Kampus & Pendidikan 30 Aug, 2025

Dah masuk! Pelajar IPT terima Baucar Buku Madani RM100! Sah hingga 12 Disember 2025! Tebus sekarang!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:[email protected]

Share this

Suasana gembira jelas terpancar dalam kalangan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) apabila kerajaan mula melaksanakan pemberian Baucar Buku Madani Pelajar IPT bernilai RM100 pada 28 Ogos 2025.



Seramai 500,000 pelajar IPT di seluruh negara bakal menerima manfaat itu melalui inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang bertujuan meringankan beban kewangan dan menyemarakkan budaya membaca.

Pelajar IPT daripada universiti awam, politeknik, kolej komuniti, IPT swasta, Institut Pendidikan Guru (IPG) serta institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kerajaan seperti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) layak menerima baucar berkenaan, asalkan berstatus aktif pada 30 Jun 2025.

Tempoh penebusan ditetapkan dari 28 Ogos hingga 12 Disember 2025. Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui portal rasmi MySiswaPlace (https://mysiswaplace.my).


 

Nur Amalin Zakira Kamalzul Anuar


Nur Sakinah Samsudin.


Sementara itu, Presiden Inap Siswa (Inasis) TNB Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Amalin Zakira Kamalzul Anuar, pula menyifatkan baucar itu memberi kelegaan kepada mahasiswa yang aktif dalam kepimpinan.

“Sebagai mahasiswa yang perlu mengimbangi akademik dan aktiviti kepimpinan, baucar ini sangat bermanfaat kerana kami masih perlu membeli banyak buku rujukan,” ujarnya.

Seorang pelajar Universiti Malaya (UM), Nur Sakinah Samsudin, berkata inisiatif itu amat bermakna kerana harga buku akademik semakin tinggi.

“Saya bersyukur kerana baucar ini membantu pelajar membeli buku rujukan serta bahan bacaan tambahan yang sangat diperlukan. Ia bukan sahaja meringankan beban kewangan, malah memberi semangat untuk menambah ilmu,” katanya.

Seorang pelajar IPT swasta (IPTS), Tan Jia Wen, berkata langkah tersebut membuktikan kerajaan tidak meminggirkan penuntut institusi swasta.

“Selalunya pelajar IPTS rasa terpinggir bila ada bantuan. Tapi kali ini kami pun layak. Saya sangat gembira kerana ia beri peluang sama rata untuk dapatkan bahan bacaan,” katanya.


Amaal Fithriyaani Abdul Malek. 


Muhammad Zaki Anuar. 


Pelajar IKBN Peretak, Selangor, Ahmad Zulfadli Mohamad, berkata baucar itu membantu pelajar kemahiran yang memerlukan rujukan teknikal.

“Kami di IKBN juga perlu buku dan manual teknikal yang harganya agak tinggi. Dengan baucar ini, sekurang-kurangnya kami boleh beli bahan rujukan tambahan yang berguna untuk latihan dan projek,” katanya.

Pelajar IPG Keningau, Sabah, Amaal Fithriyaani Abdul Malek, turut melahirkan rasa syukur kerana bantuan itu memberi peluang kepada bakal guru sepertinya menambah koleksi bacaan pendidikan.

 “Sebagai pelajar IPG, kami perlu banyak buku pendidikan, psikologi dan kaedah pengajaran. Baucar ini benar-benar membantu kami melengkapkan diri sebagai bakal guru,” jelasnya.

Pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Muhammad Zaki Anuar, yang mengikuti program Sarjana Muda Sains Akuakultur dengan Kepujian, berkata baucar itu amat berguna kerana bidang pengajiannya memerlukan banyak bahan bacaan khusus.

 “Dalam bidang akuakultur, kami perlukan buku rujukan sains dan penyelidikan terkini. Harga buku tersebut agak tinggi, jadi baucar ini sangat membantu saya dan rakan-rakan,” katanya.


Baucar yang ditebus oleh pelajar IPT. 


Baucar berbentuk kod digital itu boleh digunakan untuk pembelian buku bercetak atau e-book daripada lebih 250 rakan niaga dengan lebih sejuta judul ditawarkan, namun ia hanya sah digunakan dalam tempoh tujuh hari selepas penebusan.

KPT menegaskan, usaha itu adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan memastikan akses ilmu tidak terbatas, dan pelajar digalakkan menggunakan baucar dengan penuh manfaat bagi memperkukuh pencapaian akademik mereka.

10
10
0
13
0
You will be interested