Kampus & Pendidikan 05 May, 2025

Kuasa wanita! Mampu jadi penggerak utama! Perlukan ketekunan, semangat dan sokongan berterusan!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this

Ahli-ahli panel yang dilantik memberi perkongsian pengalaman dan cabaran wanita sempena sambutan Hari Wanita Peringkat UMT


Peranan wanita dalam pembangunan negara semakin terserlah apabila golongan itu bukan sahaja menjadi pelengkap masyarakat, malah muncul sebagai penggerak utama dalam pelbagai sektor kritikal.

Statistik terkini menunjukkan peningkatan ketara penglibatan wanita dalam bidang profesional dan pengurusan, sejajar dengan matlamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menerusi Pelan Pembangunan Mampan (SDG) yang menyasarkan kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita menjelang 2030.

Malaysia turut menunjukkan komitmen tinggi dalam memperkasa wanita menerusi sokongan terhadap Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), selain pencapaian wanita yang semakin menyerlah dalam bidang kejuruteraan, penyelidikan saintifik dan kepimpinan korporat.

Empat subindeks utama yang mengukur kemajuan wanita iaitu penyertaan ekonomi, pencapaian pendidikan, kesihatan dan kehidupan serta penguasaan politik turut menunjukkan trend peningkatan yang positif.



Di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), semangat memperkasakan wanita terus digiatkan menerusi program Bual Bicara Wanita sempena sambutan Hari Wanita Peringkat universiti itu di Kuala Nerus pada 29 April 2025.

Tokoh penyelidik UMT, Prof. Dr. Wan Iryani Wan Ismail berkongsi perjalanan kariernya yang penuh cabaran dalam bidang penyelidikan biologi, termasuk pengorbanan membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya.

“Kejayaan saya hari ini adalah hasil sokongan dan pengorbanan, terutamanya daripada keluarga. Saya dan suami yang juga pensyarah berdepan cabaran besar dalam menyusun masa, namun semuanya mampu diatasi dengan disiplin dan iltizam,” katanya.

Beliau turut menekankan peranan wanita bukan sekadar di rumah, malah turut menyumbang kepada penyelidikan universiti, memperkasakan komuniti dan menjana ekonomi setempat.

“Saya masih ingat saat masuk ke hutan demi mendapatkan sampel kajian. Ia bukan mudah, tetapi apabila hasilnya dimanfaatkan pelajar generasi baharu, segala penat lelah itu sangat berbaloi,” ujarnya.


Sebahagian peserta yang mengambil peluang dalam penganjuran Sambuta Hari Wanita Peringkat UMT


Sementara itu, Dr. Sharifah Marzety Adibah Al-Sayed Mohamad, bekas pensyarah UMT, turut menjadi inspirasi apabila berjaya menceburi bidang keusahawanan tanaman ros setelah mengundurkan diri daripada dunia akademik akibat masalah kesihatan.

“Kesihatan saya merosot, tetapi keinginan untuk terus berjaya tidak pernah padam. Tanaman ros bukan hanya sumber rezeki, malah menjadi terapi jiwa. 

"Saya percaya wanita mampu mencipta ruang kejayaan dengan cara tersendiri,” katanya.

Kisah kejayaan wanita seperti mereka menjadi bukti bahawa kemampuan tidak ditentukan oleh jantina, tetapi oleh ketekunan, semangat dan sokongan berterusan daripada persekitaran. - KitaReporters/Kenyataan Media

16
13
0
12
0
You will be interested