH) yang berlangsung di Hall C, Taman Agro Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor, pada 13 Julai 2024.

Pertandingan robotik itu diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Peneroka FELDA yang berlangsung pada 12 hingga 14 Julai 2024.

Guru Robotik SK FELDA Chemplak, Zulhairi Masri, berkata kelab robotik sekolah itu menyahut cabaran dengan menyertai semua lapan kategori pertandingan termasuk ketegori terbuka itu Robot Soccer dan Robot Sumo Mega. 


Guru Besar SK FELDA Chemplak, Mohd Ali Hadoon (tengah) bersama-sama guru dan tiga murid yang mengharumkan nama sekolah itu di FRC 2024.


Menurutnya, manakala pertandingan kategori sekolah FELDA pula, sekolah itu menyertai bagi acara Monkey Bar Robot, Minion Race Robot, Crazy Frog Robot, Mini Sumo Robot, Pre-Program Basic Al Robot Exam dan Final Program Al Robot.

Tambah beliau, tiga murid terhebat sekolah berkenaan membawa harapan warga FELDA Chemplak iaitu Muhammad Nashiruddin Mohd Hafiz Ihsan, Muhammad Ammar Aqeef Mohd Najif dan Nursyiffa Aqilla Mahairunsahlihin.

“Sesungguhnya mereka tidak menghampakan apabila muncul johan untuk pertandingan dalam kategori Monkey Bar Robot dan naib johan bagi kategori Crazy Frog Robot, seterusnya berjaya ke peringkat akhir program AI Robot yang menawarkan hadiah untuk johan wang tunai RM5,000,” katanya.


Zulhairi gigih berusaha untuk membawa kejayaan kepada pasukan robotik SK FELDA Chemplak.


Zulhairi berkata, pada tahun 2024 pertandingan FDMH lebih banyak mengetengahkan kepada aspek mekanikal dan kelajuan, sekali gus memberikan cabaran yang hebat untuk sekolah itu menghasilkan robot berkualiti serta mengikut syarat ditetapkan.

Beliau menjelaskan, robot juara iaitu Monkey Bar Robot dan Naib Johan Crazy Frog Robot dihasilkan daripada bahan arcic serta mesin 3D printer, manakala alat yang digunakan untuk mengawal robot hanya menggunakan papan pengawal Arduino dan motor sahaja.

“Bagaimanapun dengan kejayaan ini memberikan banyak inspirasi dan menaikkan semangat kelab kami untuk lebih berjaya pada masa akan datang serta berharap SK FELDA Chemplak akan lebih dikenali di samping mengharumkan nama FELDA di seluruh dunia,” ujarnya.

Pelaksanaan FRC 2024 adalah antara usaha memantapkan kemahiran kreativiti dan pemahaman penguasaan murid dalam pembelajaran coding & robotik. 

Penyertaan pula terbuka kepada semua sekolah rendah dan menengah dalam kawasan FELDA, khususnya sekolah yang telah menerima peralatan FDMH amatlah digalakkan menyertainya. - KitaReporters


Antara robot SK FELDA Chemplak yang membawa cabaran hebat dalam FRC 2024.

________________

12
14
0
7
0
You will be interested