
Oleh AMIRUL SALAM HASAN
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Negara dikejutkan dengan tragedi menyayat hati apabila 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terkorban dalam kemalangan bas ekspres di Jalan Raya Timur Barat, Gerik, Perak pada 9 Jun 2025.
Insiden tragik ini bukan sahaja meragut nyawa muda yang sedang meniti perjalanan menimba ilmu, malah menjadi tamparan keras terhadap aspek keselamatan pengangkutan awam melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi.
Lebih mendukacitakan, laporan awal menyatakan bahawa bas yang membawa pelajar terbabit tidak memperlahan kenderaan walaupun berada dalam laluan berbukit serta tidak dilengkapi tali pinggang keledar.
Dalam kejadian berasingan, seramai 28 penumpang termasuk 13 pelajar dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) turut berdepan detik cemas apabila bas yang mereka naiki terbabas di lokasi yang sama.
Walaupun tiada kehilangan nyawa dilaporkan, kejadian ini jelas menunjukkan kelemahan serius dalam aspek pemantauan dan pelaksanaan standard keselamatan pengangkutan berat.

Pelajar universiti adalah aset penting negara. Mereka merupakan bakal pemimpin, penyelidik, jurutera, guru, ahli ekonomi, pakar teknologi dan pelbagai lagi peranan kritikal dalam pembangunan masa depan Malaysia.
Kehilangan mereka bukan sekadar statistik kemalangan – ia adalah kerugian besar terhadap modal insan negara. Justeru, perlindungan terhadap keselamatan pelajar tidak boleh dipandang enteng atau hanya menjadi agenda reaktif selepas berlaku tragedi.
Insiden ini wajar menjadi titik tolak kepada tindakan segera dan holistik oleh semua pihak berkepentingan termasuk institusi pengajian tinggi, syarikat pengangkutan, pihak berkuasa jalan raya serta kementerian berkaitan.
Pematuhan kepada piawaian keselamatan kenderaan termasuk pemasangan tali pinggang keledar, penyelenggaraan berkala, pemilihan pemandu berpengalaman dan had waktu operasi perlu dijadikan keutamaan mutlak.
Penguatkuasaan yang tegas dan konsisten juga mesti dilaksanakan, bukan sekadar menunggu insiden untuk bertindak.
Pihak universiti juga harus berperanan aktif dalam mendidik dan melindungi pelajar.
Aspek pengurusan risiko perjalanan, pemilihan pengendali pengangkutan yang berlesen dan selamat serta insurans perjalanan pelajar wajar dijadikan amalan tetap dalam setiap program yang melibatkan pergerakan pelajar dalam skala besar.

Tragedi UPSI ini adalah ‘panggilan kesedaran’ bahawa nyawa pelajar kita terlalu berharga untuk dikompromi. Mereka bukan hanya penuntut ilmu, tetapi cerminan harapan dan masa depan negara.
Sudah tiba masanya kita memberi perhatian dan perlindungan yang sewajarnya kepada mereka, dengan memastikan aspek keselamatan sentiasa diutamakan dalam setiap langkah yang diambil.
Amirul Salam Hasan ialah pegawai di Pejabat Komunikasi Korporat Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Artikel ini adalah pandangan penulis.