Kampus & Pendidikan 04 Oct, 2021

Tahniah Nur Amalin Syaffah! Terima kasih UniSZA! Gadis penoreh getah terima tawaran biasiswa!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

Kredit foto-foto: FB Universiti Sultan Zainal Abidin - FB Rasmi


KEGIGIHAN seorang pelajar perempuan lepasan Matrikulasi Kelantan yang terpaksa mengerah keringat melakukan kerja dengan menorah getah mencari wang untuk membayar yuran pendaftaran selepas mendapat tawaran menyambung pelajaran di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Terengganu menarik perhatian pelbagai pihak untuk tampil membantunya.

Nur Amalin Syaffah Samah, 19, dari Kampung Bukit Tandak, Rantau Panjang, Kelantan terpaksa bekerja keras mencari wang untuk membayar yuran pendaftaran pengajian dengan melakukan kerja menorah getah bagi mencapai impian melanjutkan pelajaran ke universiti

Beliau juga terpaksa melakukan kerja tersebut dengan berulang alik sejauh 30 kilometer dari rumahnya ke kebun getah


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan UniSZA

Nur Amalin Syaffah Samah melakukan kerja menoreh getah untuk mencari sumber kewangan menyambung pelajaran ke Unversiti. - Kredit foto: Harian Metro


Amalin seorang pelajar lepasan Matrikulasi Kelantan telah berjaya mendapat tawaran bagi menyambung pelajaran ke UniSZA,Kuala Terengganu dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan Islam) dengan Kepujian selama tiga tahun. 

Berkat keprihatinan pihak UniSZA, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Perhubungan, Muzafar Mohd Din dan wakil Pejabat Wakaf dan Endowmen yang mewakili Naib Cancelor Prof. Dr. Fadzli Adam, telah berkunjung ke rumah keluarga pelajar terbabit untuk menyampaikan bantuan dan sumbangan berbentuk Tawaran Biasiswa Pengajian Dana Wakaf UniSZA, Bakul Kasih dan cenderahati UniSZA kepada Nur Amalin Syaffah dan keluarganya.

Amalin bakal menerima biasiswa akan ditanggung dari segi Yuran Pengajian, Yuran Asrama dan Sara Hidup selain bantuan yang turut disumbangkan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniSZA yang telah menyalurkan bantuan sara hidup sebanyak RM1,000.


Muzafar Mohd Din (kanan) menyampaikan replika tawaran masuk UniSZA kepada Amalin (empat dari kiri) di rumah keluarga pelajar terbabit di Rantau Panjang, Kelantan. - Kredit foto: Media UniSZA


Mesra dengan panggilan Amalin, beliau merupakan anak sulung dari lima beradik telah berjaya memperoleh PNGK 3.71 sewaktu peringkat Matrikulasi. Nur Amalin belajar dalam keadaan serba serbi kekurangan yang mana dia tidak mempunyai komputer riba dan hanya belajar dengan menggunakan telefon bimbit.

Saman Mohd Din dan Azilina Zakaria masing-masing merupakan bapa dan ibu kepada Amalin membanting tulang sebagai penoreh getah. Mereka tujuh beranak tinggal di sebuah rumah yang serba kekurangan. Lebih menyayat hati ialah anak kedua, keempat dan kelima bagi pasangan ini mengalami masalah lembam.  



"Bantuan diterima ini memberi kelegaan kepada saya, sekali gus akan belajar dengan gigih untuk mengubah nasib keluarga," kata Amalin.

Amalin berkata, sebelum ini dia berasa amat mustahil untuk menjejakkan kaki di menara gading sehingga terpaksa menoreh getah untuk mencari wang sebagai persediaan menyambung pengajian.

"Tanpa tawaran biasiswa ini, adalah mustahil untuk saya melanjutkan pengajian ke menara gading kerana hanya memperoleh upah menoreh getah antara RM700 hingga RM800 sebulan, selain mempunyai empat adik termasuk dua daripadanya orang kurang upaya (OKU).

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana cita-cita untuk bergelar seorang akauntan semakin cerah selain mahu mengubah nasib keluarga dan berterima kasih kepada UniSZA," katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Yayasan Raja Shamri yang juga Pengasas Thirdforce, Raja Shamri Raja Husain turut menyerahkan komputer riba dan telefon bimbit kepada Amalin untuk kemudahannya mengikuti pengajian. - KitaReporters


Nur Amalin turut menerima sumbangan komputer riba dan telefon bimbit daripada Raja Shamri Raja Husain

12
12
1
15
3
You will be interested