Kampus & Pendidikan 12 Oct, 2020

Tahniah semua! 16 staf UUM terima watikah kenaikan pangkat!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:anakperlis65@gmail.com

Share this

KENAIKAN pangkat staf Akademik dan Pentadbiran menjadi satu pengiktirafan bermakna buat staf Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menerimanya. Seramai 16 staf akademik UUM termasuk staf pentadbiran telah menerima watikah kenaikan pangkat yang disampaikan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani di Bilik Mesyuarat Senat, baru-baru ini. : KitaReporters


Penerima, Prof. Dr. Ku Ruhana Ku Mahamud berkata, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada universiti di atas kenaikan pangkat sebagai Profesor Gred VK5 yang diberikan.

Menurutnya, dengan kenaikan pangkat itu diharapkan dapat memberi inspirasi kepada semua staf akademik termasuk pensyarah muda untuk melaksanakan amanah yang diberikan kerana kenaikan pangkat berasaskan prestasi cemerlang.

“Apa yang saya selalu amalkan ialah disiplin yang tinggi dan kejujuran dalam melaksanakan tugas. Kita menerima jawatan dengan satu amanah dan melaksanakan tugas yang diberikan itu dengan baik dan disiplin yang tinggi,” katanya dari Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC).

Beliau juga turut memegang tanggungjawab sebagai Profesor Adjung, Shibaura Institute of Technology, Jepun; Ketua Pengarah Journal of Information and Communication Technology, UUM dan Ketua, Data Science Research Lab, SOC.


Sementara itu, Pengarah Pusat Asasi Pengurusan, Prof. Dr. Munif Zarirruddin Fikri Nordin berkata, pelantikan ini merupakan pengiktirafan kepada ahli akademik dalam pengajaran, penyeliaan, penyelidikan, penerbitan dan sumbangan kepada universiti setelah mengharungi banyak proses dalam memenuhi kelayakan.

“Semuanya memerlukan kesungguhan. Alhamdulillah, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh pengurusan Universiti dan rakan sekerja yang banyak membantu sehingga saya menerima kenaikan pangkat sebagai Profesor Gred VK7.

“Pelantikan ini bukan satu keistimewaan, sebaliknya satu amanah dan tanggungjawab supaya kita memberi tumpuan dan perhatian untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan. Ini merupakan satu permulaan kepada pencapaian yang lebih cemerlang dan berkualiti pada masa akan datang,” katanya. 

Manakala mantan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Dr. Yusnidah Ibrahim teruja dengan kenaikan pangkat yang di luar jangkaannya.

 Menurutnya, beliau tidak menjangkakan akan sampai sehingga ke peringkat itu dan berterima kasih kepada universiti di atas pengiktirafan tersebut.

“Begitu cepat masa berlalu, saya telah memegang jawatan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) selama 3 tahun. Saya harap dapat memberikan sumbangan terbaik kepada universiti sekiranya memerlukan bantuan dan khidmat saya berdasarkan pengalaman yang dimiliki.

“Semoga UUM akan terus cemerlang di bawah pengurusan Naib Canselor serta semua warga kampus yang berdedikasi membantu untuk meletakkan UUM pada satu tahap yang lebih cemerlang menuju ke arah Universiti Pengurusan Terkemuka,” katanya.

Turut menerima watikah kenaikan pangkat ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ayoib Che Ahmad yang menerima kenaikan pangkat sebagai Profesor (VK6); Pengarah Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Dr. Adi Azhar Abdul Razak (UD54); Bendahari, Eylani Ahmad (VU7) dan Dr. Mohd Kamarul Irwan Abdul Rahim (DS54). - KitaReporters

4
1
0
0
1
You will be interested