Kampus & Pendidikan 18 Feb, 2023

Dr. Fitri lakar sejarah! Hasilkan buku ilmiah muzik Islamik pertama di dunia! Rancang lagu terbaharu!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


MENGAMBIL masa 9 tahun dengan kos lebih kurang RM200,000 akhirnya impian dan kerja keras penyanyi nasyid kumpulan UNIC, Dr. Fitri Haris tercapai apabila bukunya, ‘Popular Music: Islamic Popular Music in Malaysia’ berjaya diterbitkan di bawah penerbitan UUM Press.

“Ia diterbitkan terlebih dahulu dalam bahasa Inggeris kerana mahu menyasarkan pasaran global di mana bulan depan saya akan berkunjung ke London untuk mempromosikannya di sana, “ ujar Dr. Fitri Haris ketika ditemui selepas majlis pelancaran buku berkenaan yang disempurnakan bersama oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Martadha yang berlangsung di kampus cawangan UUM Kuala Lumpur baru-baru ini.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Dr Fitri Haris


Lebih istimewa, karya ilmiah Dr. Fitri Haris itu merupakan buku etnomusikologi komprehensif setebal 350 muka surat  yang pertama di dunia.

“Buku dalam bahasa Malaysia dah pun siap cuma saya simpan dahulu dan kemungkinan akan diterbitkan hujung tahun ini. Ia lebih tebal daripada buku dalam bahasa Inggeris,” sambung Dr. Fitri sambil memaklumkan harga bukunya hanya RM50 dan sudah boleh ditempah melalui laman web UUM Press atau pihak pengurusan Dr. Fitri Haris sendiri di talian 011-2668 4664. 

Berkongsi lanjut berhubung topik yang menjadi kajiannya, Dr. Fitri memberitahu, sebagai pensyarah kanan UUM dan terlibat dengan karya-karya nasyid melalui kumpulan UNIC beliau mahu memaklumkan bagaimana hendak mengislamkan muzik.

“Inilah satu-satunya buku di Malaysia dan dunia yang menceritakan tentang muzik Islam secara komprehensif berdasarkan penilai panel luar malah boleh menjadi buku rujukan buat pelajar sekolah  kerana fakta yang terdapat dalam buku ini tidak lagi boleh dipertikaikan memandangkan ia telah melalui tiga peringkat penilaian oleh pakar-pakar terbabit,” ujar Dr. Fitri.



Menurutnya sebagai penulis buku ilmiah, beliau tidak akan berhenti mengkaji lebih lanjut malah akan menambah baik kesinambungannya dengan edisi ke-2 pada tahun hadapan (2024) dengan penambahan lagi 70 muka surat sebagai pelengkap.

“Sepatutnya muzik Islam ini dipelajari di Fakulti Muzik supaya ia tidak eksklusif dan tertumpu kepada orang Islam sahaja tetapi juga dipelajari golongan bukan Islam. 

"Kita tidak mahu bila sebut nasyid ia terikat dengan jurusan syariah atau fiqh dan perlu belajar tentang hukum hakam sahaja,” Dr. Fitri berpendapat malah akui pernah berdebat dan berbalah  dengan pakar muzik bukan Islam berhubung fakta tentang tarrannum yang turut diselitkna dalam bukunya.

Harapannya, dengan penerbitan buku ‘‘Popular Music: Islamic Popular Music in Malaysia’  golongan bukan Islam dapat bersama menimba ilmu tentang muzik Islam yang pada sesetengah golongan dianggap haram.

“Saya bersyukur sebab tidak berputus asa malah setiap masalah yang dihadapi akan cuba diselesaikan dengan jalan terbaik,” tambah Dr. Fitri yang juga memanjatkan rasa terima kasih dan syukurnya kerana didampingi individu-individu yang positif serta isteri yang memberikan sokongan dan semangat padu.



Sementara itu, sebagai seorang selebriti Dr. Fitri tidak terlepas daripada disoal mengenai perkembangan terbaharunya dalam bidang nyanyian di mana perancangan terbaharunya beliau bakal mengeluarkan sebuah single dalam masa terdekat berjudul ‘Poligami’.

Tidak mahu bercerita panjang, Dr. Fitri hanya berkongsi pandangannya bahawa isu poligami yang kini sedang hangat diperkata netizen akan dihuraikan melalui lagu.

“Itu cara terbaik untuk mendidik dan memberi kefahaman melalui lagu berunsur humor. Saya akan berkolaborasi dengan produksi Indonesia untuk memberikan kelainan pada muzik yang santai,” akhiri Dr. Fitri yang baharu sahaja melancarkan single 'Niyatenson' dua minggu lalu, yang diinspirasikan daripada lagu Seniman Agung P. Ramlee.


Niyat enson matakaji, sua sue kemuning membawa maksud, ‘Niat seseorang yang tekad pada awal pagi hari’, kata Dr. Fitri terhadap karya terbaharunya ini.


Ditembak dengan soalan apakah beliau bersetuju dengan poligami ini jawapannya:

“Siapalah kita untuk berbahas mengenainya jika Allah SWT sudah membenarkan cuma mesti ada mekanisme dan formulanya untuk kita memahami sedalam-dalamnya,”

TIdak mahu mengiya tanda setuju atau menidakkannya seratus peratus, Dr. Fitri bagaimana pun akui isu poligami lebih sensitif diperkata berbanding isu cerai berai yang sebenarnya patut juga diberi perhatian.

“Saya tidak berani kata saya tak setuju dengan poligami kerana Allah benarkan cuma kena faham dengan lebih mendalam setiap sesuatu yang berlaku kepada diri kita,” tambah Dr. Fitri ringkas. - KitaReporters


Dr. Ahmad Martadha (dua dari kanan) menyempurnakan perasmian buku Dr. Fitri Haris.

12
8
0
16
0
You will be interested