Kampus & Pendidikan 27 Oct, 2022

Kerjasama strategik! USIM meteri MoA bersama Mamee Double Decker! Laksana program CSR bidang halal!

@strategic communication centre (stracomm) usim
Pusat Komunikasi Strategik ( StraComm) merupakan pusat informasi rasmi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Sebarang pertanyaan boleh emelkan kepada [email protected]

Share this


UNIVERSITI Sains Islam Malaysia (USIM) meluaskan lagi jangkauan bersama industri dalam bidang halal apabila menandatangani Memorandum Persetujuan (MoA) bersama Mamee-Double Decker (M) Sdn. Bhd. bertempat di Hotel Bangi-Putrajaya baru baru ini.

Pelaksanaan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) menjadi intipati utama perjanjian dengan kedua-dua pihak bersetuju untuk menjalankan sekurang-kurangnya tiga aktiviti atau program di sekolah, universiti serta institusi pendidikan lain dalam setahun di bawah Program ‘Halal@District With Mamee’ di samping mengendalikan soal selidik dalam kalangan guru-guru yang terlibat dengan keberkesanan program serta menganalisis aktiviti yang dilaksanakan semasa program berdasarkan pendekatan dan perspektif gamifikasi.

Perjanjian ini juga adalah bagi menggalakkan penyebaran ilmu pengetahuan melalui penyertaan industri dalam program ‘Halal Talk’ yang bakal dianjurkan. Dapatan pembentangan persidangan dan penerbitan akan turut dibentangkan sebagaimana yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti-aktiviti CSR


Naib Canselor USIM, Profesor Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dalam ucapan aluannya berkata, Mamee-Double Decker telah mula menjalin hubungan kerjasama pintar bersama USIM melalui Institut Fatwa dan Halal (IFFAH) menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada tahun 2018 bersempena dengan penganjuran “Halal Istihlak Seminar, Education and Competition (HISEC) 2018” dan disusuli pada tahun 2019 menerusi MoA bagi pelaksanaan program Halal@District

Ini merupakan langkah proaktif industri dalam menyokong program penyebaran ilmu kepenggunaan halal yang dilaksanakan oleh pihak universiti kepada masyarakat.  

“Pelbagai program kerjasama berjaya dilaksanakan seperti pocket talk, Bicara IFFAH, forum perkongsian industri, dan program tanggungjawab sosial korporat Islam (I-CSR) turut dilaksanakan yang telah memberi manfaat kepada lebih 5,000 penerima” ujarnya lagi. 



Sementara itu, Ahmad Syukry Ibrahim, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Islam dan Hubungan Kerajaan, Mamee-Double Decker berkata, dengan kerjasama strategik ini, isu-isu kepenggunaan halal, serta pemindahan kepakaran dan pengetahuan industri kepada universiti dan program yang dijalankan oleh Mamee dan USIM akan mendapat manfaat yang positif kepada pelajar dan masyarakat khususnya.

Hadir sama pada Majlis Menandatangani MoA tersebut adalah Pendaftar USIM, Dato’ Muhammad Haizuan Rozali; Pengarah IFFAH, Prof. Dr. Irwan Mohd Subri; serta Mohd Hirwan Hassan Basri, Eksekutif Kanan Hal Ehwal Islam, Mamee Double Decker (M) Sdn. Bhd. - KitaReporters/USIM


13
15
0
12
0
You will be interested